Isu Islam Semasa Oleh Dr. Abdul Monir Yaacob
Dalam ucapan pertamanya yang disampaikan di Parlimen baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melafazkan beberapa istilah yang terdapat dalam siasah dan pentadbiran Islam. Di antaranya ialah amanah, rasuah, adil dan syura.
Sekali imbas ini membayangkan corak kepimpinan yang akan diambil oleh beliau dalam menerajui Malaysia ke tahap yang cemerlang dan terbilang dengan berpandukan prinsip Islam yang universal. Dari aspek kepimpinan apa yang dilafazkan adalah akad atau janji-janjinya kepada dirinya sendiri, rakyat dan janjinya dengan Allah s.w.t. Oleh itu beliau ada mengaitkan bahawa tanggungjawab yang dipikulnya akan dinilai oleh Allah s.w.t. Tanggungjawab tersebut sudah pasti mencakupi tanggungjawab moral dan sosial.
Menurut satu pendapat, tanggungjawab moral meliputi kerja dan ibadat ritual. Islam tidak memisahkan antara tindakan keagamaan dengan tugas kerja keduniaan. Manusia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala tindakannya dan kesan-kesan moral dari seluruh tindakannya. Hubungan erat antara tuntutan ritual dan kerja dijelaskan dalam surah al-Jumaah yang menyeru supaya orang-orang yang beriman menunaikan sembahyang pada hari Jumaat dan setelah selesai menyempurnakannya hendaklah bertebaran dari muka bumi mencari rezeki kurniaan Allah s.w.t.
Terdapat banyak ayat yang menyeru supaya berlaku adil. Adil kepada orang lain dan berlaku adil kepada diri sendiri dan keluarga. Keadilan boleh mencetuskan keharmonian di antara pelbagai pihak dan anggota masyarakat. Keadilan juga menuntut supaya pihak pentadbiran apabila memberikan tugas kepada seseorang hendaklah mempertimbangkan kesesuaian dan kemampuannya supaya tugas dapat dilaksanakan dengan sempurna dan cemerlang.
Islam menuntut supaya keadilan ditegakkan dengan penuh kejujuran dan amanah. Keadilan menolak tindakan yang dilakukan menurut hawa nafsu. Apabila keadilan ditegakkan bererti pemerintah telah melaksanakan satu daripada asas prinsip pemerintahan Islam.
Abu Bakar apabila dilantik menjadi khalifah telah memberi ucapan dan di antara kandungannya adalah mengharapkan kerjasama dan sokongan daripada rakyat apabila berlaku benar dan membetulkannya apabila melakukan kesilapan. Begitu juga dengan Khalifah Umar apabila menjadi khalifah.
Antara cara untuk menegakkan dan mengawal keadilan adalah melalui peraturan dan undang-undang supaya dapat mengawal kepentingan awam.
Rasuah boleh berlaku apabila seseorang itu mempunyai pandangan tertentu mengenai sesuatu tindakannya. Bagi sesetengah orang cenderung membantu pihak tertentu kerana mengharap suatu balasan bagi faedahnya. Dan bersikap tegas dan tidak bertimbang rasa apabila pelanggannya tidak dapat memberi sesuatu manfaat kepadanya atau dia seseorang yang lemah dan tidak berkedudukan. Sedangkan Islam menuntut kita melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran dan ikhlas.
Bahkan dalam memberikan sesuatu jawatan hendaklah tidak berlaku pilih kasih, lebih-lebih lagi jawatan tinggi. Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepada Abu Dhar, ketika dia meminta jawatan gabenor dari baginda Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab, ``Kamu lemah Abu Dhar dan sesungguhnya ia adalah satu amanah yang boleh membawa penyesalan di hari kemudian kecuali orang yang menerimanya mempunyai keupayaan melaksanakan tanggungjawab dengan sepenuhnya.''
Kepimpinan dalam Islam meletakkan setiap pemimpin itu bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpin dan akan ditanya atas segala tindakannya. Oleh itu Nabi berpesan apabila kamu diberi kuasa hendaklah takut kepada Allah s.w.t. dan berlaku adil. Adil dalam percakapan dan tindakan. Dalam melayan tuntutan seseorang hendaklah waspada kerana seseorang itu jika diberi layanan kepada semua tuntutannya nescaya dia akan menuntut harta atau hak orang lain.
Sebagai pemimpin atau ketua hendaklah selalu memberi panduan dan peringatan kepada pegawai-pegawainya supaya tidak bertindak melampau; tugas yang ditetapkan dan bertimbang rasa kepada orang ramai. Pegawai hendaklah diingatkan supaya tidak menutup pintu daripada menemui rakyat, tetapi bersedia menerima aduan dan pandangan mereka.
Khalifah Abu Bakar apabila dilantik menjadi khalifah mengatakan tiada keseronokan dalam jawatan khalifah atau ketua negara. Khalifah Omar pernah berkata, cukuplah dia seorang sahaja dari kalangannya menjadi khalifah. Memberi erti sebagai ketua negara tidak ada masa untuk berseronok dan berfoya-foya dengan kuasa. Kuasa yang diberikan hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Syura atau bermesyuarat adalah antara prinsip pemerintahan Islam. Perkara dan urusan yang boleh diputuskan melalui syura adalah hal ehwal urusan pentadbiran yang bersifat keduniaan seperti urusan ekonomi, sosial, pentadbiran, politik dan kehakiman. Syura tidak boleh diadakan bagi menghalalkan yang haram atau sebaliknya. Begitu juga dalam urusan keagamaan yang telah ditetapkan oleh syariah.
Dalam urusan pentadbiran negara, syura adalah suatu kemestian, bahkan menjadi dasar utama pemerintahan. Bagaimanapun kaedah pelaksanaannya tidak digariskan dengan terperinci dan tidak pula menetapkan kriteria yang tertentu bagi keanggotaan majlis syura.
Oleh demikian terserahlah kepada suasana dan keadaan setempat bagi menentukan keanggotaan tersebut. Begitu juga dengan bentuk keahliannya. Ia boleh berbentuk pilihan atau lantikan. Di zaman pemerintahan khalifah, majlis syura berkuasa menentukan khalifah.
Majlis syura boleh berlaku dalam pelbagai peringkat. Sama ada formal atau ad-hoc, seperti yang dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Apabila baginda meminta pandangan dari sahabat dan didapati pendapatnya bertentangan dengan pendapat ramai, baginda akan menerima pendapat ramai. Di zaman Khalifah Omar, beliau pernah mengambil pendapat melalui mesyuarat dengan pihak wanita dan belia untuk mengambil keputusan yang terbaik.
Bermusyawarah akan memberikan kekuatan dan menghasilkan natijah yang baik dan hampir kepada kebenaran. Dengan demikian pendapat ramai dapat dibincangkan untuk menghasilkan rumusan yang terbaik. Islam menggalakkan setiap lapisan pemimpin bermusyawarah dengan pengikut atau pegawai-pegawainya.
Dengan demikian ia memberi kebebasan berfikir dan bersuara kepada semua. Ini juga merupakan di antara cara bagaimana kecemerlangan dapat dicapai.
- Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
e-mel: monir@ikim.gov.my
Utusan Malaysia, 7/11/2003
Friday, November 07, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment