Thursday, November 06, 2003

Masa depan negara cerah

Mukadimah
SEDUTAN ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) di Dewan Rakyat, semalam. Untuk membaca teks penuh, sila pergi ke Utusan Online di www.utusan.com.my

Dua bulan yang lepas, kita telah menyambut ulang tahun ke-46 kemerdekaan negara dengan amat meriah. Diimbas kembali, kita sudah mara begitu jauh dari hari Sabtu 1957 yang bersejarah itu, apabila kita berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajah selama lebih 446 tahun. Ketika itu negara kita miskin dan pendapatan purata kita ialah AS$300 seorang. Rakyat tidak terlalu berharap kepada pembangunan, jauh sekali kepada taraf hidup yang lebih baik.

Ramai daripada rakyat dan orang asing yang percaya kaum-kaum di Malaya akan bermusuh-musuhan dan orang Melayu yang menjadi majoriti akan merebut kuasa dan menindas kaum-kaum lain. Dengan itu keadaan akan menjadi tidak stabil dan prestasi pembangunan negara akan merosot. Sangkaan ini memang pun menjadi kenyataan di kebanyakan tanah takluk kuasa Eropah yang mencapai kemerdekaan. Alhamdulillah sangkaan semua pihak meleset. Malaysia telah bangun dengan pesat sehingga menjadi negara membangun yang termaju di dunia.

Dalam tempoh hanya 46 tahun, daripada sebuah negara yang bergantung kepada getah dan timah sahaja kita telah menjadi negara industri pembuatan dan sekarang negara industri maklumat yang canggih. Pendapatan purata meningkat kepada hampir AS$4,000 manakala kadar celik huruf kini sebanyak 94.1 peratus. Kita telah berjaya mengeluarkan sejumlah 87,029 orang golongan profesional. Daripada jumlah ini, 12,676 orang adalah doktor, 38,610 insinyur dan 10,209 peguam.

Kemiskinan dikurangkan daripada 52.4 peratus pada tahun 1970 kepada 5.1 peratus pada tahun 2002. Kira-kira 92 peratus daripada rumah-rumah di luar bandar telah dibekalkan dengan elektrik manakala 86 peratus telah mendapat bekalan air pada tahun 2003. Sekolah, klinik, jalan tar dinikmati oleh hampir semua rakyat.

Di masa yang sama kepercayaan rakyat Malaysia kepada diri sendiri meningkat sehingga mereka dapat mencipta rekod dunia seperti mendaki Gunung Everest, belayar seorang diri mengelilingi dunia, terjun dari payung terjun di Kutub Utara dan berenang menyeberangi Selat Inggeris. Banyaklah rekod di dunia yang dicipta termasuk mengheret kereta api seberat 260 tan dengan gigi.

Dan Malaysia sekarang terkenal di seluruh dunia serta menjadi contoh kepada negara-negara membangun dan negara-negara Islam.

Kejayaan kita ini disebabkan sifat-sifat dan budaya baru yang berjaya dipupuk di kalangan rakyat. Rakyat Malaysia mempunyai sifat bertanggungjawab, sederhana dan suka kepada kedamaian. Kita lebih suka berkongsi daripada merebut semua untuk kita. Dengan perkataan lain rakyat Malaysia tidak tamak.

Kita menolak sosialisme yang percaya jika Kerajaan memiliknegarakan semua dagangan dan perusahaan maka Kerajaan akan memperoleh 100 peratus daripada keuntungan dan dengan ini Kerajaan akan dapat agihkan kekayaan kepada semua rakyat secara samarata. Kita tidak merampas perniagaan dan harta swasta. Kita lebih percaya jika swasta diberi peluang dan dibantu, maka mereka lebih mungkin berjaya dan akan dapat membayar cukai yang banyak untuk dibelanjakan demi faedah semua rakyat.

Hari ini dunia akui bahawa sistem sosialis tidak boleh menjayakan ekonomi negara. Syarikat dan perusahaan milik Kerajaan sukar dijayakan. Sebaliknya sistem pasaran terbuka lebih mungkin menghasilkan keuntungan dan menambah cukai bagi Kerajaan. Sebenarnya sewaktu kemerdekaan dicapai belanjawan Kerajaan adalah sebanyak RM1 bilion atau 19.5 peratus daripada KDNK. Hari ini belanjawan Kerajaan berjumlah RM112.5 bilion atau 29.2 peratus daripada KDNK. Sebenarnya pilihan kita untuk sistem kapitalis terkawal adalah jauh lebih baik daripada memiliknegarakan perniagaan swasta seperti yang diajukan oleh puak sosialis.

Pada tahun 1969 rusuhan kaum berlaku. Kita berjaya membendung rusuhan ini tetapi kita juga mendapat pengajaran yang banyak daripadanya. Kerajaan Campuran yang disokong oleh semua kaum telah mencipta Dasar Ekonomi Baru untuk mengagihkan kekayaan negara secara saksama antara kaum. Walaupun kita belum capai sasaran yang ditetapkan, tetapi hakikatnya pemisahan ekonomi antara kaum sudah berkurangan. Sebenarnya hubungan antara kaum sekarang jauh lebih baik daripada mana-mana era dalam sejarah Malaysia. Daripada hanya memiliki 2.4 peratus kekayaan negara dalam tahun 1970, Bumiputera sekarang memiliki 19.1 peratus daripada kekayaan yang lebih tinggi di negara sekarang iaitu daripada RM126 juta pada tahun 1970 kepada RM59,395 juta pada tahun 2002, kenaikan sebanyak 471 kali ganda.

Semasa agihan kekayaan ini dibuat, ekonomi telah tumbuh dengan pesat. Jika tidak kerana serangan oleh penyangak mata wang, pertumbuhan purata lebih daripada 7 peratus dapat dicapai tiap tahun. Tetapi walaupun sasaran ini tidak dapat dicapai, kita masih dapat memulihkan ekonomi negara lebih cepat dari negara-negara lain. Bagi tahun 2003 kita percaya kita akan dapat menaikkan ekonomi sebanyak 4.5 peratus. Di masa yang sama kedudukan kewangan kita adalah kukuh. Hutang luar negara adalah sebanyak 48.2 peratus daripada KDNK, iaitu rendah daripada paras yang dianggap selamat. Rizab luar negara juga tinggi, iaitu RM159.4 bilion atau AS$41.9 bilion pada 15 Oktober 2003. Dagangan kita menunjukkan lebihan eksport daripada import berturut-turut selama 70 bulan.

Kita adalah negara dagangan yang ke-18 terbesar di dunia. Jumlah dagangan kita adalah dua kali lebih besar daripada KDNK kita. Sebagai negara dagangan kita perlu tentukan barangan kita berdaya saing di pasaran antarabangsa. Perkara ini rumit untuk ditangani kerana upah pekerja kita lebih tinggi daripada upah di negara-negara jiran kita. Sebaliknya kita ingin melihat pekerja kita menikmati taraf hidup yang lebih baik dan semakin baik.

Pendapatan pekerja boleh dinaikkan dengan menaikkan daya pengeluaran atau produktiviti kita. Ini boleh dibuat dengan meningkatkan kecekapan dan ilmu pengetahuan pekerja kita. Ia juga boleh dibuat dengan melabur dalam sistem dan alatan yang lebih canggih, dengan penggunaan automation dan I.T. umpamanya.

Yang lebih berkesan daripada kenaikan upah ialah meningkatkan daya beli pendapatan kita. Sebenarnya Ringgit kita mempunyai daya beli di negara kita sama dengan Dolar Amerika di Amerika Syarikat. Ini bermakna walaupun upah kita rendah berbanding dengan upah di negara maju tetapi kita boleh beli barangan atau khidmat tiga kali ganda lebih daripada pekerja negara maju dengan upah yang sama. Kerana upah kita rendah maka kos pengeluaran barangan kita juga rendah dan ini menjadikan barangan dan khidmat kita terus kompetitif atau berdaya saing.

Kita akan terus kawal kos sara hidup kita melalui kawalan harga supaya kita dapat menikmati kehidupan yang baik tetapi barangan eksport kita terus kompetitif. Tidak ada gunanya menaikkan pendapatan tetapi kos barangan dan khidmat dalam negeri meningkat dan menelan semua tambahan pendapatan yang kita dapati. Dengan perkataan lain kenaikan pendapatan yang disusuli dengan inflasi tidak mempunyai apa-apa faedah. Lagipun mereka yang menabung akan rugi dan ekonomi negara tetap merosot. Sebab itu pendekatan kita dalam menangani ekonomi dan kewangan negara akan dikekalkan...

Rancangan Malaysia Kelapan
Pada bulan April 2001, saya telah membentangkan Rancangan Malaysia Kelapan di Dewan yang mulia ini. Rancangan Malaysia Kelapan telah menetapkan dasar, strategi dan program bagi mencapai objektif Dasar Wawasan Negara untuk membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing. Tumpuan utama Rancangan adalah untuk meningkatkan tahap pembangunan dan menghasilkan pertumbuhan mapan supaya semua rakyat Malaysia boleh menikmati kemakmuran dan kualiti hidup yang lebih tinggi. Di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi, usaha terus dipergiatkan untuk mengurangkan jurang sosial dan ketidakseimbangan ekonomi dalam pembangunan wilayah.

Memandangkan ekonomi perlu berpindah kepada aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi, strategi dalam Rancangan Malaysia Kelapan adalah untuk beralih daripada strategi pertumbuhan berintensifkan tenaga manusia kepada yang berintensifkan ilmu pengetahuan. Keutamaan diberi untuk menaikkan penguasaan ilmu dan teknologi yang tinggi. Rancangan Malaysia Kelapan menekankan betapa perlunya sektor swasta menjadi lebih dinamik dan menjadi tunggak kepada pertumbuhan ekonomi. Sektor awam terus berperanan menyediakan dasar, institusi dan infrastruktur untuk persekitaran yang mesra perniagaan...

Kemajuan Ekonomi Makro
Malaysia menghadapi cabaran luar biasa dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangkakan. Ia bermula dengan kelembapan ekonomi dunia akibat kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat dan kemerosotan permintaan keluaran elektronik dunia. Ini diburukkan oleh peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat. Ini pula disusuli dengan pencerobohan ke atas Iraq dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk atau SARS. Pemulihan yang telah bermula selepas 11 September terjejas kerana peristiwa-peristiwa berikutan.

Syukur kepada Allah s.w.t., ekonomi Malaysia masih dapat dipulihkan dengan pertumbuhan bagi tahun ini dianggar sebanyak 4.5 peratus. Dalam tempoh kajian semula, 2001-2003, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.0 peratus adalah diramal, walaupun faktor luar dan sumbangan eksport barangan elektrik dan elektronik sebanyak 70 peratus adalah terlalu tinggi.

Kita harus berbangga kerana pendapatan per kapita telah meningkat sebanyak 2.4 peratus setahun daripada RM12,843 pada tahun 2001 kepada RM14,324 pada tahun 2003. Jika berdasarkan kuasa beli pariti, peningkatan dalam pendapatan per kapita adalah lebih mengagumkan kerana tumbuh pada kadar purata sebanyak 3.9 peratus setahun kepada AS$9,380 dalam tahun 2003. Pertumbuhan telah dicapai dalam suasana harga yang stabil dan tahap pengangguran yang rendah. Perdagangan luar negara juga kukuh sebagaimana yang dicerminkan oleh lebihan eksport daripada import tiap tahun.

Selain daripada itu, defisit fiskal masih kekal ditahap yang tidak membebankan meskipun terdapat peningkatan perbelanjaan awam berikutan dengan usaha kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Kita juga berjaya mengurangkan kadar kemiskinan, menyediakan perumahan dan kemudahan asas yang lebih baik, terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah tanpa menjejas kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

Bagi mengurangkan kesan buruk kelembapan ekonomi dunia terhadap ekonomi negara, kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan fiskal pada tahun 2001 dan satu lagi pakej iaitu Strategi Baru Ke Arah Merangsang Pertumbuhan Ekonomi Negara pada bulan Mei tahun ini. Ini telah menghasilkan peningkatan pesat penggunaan awam sebanyak 12.1 peratus dan pelaburan awam sebanyak 9.6 peratus. Penggunaan swasta juga meningkat daripada 2.4 peratus pada tahun 2001 kepada 5.2 peratus pada tahun 2003...

Isu dan Cabaran
Walaupun kita menjangkakan persekitaran ekonomi dunia akan bertambah baik dalam tempoh akhir Rancangan, kita harus bersedia untuk menghadapi cabaran baru yang akan menguji daya tahan, produktiviti, kecekapan dan kemampuan inovatif kita. Persekitaran luaran, ekonomi dan politik akan terus menjadi perhatian utama.

Walaupun serangan ke atas Iraq adalah singkat dan kesan awal kepada ekonomi adalah terbatas, namun ia mempunyai kesan jangka panjang. Seperti dijangka pencerobohan ke atas Iraq diikuti dengan beberapa serangan ke atas kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya di beberapa bahagian dunia. Keadaan ini boleh menimbulkan ketidakstabilan ke atas ekonomi dan mempengaruhi pemulihan ekonomi. Kurangnya keyakinan pengguna dan perniagaan melembapkan dagangan dan pelaburan. Kos perniagaan dan pelaburan meningkat kerana keperluan keselamatan.

Walaupun tidak semua daripada faktor-faktor ini dapat dikawal oleh kita, tetapi kita masih perlu berusaha mengurangkan kesan buruk daripadanya.

Globalisasi mampu meningkatkan dagangan tetapi interpretasi globalisasi yang diterima sekarang lebih menguntungkan negara maju kerana tekanannya ialah kepada kebebasan dagangan dan bukan dagangan yang saksama. Keutamaan kepada persaingan sudah tentu menguntungkan negara maju dan syarikat gergasi mereka.

Kita akan cuba menukar agenda Globalisasi melalui WTO (Organisasi Dagangan Dunia). Tetapi sementara itu kita perlu bersiap sedia untuk bersaing dalam keadaan tidak seimbang.

Kita juga akan menyaksikan persaingan yang lebih sengit daripada negara baru di pasaran dunia, termasuk negara China dan India. Negara-negara ini telah muncul dengan pantas sebagai pusat tarikan pelaburan dan pengeluar keluaran dan perkhidmatan berteknologi. Upahan yang rendah, kerajinan pekerja, pasaran dalaman yang besar memberi kelebihan bersaing kepada mereka.

Ahli perniagaan Malaysia harus mencari bahagian-bahagian tertentu dan menumpukan tenaga dan modal kepada bahagian-bahagian ini supaya keupayaan kita bersaing dalam bidang tertentu ini meningkat. Namun kita jangan buat silap sekali lagi dengan terlalu bergantung kepada sebilangan kecil jenis perniagaan seperti dahulu kita bergantung kepada getah dan timah...

Tumpuan Dasar Dalam Kajian Separuh Penggal
Teras dasar Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Kelapan akan diteruskan untuk menghadapi cabaran ini. Di samping itu, Kajian Separuh Penggal menyokong Pakej Strategi Baru yang diperkenalkan pada Mei 2003 bertujuan menangani masalah kritikal dalam beberapa bidang untuk menangani masalah dalaman dan luaran yang dihadapi. Dengan ini, tumpuan dasar dalam Kajian Separuh Penggal adalah untuk:

- Memperkukuhkan asas ekonomi makro;

- Memperkuatkan ketahanan ekonomi bagi menghadapi sebarang kejutan; Meningkatkan keupayaan melawan persaingan;

- Menggiatkan semula pelaburan swasta dalaman terutamanya, untuk kembali menjadi jentera pertumbuhan;

- Menerokai sumber pertumbuhan baru;

- Mempercepatkan peralihan daripada teknologi rendah dan ekonomi berintensif tenaga kerja kepada ekonomi berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan;

- Meningkatkan kualiti sumber manusia bagi memenuhi keperluan ekonomi yang diasaskan kepada nilai ditambah yang lebih tinggi;

- Membangunkan masyarakat yang lebih adil dengan agihan kekayaan dan pembangunan samarata;

- Menanam nilai-nilai hidup yang sesuai dengan kecapaian tinggi semua kaum, dan

- Meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi kesejahteraan.

Memperkukuhkan Prestasi Ekonomi Makro
Kerajaan akan menguruskan ekonomi makro secara berhemat bagi memastikan asas ekonomi makro seperti inflasi yang rendah, tabungan yang mencukupi, kedudukan imbangan pembayaran yang sihat, kadar pertukaran yang stabil dan kedudukan fiskal yang berhemat terus diperkukuhkan. Usaha juga akan dibuat untuk memperluaskan asas ekonomi, membangunkan sektor kewangan dan pasaran modal yang lebih cekap serta memperbaiki risiko pengurusan dan pentadbiran korporat.

Sementara kita akan terus menggalakkan pelaburan asing langsung, perhatian yang lebih akan diberi kepada pelaburan tempatan. Pertanian, terutamanya ternakan lembu, kambing, ikan air tawar dan air masin, ladang tanaman campuran mempunyai potensi yang besar. Pelabur dalam bidang-bidang ini akan dibantu dan diberi insentif terutama yang bertujuan keluaran untuk eksport. Demikian juga industri fabrikasi logam dan eksport kecekapan dalam bidang pembangunan infrastruktur. Kerajaan akan bekerjasama dengan kontraktor Malaysia untuk mendapat dan melaksanakan projek di luar negara.

Dengan prospek perdagangan dunia yang semakin baik, eksport Malaysia dijangka meningkat dan berkembang sebanyak 7.4 peratus setahun. Berikutan dengan ini lebihan akaun dagangan akan dapat diikekalkan dalam tempoh kajian semula. Defisit akaun perkhidmatan akan berkurangan kerana aliran masuk yang tinggi melalui sektor pelancongan, pendidikan, pengangkutan, kewangan, kesihatan dan perkhidmatan profesional. Bagi tempoh akhir rancangan, lebihan akaun semasa dijangka terus dapat dikekalkan pada tahap 10 peratus daripada KNK pada tahun 2005...

Meningkatkan Daya Saing dan Ketahanan
Sebagaimana telah saya nyatakan dalam ucapan Bajet 2004, berasaskan laporan World Competitiveness Year Book 2003, Malaysia menduduki tangga keempat negara paling berdaya saing di kalangan negara berpenduduk lebih 20 juta. Pencapaian ini merupakan kemajuan besar bagi daya saing negara daripada kedudukan kesepuluh pada tahun 2001 dan kedudukan keenam pada tahun 2002. Dari segi prestasi ekonomi, kecekapan pemerintahan kerajaan, pengurusan perniagaan serta infrastruktur, Malaysia adalah di kalangan sepuluh negara teratas.

Kita boleh berbangga dengan pencapaian kita akan tetapi kita tidak boleh berasa terlalu selesa dan alpa dengan pencapaian tersebut. Kita harus ingat bahawa walaupun kita adalah negara perdagangan global yang besar tetapi sumbangan dagangan kepada ekonomi negara agak kecil. Ini adalah kerana peratusan yang besar eksport dan import kita dimiliki oleh pelabur asing.

Sumbangan kepada pendapatan kita tidaklah seimbang dengan saiz dagangan mereka. Justeru itu kita akan memberi galakan dan tekanan kepada industri milik tempatan yang menyumbangkan lebih banyak kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kebolehan kita dalam bidang industri telah meningkat dan menjadi lebih canggih.

Kita sekarang mampu mengeluarkan hampir semua barangan buatan yang dieksport oleh kita dan lebih dari itu. Jepun, Korea dan China membeli atau mempelajari teknologi asing dan mengadakan perusahaan mereka sendiri. Dan mereka berjaya. Kita sekarang mampu berbuat demikian. Di samping terus menggalakkan pelaburan asing, kita hendaklah berusaha supaya pelaburan tempatan ditingkatkan.

Sebagaimana telah diumumkan dalam Pakej Strategi Baru pada bulan Mei tahun ini, kerajaan beriltizam untuk melonggarkan peraturan dan memperbaiki sistem penyampaian. Ia akan memudahkan lagi pelaburan, mempercepatkan proses kelulusan di setiap peringkat pentadbiran, meringkaskan prosedur, mengukuhkan kemampuan dan keupayaan sumber manusia, meluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), memastikan pematuhan piagam pelanggan di samping mengukuhkan keutuhan pengurusan dan tadbir urus...

Meneruskan Agenda Pengagihan
Sebelum Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, kemiskinan di Malaysia berada pada kadar 52.4 peratus pada tahun 1970. Semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada tahun 1983, tahap kemiskinan masih tinggi iaitu kira-kira 21 peratus. Kini, sukacita saya menyatakan bahawa tahap kemiskinan negara telah berkurangan kepada 5.1 peratus pada tahun 2002 dan kita menjangkakan kemiskinan mutlak dapat dibasmi sepenuhnya pada tahun 2005. Dari segi pendapatan isi rumah, purata di Malaysia telah meningkat sebanyak tiga kali ganda daripada RM1,098 sebulan pada tahun 1983 kepada RM3,011 sebulan pada tahun 2002. Kenaikan mendadak ini tidak terlihat di mana-mana negara lain.

Daripada angka-angka ini adalah jelas program pembangunan dan pengurangan kemiskinan oleh kerajaan berjaya mencapai matlamatnya. Tetapi apabila kemiskinan sudah dapat dihapuskan kita perlu tingkatkan paras pendapatan kemiskinan supaya usaha akan terus dibuat untuk menaikkan pendapatan mereka yang berada di bawah paras kemiskinan yang baru.

Oleh itu kerajaan akan terus melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) melalui projek yang dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi. Tetapi rakyat sendiri perlu bantu dengan menguasai kecekapan dan ilmu serta sanggup bekerja dengan lebih rajin dan tekun. Antara program yang akan diteruskan termasuklah Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil, Program Pembangunan Minda Insan, Program Bantuan Perumahan dan Skim ASB-Sejahtera.

Isu ketidakseimbangan pendapatan di antara dan di kalangan kumpulan etnik, kumpulan pendapatan, wilayah dan negeri akan terus ditangani. Kini jarak antara pendapatan yang tertinggi dan yang terendah dalam kerajaan telah dikurangkan. Di waktu merdeka dicapai gaji pegawai tertinggi kerajaan adalah 78 kali ganda berbanding dengan kakitangan yang terendah. Demikian juga jarak pendapatan tinggi dan rendah swasta. Sekarang gaji tertinggi pegawai kerajaan hanya 29 kali ganda berbanding gaji yang terendah.

Berkenaan dengan penyusunan semula masyarakat, semua kumpulan etnik telah mencatat peningkatan hak milik modal saham dalam tempoh kajian semula. Hak milik modal saham bumiputera telah meningkat daripada RM63 bilion pada tahun 2000 kepada RM73.2 bilion pada tahun 2002, iaitu mencatat kadar pertumbuhan 7.8 peratus setahun. Walau bagaimanapun, peratusan ekuiti saham bumiputera telah berkurangan sedikit daripada 18.9 peratus pada tahun 2000 kepada 18.7 peratus pada tahun 2002. Syarikat dan perniagaan bumiputera masih terlalu rapuh dan mudah dirosakkan oleh faktor-faktor seperti kegawatan dan pertumbuhan ekonomi yang rendah. Peratusan hak milik modal saham masyarakat Cina telah meningkat kepada RM159.8 bilion pada tahun 2002, berkembang pada kadar 11.2 peratus setahun dalam tempoh kajian semula. Sementara itu, ekuiti masyarakat India telah meningkat kepada hampir RM6 bilion pada tahun 2002, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus.

Kerajaan menyedari bahawa usaha untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam tempoh akhir rancangan akan menjadi lebih mencabar terutamanya berikutan globalisasi dan liberalisasi pasaran yang lebih luas. Sehubungan itu, lebih banyak usaha diperlukan untuk menyediakan peluang kepada bumiputera dalam sektor terpilih sekiranya sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera menjelang tahun 2010 ingin dicapai. Untuk itu, kerajaan akan menubuhkan sebuah institusi pelaburan yang baru, Dana Harapan untuk menarik dan menggerakkan sumber kewangan bumiputera. Langkah ini akan membolehkan pengenalan keluaran unit amanah yang inovatif dan mengembangkan lagi peluang pelaburan untuk bumiputera. Di samping itu, kerajaan akan memberikan sekurang-sekurangnya 60 peratus daripada perolehan dan kerja kontrak dalam projek kerajaan kepada bumiputera yang menunjuk kecekapan dan bersikap bertanggungjawab dalam melaksanakan kontrak yang diberi kepada mereka.

Kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai program dan memberikan bantuan untuk membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berdaya saing dan berdaya tahan. Pakej program seperti Program Pembangunan Vendor, Program Pembangunan Francais, Skim Modal Teroka dan usaha sama yang telah memberi penekanan kepada pengurusan berkualiti, kecekapan dan etika perniagaan yang baik akan digalakkan untuk membantu membangunkan MPPB...

Mempercepatkan Peralihan Kepada Ekonomi Berasaskan Pengetahuan dan Teknologi Tinggi
Walaupun Malaysia telah bersiap sedia untuk menerima ekonomi berasas pengetahuan, aktiviti daya cipta tempatan masih lagi ketinggalan. Keupayaan inovasi dan teknologi di kalangan industri kita pada amnya adalah rendah. Kebanyakan industri tempatan adalah hanya menggunakan teknologi sedia ada atau yang diubah suai. Kemajuan yang dicapai oleh industri getah dan kelapa sawit hasil kajian daripada penyelidik dan pembangunan tidak berkembang kepada bidang industri pembuatan. Sekiranya industri pembuatan terus dengan menunggu ciptaan orang lain, mereka tetap akan tertinggal di belakang dan akan merosot prestasi. Kerajaan beriltizam untuk memperkenalkan insentif yang bersesuaian untuk menggalakkan dan memperbaiki S&T serta keupayaan inovasi agar lebih banyak firma Malaysia berupaya membuat peralihan teknologi untuk menjadi pereka cipta.

Untuk memastikan penawaran sumber tenaga S&T berkualiti yang mencukupi, pelajar terbaik akan digalakkan untuk mengikuti program dalam sains tulen, termasuk di peringkat selepas ijazah dan selepas doktor falsafah. Biasiswa tambahan dan lain-lain bentuk bantuan kewangan akan disediakan untuk tujuan ini. Kita akan juga terus melonggarkan prosedur untuk mengambil pekerja asing berkemahiran tinggi dalam sektor berintensifkan teknologi.

Pelaburan kita dalam infrastruktur ICT berkualiti tinggi telah membantu meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi yang diutamakan untuk MNC menubuhkan ibu pejabat operasi, pusat perolehan antarabangsa, pusat pengagihan serantau, pusat logistik bersepadu, dan pusat P&P. Bagi mempercepatkan pembangunan Malaysia sebagai hub ICT, dalam tempoh kajian semula National ICT Strategic Roadmap akan disediakan, di samping memperluaskan infrastruktur telekomunikasi.

Koridor Raya Multimedia, yang telah dilancarkan tujuh tahun lalu, telah berjaya mempergiatkan pembangunan industri yang berkait dengan ICT. Pada akhir bulan September 2003, sebanyak 903 syarikat telah diberikan status MSC, termasuk 59 syarikat bertaraf dunia dan 277 syarikat milik asing. Jumlah jualan syarikat bertaraf MSC telah meningkat kepada RM3.63 bilion pada tahun lepas dengan jualan eksport bernilai RM620 juta.

Untuk mengurangkan lagi jurang digital, Rangka Kerja Jurang Digital Negara akan dirumus bagi menyediakan garis panduan terhadap pelaksanaan projek dan mengelakkan pertindihan kerja. Penguasaan Bahasa Inggeris di semua peringkat serta penggunaan bahasa Inggeris untuk pelajaran Sains dan Hisab (Matematik) dipercayai akan menyumbang kepada usaha ini...

Pembangunan Sumber Manusia
Modal manusia adalah kunci masa depan kita. Mewujudkan tenaga kerja yang berdaya saing secara global ialah asas kepada peningkatan daya saing dan tarikan pelaburan baru. Untuk tujuan ini, pembangunan sumber manusia akan menumpukan kepada tiga dimensi iaitu, pembangunan pengetahuan, pencapaian kemahiran dan penanaman nilai positif. Membangunkan pekerja yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran yang pelbagai tidak semestinya menjamin produktiviti yang tinggi kerana adalah juga penting bagi pekerja berkenaan mempunyai etika kerja yang baik di semua peringkat.

Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan sesuatu bangsa mempunyai kaitan yang rapat dengan budaya iaitu jumlah nilai-niai yang dipegang dan diamal oleh bangsa itu. Oleh itu kerajaan akan berusaha untuk membentuk budaya bangsa Malaysia yang bersikap positif terhadap kerja, berdisiplin, rajin dan bertanggungjawab. Jika budaya ini diserapkan, semua rakyat Malaysia sama ada di desa atau di bandar, daripada apa jua kumpulan etnik akan menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera.

Justeru itu pusat-pusat latihan dan pendidikan akan memasuki pengajaran berkenaan budaya dan kesannya semasa memberi latihan kemahiran dan didikan...

Meningkatkan Kecekapan Perbelanjaan Sektor Awam
Kerajaan akan terus mengamalkan dasar fiskal yang berhemat dalam tempoh akhir rancangan. Disiplin fiskal akan dipertingkatkan dengan mengamalkan kawalan kos yang ketat. Langkah ini adalah bagi mencegah peningkatan kos dan memastikan projek pembangunan benar-benar memberi nilaian wang seperti yang dibelanjakan. Tujuan melaksanakan projek pembangunan adalah untuk memberi faedah kepada rakyat. Sementara ia juga dapat menguntungkan kontraktor tetapi tidaklah sehingga merugikan rakyat seperti yang berlaku kepada pembinaan mamal komputer.

Sehubungan itu, kerajaan tidak akan bertolak ansur lagi dengan kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut masa dan dengan mengikut kualiti sebagaimana dipersetujui. Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak bagi kontraktor yang tidak mematuhi syarat, serta menyenarai hitam dan menghalang mereka daripada menyertai tender di masa hadapan. Ini adalah bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai rekod bersih, boleh dipercayai dan mampu menyiapkan projek sahaja diberi peluang lagi untuk membuat tawaran bagi kontrak kerajaan.

Sebagai langkah untuk menyekat kenaikan kos projek pembangunan, kerajaan telah memutuskan bahawa projek tidak lagi akan dilaksanakan secara rundingan terus, kecuali projek yang benar-benar perlu dan dalam keadaan tertentu. Kontrak untuk projek pembangunan akan hanya dilaksanakan sama ada secara tender terbuka atau tender terhad kerana sekarang sudah ada ramai kontraktor bumiputera yang cekap dan mereka perlu bersaing sesama mereka untuk mendapat kontrak. Bagi mengawal kos, semua projek hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos.

Seperti mana telah saya nyatakan sebelum ini, dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Kelapan, kerajaan terpaksa mengambil langkah kitaran balas atau counter cyclical untuk membendung kesan daripada pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan dan kelembapan aktiviti sektor swasta. Hasil daripada tindakan dasar fiskal yang mengembang, 99.3 peratus daripada siling asal perbelanjaan pembangunan Rancangan Malaysia Kelapan sebanyak RM110 bilion akan habis dibelanjakan menjelang akhir tahun ini. Oleh itu, kerajaan bercadang untuk menambah siling pembangunan Rancangan Malaysia Kelapan sebanyak RM50 bilion kepada RM160 bilion. Penambahan ini bermaksud bahawa bagi dua tahun yang akan datang, purata perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM25.4 bilion setahun, iaitu bersamaan dengan purata paras perbelanjaan pembangunan tahunan sebelum ekonomi mengalami kelembapan...

Meningkatkan Infrastruktur Untuk Menyokong Aktiviti Ekonomi
Pembangunan infrastruktur dan utiliti akan terus tertumpu kepada memperbaiki kecapaian ke kawasan kurang maju, bidang rekreasi dan yang berpotensi untuk dimajukan. Dalam tempoh kajian semula, kerajaan telah membelanjakan RM10.79 bilion untuk pembangunan jalan dan jambatan. Ini termasuklah Lebuhraya Kedua Link Timur-Barat di antara Titi Karangan dan Kupang dan Lebuhraya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Betis di antara Pos Blau dan Kampung Kuala Betis. Beberapa projek menaik taraf lebuh raya telah juga disiapkan seperti lebuh raya Brinchang Lojing, lebuh raya Beaufort-Sindumin dan lebuh raya Betong-Kayu Malam. Dengan ini bekalan lebuh raya akan meningkat sebanyak 2,140 km kepada 75,160 km.

Dalam tempoh akhir rancangan, dana tambahan akan diperuntukkan untuk mempercepatkan penyiapan projek jalan raya utama, termasuklah Jalan Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang, Jalan Bentong Kuala Lipis, Lebuhraya Rentas Kedah Timur, Jalan Kuching-Serian, Jalan Nangoh-Kanibongan, Jalan Sepulut Kalabakan dan Jalan Sipitang-Tenom.

Dalam tempoh akhir rancangan, kerajaan akan melipat gandakan usaha bagi menggalakkan Pelabuhan Klang sebagai hub mega dan distripark di samping PTP serta Senai sebagai pusat pengumpulan dan penghantaran kargo maritim dan udara. Pada masa yang sama, kerajaan juga akan meningkatkan tahap keselamatan pelayaran maritim dan mengurangkan pencemaran laut dengan menubuhkan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia. Sebuah pusat latihan maritim akan juga dibina di Pulau Indah, Pelabuhan Klang sebagai pelengkap kepada Akademi Maritim Malaysia. Langkah lain yang akan dilaksanakan termasuklah pemasangan sistem pengenalan automatik bagi memantau pergerakan kapal di perairan Selat Melaka.

Dalam tempoh kajian semula, kerajaan juga akan terus mengambil langkah bagi memastikan pengurusan bekalan air yang cekap. Beberapa projek pembangunan sumber air termasuk Empangan Sungai Selangor, Projek Bekalan Air Teluk Bahang/Batu Feringgi di Pulau Pinang, loji rawatan air Fasa II Kuala Jelai dan Fasa III Sungai Terip di Negeri Sembilan telah disiapkan dan membantu meningkatkan kapasiti jumlah pengeluaran air negara sebanyak 12 peratus.

Negara telah banyak mencapai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur, di mana kini ia hampir setaraf dengan negara maju. Pemasangan, operasi serta penyelenggaraan kemudahan ini tidak datang dengan percuma. Ia mempunyai kos. Kos ini hendaklah dibiayai bersama oleh kerajaan dan swasta. Sesungguhnya kerajaan tidak mampu membangunkan semua kemudahan infrastruktur untuk kesejahteraan rakyat daripada cukai yang dipungut. Jika hendak ditunggu sehingga kerajaan mempunyai dana yang cukup maka akan lewatlah kemudahan-kemudahan ini diadakan.

Justeru itu, pihak swasta perlu memainkan peranan dan melabur. Mereka tidak mungkin melabur jika pulangan yang berpatutan tidak diperoleh oleh mereka. Pengguna mestilah sanggup membayar secara berpatutan untuk khidmat yang diberi. Namun kerajaan akan membantu setakat yang kewangan kerajaan mengizinkan. Sebenarnya bayaran yang perlu dibayar oleh pengguna di Malaysia jauh lebih rendah daripada yang dibayar oleh pengguna di negara lain. Demi kepentingan semua pihak, pengguna hendaklah terima konsep pengguna membayar atau user pays. Amatlah tidak adil jika mereka yang tidak mengguna dipaksa membayar melalui cukai umum untuk keselesaan mereka yang mengguna...

Membangunkan Sumber Pertumbuhan Baru Dalam Sektor Pembuatan
Beberapa bidang sektor pembuatan telah dikenal pasti sebagai berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan baru. Industri marin menawarkan peluang dalam pembinaan dan pembaikan kapal besar, kapal, bot, feri, kapal persiaran, kapal layar dan pembangunan industri sokongan yang lain. Jentera dan peralatan serta industri fabrikasi logam juga akan terus dibangunkan.

Projek Bio-Valley akan dilaksanakan bagi menarik pelaburan yang berkait dengan aktiviti bioteknologi. Industri aeroangkasa akan terus dibangunkan dengan pelaksanaan Program Satelit Negara. Industri pemprosesan makanan pula akan menumpukan kepada bahagian pasaran yang baru termasuk makanan segera, makanan berkhasiat dan makanan halal selaras dengan perubahan gaya hidup pengguna. Sektor pembuatan berasaskan perkhidmatan seperti P&P, pengagihan, pemasaran, pembungkusan, penjenamaan, reka bentuk dan prototaip adalah penting bagi meningkatkan nilai ditambah kepada produk pembuatan akan juga digalakkan...

Menggiatkan Semula Pertanian
Sektor pertanian akan dijadikan sektor penting kepada ekonomi negara. Dalam tempoh kajian semula, sektor ini berkembang 1.5 peratus berikutan peningkatan keluaran kelapa sawit dan komoditi makanan. Hasil eksport pertanian meningkat sebanyak 26 peratus daripada RM23 bilion pada tahun 2000 kepada RM29 bilion pada tahun 2003 disumbang oleh kenaikan harga komoditi utama dan makanan. Eksport barangan makanan yang lebih baik adalah kesan daripada peningkatan pelaburan dalam pengeluaran makanan berskala besar dan pembaikan kualiti yang dicapai dalam konteks pendekatan MOA Incorporated. Sementara negara belum lagi dapat beralih kedudukannya sebagai pengimport bersih makanan, negara telah berjaya mencapai tahap sara diri atau self-sufficiency bagi bekalan ayam, itik dan telur serta hampir mencapai tahap sara diri bagi keluaran perikanan.

Dalam tempoh dua tahun yang akan datang, sektor pertanian dijangka berkembang lebih tinggi pada kadar 2.7 peratus setahun. Pertumbuhan sektor ini akan disumbang oleh peningkatan kenaikan keluaran tanaman industri, pengeluaran makanan dan sumbangan daripada aktiviti pertanian yang baru...

Menerokai Pertumbuhan Sumber Baru Dalam Sektor Perkhidmatan
Sektor perkhidmatan terus berkembang pada kadar purata 4.7 peratus dalam tempoh kajian semula. Pertumbuhan kukuh ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor kecil pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi serta sektor kecil kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan.

Pendidikan, pelancongan, kewangan Islam, kesihatan, pengangkutan, perkhidmatan perundingan dan profesional di samping perkhidmatan berkait dengan ICT dan pembuatan akan lebih dieksploitasikan bagi menghasilkan potensi yang sepenuhnya agar ia dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan menyumbang dengan lebih ketara kepada pendapatan eksport. Pertumbuhan industri perkhidmatan ini akan dapat dipercepatkan memandangkan kebanyakan kemudahan infrastruktur yang berkaitan telah sedia diadakan. Dalam usaha untuk menggalakkan perkhidmatan ini, kerajaan akan mengadakan program galakan yang lebih berkesan dan tersusun...

Pelancongan
Sejak beberapa tahun lalu, pelancongan telah meningkatkan sumbangannya kepada pendapatan tukaran asing dan pertumbuhan sektor lain. Pada tahun 2001 dan 2002, ketibaan pelancong telah melebihi sasaran yang ditetapkan. Pada tahun 2001, jumlah ketibaan pelancong adalah seramai 12.8 juta, melebihi 6.5 peratus daripada sasaran. Pada tahun berikutnya, ketibaan pelancong meningkat kepada 13.3 juta dan melepasi 10.8 peratus daripada sasaran.

Walau bagaimanapun, akibat daripada pencerobohan ke atas Iraq dan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), ketibaan pelancong telah menurun sebanyak 31 peratus bagi separuh pertama tahun ini. Namun begitu, sukacita saya nyatakan bahawa sejak beberapa bulan yang lalu, kita telah menyaksikan arah aliran yang semakin meningkat bagi jumlah ketibaan pelancong.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan ketibaan pelancong, lebih banyak aktiviti yang berkait dengan sesuatu acara akan diadakan. Produk dan perkhidmatan pelancongan yang berkualiti, akan disediakan. Selain itu, persijilan Blue Flag dan Green Globe akan diperkenalkan kepada tapak pelancongan. Blue Flag akan diberikan kepada pantai yang menepati piawaian antarabangsa, sementara sijil Green Globe diberikan kepada tapak eko-pelancongan yang mengamalkan perlindungan dan pembaikan alam sekitar...

Dana Untuk Membayar Produk Pelancongan
Sebagai usaha untuk menggalak dan membiayai pengusaha-pengusaha pelancongan menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan pelancongan, kerajaan telah melancarkan Tabung Khas Pelancongan dan Infrastruktur pada Oktober 2002 dengan peruntukan sebanyak RM400 juta. Di samping itu, Pakej Strategi Baru yang diumumkan oleh kerajaan pada 21 Mei 2003 juga telah menambah peruntukan dana Tabung Infrastruktur Pelancongan dari RM200 juta kepada RM700 juta bagi meningkatkan lagi keberkesanan program pelancongan. Antara strategi pembangunan pelancongan yang akan diberi tumpuan ialah melaksanakan pembangunan produk dan pemasaran; mempertingkatkan pembangunan sumber manusia dalam sektor pelancongan; dan menggalak dan memudahkan pelancongan dalam negeri...

Perpaduan Nasional dan Patriotisme
Izinkan saya menyentuh isu yang sangat penting kepada kita. Negara kita merupakan negara pelbagai kaum dan keturunan yang boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial, politik dan ekonomi yang akan menjejaskan pembangunan negara. Secara kebetulan tidak banyak peluang untuk kaum-kaum bercampur gaul dan menjalinkan persahabatan. Adalah dilihat perpisahan antara mereka semakin jauh kerana hasutan oleh pelampau masing-masing.

Jika aliran ini tidak ditangani, keamanan dan kesejahteraan negara mungkin terjejas. Justeru itu kerajaan telah memperkenalkan sekolah wawasan yang meletak sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil dalam satu kampus supaya aktiviti kokurikulum dapat diadakan bersama. Rela dan Rukun Tetangga juga memberi peluang kepada semua kaum bertugas bersama. seterusnya menghapuskannya. Kerajaan juga akan terus mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan menggalakkan integrasi perpaduan dan persefahaman antara pelbagai komuniti, budaya dan tradisi.

Pada tahun 2004, Khidmat Negara akan dilaksanakan supaya sebilangan dari muda-mudi Malaysia akan dihimpun dan dilatih bersama secara ala tentera dan khidmat masyarakat. Adalah dipercayai muda-mudi daripada semua kaum akan dapat hidup bersama, berlatih bersama, berkhidmat bersama dan bermain bersama.

Dengan ini mereka akan terdedah kepada budaya masing-masing dan akan lebih memahami kesamaan dan kelainan antara mereka. Dengan kefahaman ini maka akan berkuranglah salah faham dan ketegangan antara kaum yang boleh mengancam kestabilan dan kemajuan negara...

Penutup
Maju mundurnya sesebuah negara bergantung kepada rakyat negara itu. Jika rakyatnya rajin, berdisiplin, membendung nafsu dan bersedia menghadapi cabaran dan rintangan maka akan berjaya dan majulah negara itu. Soal warna kulit atau keturunan atau sumber alam bukanlah perkara utama, dan sudah tentu bukan penentu kejayaan. Yang menentukan kejayaan ialah budaya ataupun nilai hidup yang diterima dan diamal. Sebab itu kaum-kaum yang berlainan yang tinggal di negara yang sama tidak memperlihatkan kemajuan atau kegagalan yang sama. Kadang-kadang terdapat pencapaian yang amat berbeza antara mereka.

Sektor swasta perlu meneroka pasaran baru. Ini memerlukan perubahan minda daripada selesa dengan pasaran tradisional kepada bersedia menjadikan dunia sebagai pasaran. Kita mesti menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk keluaran dan perkhidmatan dari tempat lain di seluruh dunia kepada negara di rantau ini. Bagi bersaing di pasaran dunia, kita perlu memastikan bahawa amalan pengurusan adalah di tahap piawaian yang tertinggi dan kita mesti dengan tegas menanda aras diri kita dengan amalan terbaik dunia.

Kita perlu memastikan keluaran dan perkhidmatan kita berkualiti tinggi dan diiktiraf di seluruh dunia. Bagi tujuan ini, barangan keluaran kita perlu mempunyai jenama yang terkenal.

Kita jangan sesekali lupa bahawa perpaduan nasional adalah aset terpenting. Bahkan ia merupakan satu-satunya aset yang membolehkan kita menikmati aset lain yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada bumi bertuah ini. Perpaduan nasional dalam negara yang mempunyai penduduk berbilang etnik dan berbilang agama hanya akan dapat dikekalkan dan diperkukuhkan sekiranya wujud sifat persefahaman yang tinggi, sanggup bertolak ansur dan saling hormat menghormati di kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama. Kita telah menyaksikan berapa banyak masyarakat berbilang etnik lain yang mengalami kegagalan kerana masing-masing kaum mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan negara. Jika kita tidak berhati-hati dan berjaga kita juga akan gagal dan hancur.

Kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Pihak kerajaan akan menyediakan kepimpinan dan sumber yang diperlukan. Ia akan mengendalikan perundingan yang intensif dalam merangka strategi untuk menghadapi cabaran baru yang muncul atau, sebelum ia timbul. Rakyat pula mestilah bersatu dan menyokong sepenuhnya semua langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Bagi saya, sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri adalah satu pengalaman yang menyenangkan, melihat rakyat Malaysia bersatu hati dalam menghadapi krisis. Ciri rakyat Malaysia yang unik ini mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan sekali pun dan tidak boleh dikorbankan untuk golongan berkepentingan sendiri dan berkepentingan politik.

Sempena pengunduran saya dari jawatan tertinggi kerajaan, saya menyeru semua rakyat Malaysia agar bangkit untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang dan memikul tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Jika kita melaksanakannya, maka tidak ada sebab mengapa kita tidak dapat terus mengecapi kejayaan dan menjadi negara yang ingin dicontohi oleh dunia. Malaysia Boleh.

Utusan Malaysia, Jumaat 31/10/2003






No comments: