Oleh Aziz Ishak
(Yang membuat liputan Forum Globalisasi 2003 di Okinawa, Jepun baru-baru ini)
Forum Globalisasi 2003 di Okinawa pada Selasa lalu meningkatkan lagi gelombang perspektif masyarakat antarabangsa bahawa dunia kini diuruskan dengan cara yang tidak demokratik dan cukup menakutkan.
Berada di pusat sivik Naha, tempat berlangsungnya forum berkenaan, sesiapa sahaja dapat merasakan gelombang itu yang mencerminkan realiti baru dalam usaha membendung salah laku kuasa-kuasa besar.
Tema forum ialah Demokrasi dan Keselamatan Dalam Era Globalisasi - persoalan yang mendesak untuk dibincangkan ketika dunia berdepan dengan krisis keselamatan terutama ancaman keganasan dan dilema demokrasi dalam arena politik antarabangsa.
Forum antarabangsa itu dianjurkan oleh Institut Kajian Sosio-Ekonomi Antarabangsa Okinawa dengan kerjasama Yayasan Gorbachev dan akhbar berpengaruh The Ryukyu Shimpo.
Ia merupakan yang ketiga selepas forum yang sama bertajuk Keselamatan dan Keamanan pada tahun 2001 di Tokyo dan di Moscow tahun lalu.
Ironinya forum kali ini yang berlangsung tidak jauh dari pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Okinawa dan di bumi Jepun yang kerajaannya diketahui menyokong dasar-dasar Washington termasuk ke atas pencerobohan Iraq, berkesudahan dengan rumusan menolak pendekatan AS.
Lebih 1,000 orang kebanyakan ahli akademik, pemimpin badan bukan kerajaan dan pemimpin politik Jepun serta diplomat asing yang menghadiri forum tersebut, ternyata tertarik dengan rumusan itu, yang sebenarnya dicorakkan oleh perspektif dan hujah para penceramah.
Daripada lapan penceramah, yang paling mendapat perhatian dan meninggalkan impak pada forum itu ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain bekas Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev.
Kedua-dua penceramah itu telah meledakkan forum tersebut dengan pandangan-pandangan yang berani, tajam serta kritis terutama dalam isu berkaitan pencerobohan ke atas Iraq, Palestin, penyalahgunaan demokrasi dan manipulasi ke atas negara-negara lemah.
\Gorbachev yang pernah memimpin Kesatuan Soviet pada penghujung era Perang Dingin dan kini mengeliling dunia menyampaikan ceramah, memulakan sesi forum dengan mengkritik AS yang menggunakan cara yang salah menangani isu keganasan, pencerobohan di Iraq dan krisis di Asia Barat.
Beliau berpendapat dunia kini memerlukan projek raksasa yang baru bagi menggerakkan masyarakat antarabangsa menangkis pendekatan yang keterlaluan.
``Kita perlu mempunyai model dan resipi baru dalam menangani permasalahan dunia yang timbul sekarang,'' katanya sambil mengkritik AS yang menggunakan pendekatan ketika Perang Dingin walaupun era itu sudah berakhir dan dunia kini memasuki era globalisasi.
Pada Gorbachev, globalisasi adalah projek terhebat dalam sejarah manusia yang menjanjikan harapan besar tetapi ia kini memperlihatkan banyak kelemahan disebabkan oleh percaturan kuasa-kuasa besar.
Walaupun dalam pembentangannya beliau memberikan gambaran suram terhadap masa depan dunia, Gorbachev tetap meletakkan harapan bahawa kuasa-kuasa besar masih boleh diperbetulkan asalkan seluruh dunia bangkit mengasak perubahan orde yang lebih adil.
Ketika para hadirin menjangkakan ceramah Gorbachev mungkin kemuncak, rupa-rupanya mereka lebih tertarik dengan pembentangan Dr. Mahathir selepas itu yang lebih terbuka, fokus dan lebih berhujah.
Dr. Mahathir menyentuh pelbagai perkara dengan perspektif beliau yang bagi sebahagian besar hadirin adalah sesuatu yang baru seperti isu Yahudi, sikap bangsa Eropah, manipulasi kuasa besar dan tafsiran demokrasi.
Intipati ucapannya antara lain ialah dunia kini semakin tidak selamat biarpun di sebalik era globalisasi disebabkan angkara kuasa besar yang menyalahgunakan demokrasi dan berterusan melakukan kesilapan.
Beliau turut membidas kuasa besar yang sudah merancang untuk meluaskan konflik memerangi keganasan ke atas negara-negara lain seperti Iran, Syria, Lebanon, Sudan dan Libya.
``Ia menampakkan kuasa besar tidak belajar daripada sejarah dan daripada pengalaman mereka sendiri. Pengajaran daripada Vietnam telah dilupakan dan yang terbaru mereka tidak mengambil iktibar keadaan di Iraq dan Afghanistan,'' tegas beliau.
Dr. Mahathir bukan sahaja berhujah tentang isu-isu tersebut dengan pemikiran yang logik serta bertunjangkan keadilan bahkan memperkatakan sesetengah isu seperti antisemitik dan keganasan dari sudut sejarah.
Beliau yang menjelang persaraannya baru-baru ini dikritik oleh pihak Barat kerana menyentuh soal kekuasaan Yahudi lalu diancam supaya berhenti bercakap mengenai isu tersebut, nampaknya tidak berganjak.
``Muslim bukan antisemitik,'' katanya dengan menggunakan forum itu memperkukuhkan lagi pandangannya tentang bangsa Eropah yang sebenarnya antisemitik serta memperbetulkan salah tafsir tentang Islam.
Beliau juga menarik perhatian bahawa globalisasi sepatutnya menjadikan dunia lebih selamat seperti yang dijanjikan oleh kemajuan sains dan teknologi tetapi ia tidak menjadi kenyataan akibat sikap tidak demokratik kuasa besar.
Mengenai keganasan, katanya, selagi punca dan faktor yang mendorong keganasan tidak ditangani, selagi itulah dunia terdedah kepada persekitaran tidak selamat meskipun langkah-langkah keselamatan `yang keterlaluan' diperhebatkan.
Penampilan Dr. Mahathir pada forum itu begitu istimewa dan tersendiri. Pertama ia merupakan `tugasan' pertama beliau selepas bersara untuk terus memainkan peranan bagi kepentingan sejagat. Keduanya, beliau membuktikan pendirian, pemikiran dan nadanya yang konsisten - semuanya disampaikan dengan realistik dan tanpa rasa takut.
Ketiga, Dr. Mahathir sememangnya menjadikan forum tersebut lebih menarik dan dapat mencuri perhatian para hadirin termasuk penceramah dan ahli panel yang lain.
Beliau menerima tepukan bergemuruh daripada para hadirin dan pada masa yang sama membuka mata para pemerhati dan diplomat Barat.
``Perspektif beliau nampaknya dapat mewarnai dan mempengaruhi pertimbangan para hadirin forum tersebut,'' kata Tadahiro Sekimoto, Pengerusi Institut Kajian Sosio-Ekonomi Antarabangsa Okinawa.
Malah penyelaras sesi panel, Soichiro Tahara membuka sesi panel kemudiannya dengan menarik perhatian hadirin tentang pendirian dan pemikiran Dr. Mahathir yang disifatkannya cukup berani, rasional dan tidak dapat disangkal.
``Beliau mengejutkan kita dengan pendiriannya yang benar dan seharusnya menjadi hala tuju dunia. Bukan itu sahaja, hujah-hujahnya menarik dan perlu diberi perhatian,'' kata beliau yang juga tokoh wartawan Jepun.
Selain Gorbachev dan Dr. Mahathir, beberapa penceramah lain seperti Kenneth Quinones, Pengarah Program Semenanjung Korea/Pusat Penyelidikan Amerika bagi Asia Pasifik; Kim Kyung-Won, bekas Duta Korea Selatan ke AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Jiang Mingjun, Pengerusi Global Impact Center bagi Program PBB menampakkan aliran pandangan yang menolak keras cara dunia ditangani sekarang.
Bagaimanapun bekas Penasihat Keselamatan AS, Zbigniew Brzezinski yang berucap dari Washington menerusi sidang video dan Wakil Kerajaan Jepun Tatsuo Arima iaitu seorang diplomat terkemuka, lebih menampilkan pendirian menyokong dasar-dasar AS.
Tahara secara sinis membandingkan pendirian Dr. Mahathir dengan pendirian pemimpin dan kerajaan Jepun iaitu sebuah negara lebih maju, lebih besar dan mendakwa menjadi bangsa bermaruah.
Arima yang pernah menjadi profesor di Waseda University dan pernah menyandang pelbagai jawatan dalam dunia diplomatik, menjadi sasaran Tahara pada forum itu yang mempersoalkan pendirian ala pak turut kerajaan Jepun.
Sepanjang sesi panel itu, Arima nampaknya gagal memberi penjelasan yang meyakinkan para hadirin malah ada pandangannya disanggah oleh Dr. Mahathir.
Bekas Perdana Menteri Malaysia itu mempersoalkan hujah Arima bahawa tindakan unilateral AS ke atas Iraq yang disokong oleh Jepun adalah berdasarkan kegagalan Saddam Hussein bekerjasama dan mematuhi arahan PBB.
Dalam pada itu, Tahara yang menggamatkan forum tersebut dengan komen-komennya yang keras, sinikal dan lucu membangkitkan tentang arus kritikan ahli-ahli panel terhadap AS. Sentimen ini menurut Tahara telah dirasakan sejak insiden 11 September lagi dan lebih ketara selepas pencerobohan ke atas Iraq tetapi mengapa Presiden Bush tidak mempedulikan semuanya.
Gorbachev yang diminta reaksinya berkata, pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan oleh AS adalah kesilapan politik terbesar Presiden Bush yang akibatnya menimpa dunia.
``Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir dalam ceramahnya, AS patut mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Iraq sekarang dan sejarah lampau,'' katanya.
Pada sesi panel itu, Gorbachev beberapa kali secara spontan merujuk pandangan Dr. Mahathir yang disifatkannya tepat dan relevan.
Gorbachev dan Dr. Mahathir juga sependapat dalam soal penugasan pasukan tentera pengaman yang semestinya di bawah teraju PBB dan mendapat sokongan antarabangsa serta perlunya tentera AS meninggalkan Iraq.
Dr. Mahathir percaya jika pasukan pengaman yang bebas daripada bayangan AS ditempatkan di Iraq, mereka juga akan berdepan dengan risiko serangan tetapi lama-kelamaan semua pihak di negara tersebut akan memberi kerjasama.
Beliau juga ditanya tentang rasional keangkuhan AS termasuk menceroboh Iraq. Dalam bahasa yang mudah, Dr. Mahathir berkata, ia lebih banyak didorong oleh faktor politik dalaman negara kuasa besar itu dan strategi untuk menguasai kekayaan minyak Iraq. ``Presiden Bush mahu mendapatkan kekuatan politik selepas 11 September,'' jelas beliau yang meramalkan jika Bush tidak terpilih pada pemilihan Presiden musim depan, dasar Washington mungkin sedikit berubah tetapi belum tentu menggembirakan.
Kenneth Quinones mengejutkan forum itu apabila beliau atas kapasiti peribadi sependapat dengan Dr. Mahathir dan menyifatkan Bush seorang yang angkuh menyebabkan sebahagian rakyat AS turut menentang pendekatannya.
Kebimbangan
Dr. Mahathir turut menarik perhatian para hadirin dalam isu Korea Utara ketika hampir kesemua panel melahirkan kebimbangan terhadap ancaman serangan senjata nuklear negara komunis itu.
Sebaliknya kata beliau, negara serantau harus memahami ketakutan dan keterbatasan Korea Utara yang sebenarnya khuatir terhadap tindak balas besar-besaran dunia jika melakukan serangan nuklear terhadap negara-negara jirannya.
``Beliau memberikan perspektif baru dalam isu Korea Utara yang dibimbangi oleh Korea Selatan, Jepun dan AS,'' kata Oshihara Onaga, seorang pensyarah universiti di Okinawa.
Mesejnya Dr. Mahathir mahu negara serantau lebih memahami Korea Utara dalam menangani isu keselamatan dan tidak mengulangi kesilapan kuasa-kuasa besar dalam pendekatan mereka.
Mengenai isu rombakan Majlis Keselamatan PBB, beliau memberikan mekanisme yang jelas termasuk formula 2+1 iaitu persetujuan anggota tetap dan tidak tetap untuk menghalang mana-mana usul, sebelum memansuhkan sepenuhnya sistem veto yang tidak demokratik itu secara berperingkat-peringkat.
Pandangan Dr. Mahathir itu dipersetujui oleh Mingjun yang merasakan China sebagai salah satu kuasa besar wajar menyokongnya. Kim Kyun Won dalam nada yang sama yakin bahawa perubahan itu tidak boleh dilakukan secara drastik malah kalau boleh ia digerakkan sama oleh negara kuasa veto seperti yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir.
``Ahli panel lain bercakap secara umum tetapi Dr. Mahathir membuka kita kepada langkah pilihan yang ada,'' kata Tahara yang pada sesi penutup memberi penghormatan kepada Dr. Mahathir untuk membuat sedikit ulasan rangkuman.
Forum Globalisasi 2003 meninggalkan kesan tersendiri kepada usaha diplomatik dan wacana dalam menyelamatkan dunia. Dalam menilai Dr. Mahathir pula, beliau sudah memulakan tugas barunya sebagai penceramah antarabangsa dengan begitu baik dan meyakinkan. Dr. Mahathir tetap Dr. Mahathir
Utusan Malaysia, Sabtu 15/11/2003
Saturday, November 15, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment