Friday, November 07, 2003

Mencari kemuliaan Lailatulqadar

Wacana Islam
Oleh Mohd Shauki Abd. Majid
Bulan Ramadan memiliki sekian banyak keistimewaan. Salah satu antaranya ialah Lailatulqadar, satu malam yang disebut dalam al-Quran lebih baik daripada seribu bulan. Bagi umat Islam kedatangannya amat dinanti-nantikan.

Kebaikan dan kemuliaan yang diperoleh dari Lailatulqadar tidak mungkin akan diraih kecuali oleh orang tertentu sahaja.

Bulan Ramadan menjadi bulan kehadirannya, kerana bulan ini adalah bulan penyucian jiwa, sehingga ia diduga datang pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Kerana ketika itu, diharapkan jiwa manusia yang berpuasa selama dua puluh hari sebelumnya telah mencapai satu tingkat kesedaran dan kesucian yang memungkinkan malam mulia itu berkenan menemuinya.

Rasul s.a.w menganjurkan sekali gus mempraktikkan iktikaf (berdiam diri dan merenung di masjid) pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan.

Al-Quran berbicara tentang Lailatulqadar dalam surah ad-Dukhaan ayat 3 hingga 4 dan surah al-Qadr ayat 1 hingga 5. Dalam surah ad-Dukhaan, al-Quran menggunakan istilah malam penuh berkat, malam ketika semua urusan manusia seperti hidup, mati, rezeki dan musibah, dijelaskan Allah s.w.t dengan penuh hikmah. Ada pun pada surah al-Qadr, Allah s.w.t menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malam ketika Jibril dan para malaikat lainnya turun ke bumi, dan malam yang penuh kesejahteraan hingga pagi hari.

Tetapi, apa dan bagaimana malam itu? Apakah ia terjadi sekali sahaja pada malam ketika turunnya al-Quran lima belas abad yang lalu atau terjadi setiap bulan Ramadan? Bagaimana kedatangannya, apakah setiap orang menantinya pasti akan mendapatkannya? Benarkah ada tanda-tanda fizik material yang menyertai kehadirannya (seperti membekunya air, heningnya malam dan menunduknya pepohon dan sebagainya)? Masih banyak lagi pertanyaan yang dapat dan sering muncul berkaitan dengan malam Al-Qadr itu. Bagaimanapun ia harus dipercayai oleh setiap orang Islam.

Banyak perbezaan pendapat antara para ulama tentang Lailatulqadar. Ada yang menyatakan bahawa Lailatulqadar telah diangkat, tetapi hadis riwayat Abu Dzar menafikan pendapat ini. Diriwayatkan dari Muhammad ibn al-Hanafiyah bahawa Lailatulqadar ada setiap tujuh tahun sekali, tetapi dalam sanadnya ada kelemahan.

Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa Lailatulqadar ada pada setiap tahun. Diceritakan dari Ibn Masud dan sekolompok ulama Kufah dan diriwayatkan dari Abu Hanifah serta sebahagian besar ulama bahawa Lailatulqadar ada pada bulan Ramadan setiap tahun. Dan antara mereka ada juga yang menyatakan bahawa Lailatulqadar ada dalam sebulan. Sebahagian ulama salaf menyatakan bahawa Lailatulqadar adalah permulaan malam. Sekelompok ulama berkata, Lailatulqadar ada di pertengahan kedua dari Ramadan.

Dalam Musnad dan kitab an-Nasai, Abu Dzar berkata, aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang Lailatulqadar. Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang Lailatulqadar apakah dalam bulan Ramadan atau dalam selain Ramadan? Rasulullah s.a.w menjawab, ``Pada bulan Ramadan.''

Aku bertanya, Lailatulqadar ada bersama Nabi, jika Nabi sudah wafat, apakah lailatulqadr juga ikut diangkat atau adakah tetap ada sehingga hari kiamat. Rasulullah s.a.w menjawab, ``Lailatulqadar ada sampai hari kiamat.'' Aku bertanya, pada bahagian Ramadan yang manakah? Nabi bersabda; ``Carilah pada sepuluh yang pertama dan sepuluh yang terakhir.''

Aku bertanya, dalam sepuluh yang manakah? Nabi menjawab, ``Pada sepuluh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelah ini.''

Kemudian Rasulullah s.a.w berbicara. Setelah itu aku memperdaya dengan pertanyaan berharap beliau lupa. Wahai Rasulullah, aku bersumpah dengan hakku tentang apa yang kau khabarkan, dalam sepuluh yang manakah Lailatulqadar?

Nabi s.a.w marah kepadaku dengan kemarahan yang tidak pernah muncul sejak aku menjadi sahabatnya dan bersabda, ``Carilah pada tujuh yang terakhir.''

Pengalaman mendapatkan Lailatulqadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Ulama mengatakan bahawa tidak semua orang mampu mendapatkan malam seribu bulan ini. Dengan kata lain, Lailatulqadar tidak boleh didapatkan begitu sahaja hanya dengan hadir pada malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan kerana perjumpaan dengan Lailatulqadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani di bulan Ramadan.

Dari al-Quran kita menemukan penjelasan bahawa wahyu-wahyu Allah itu diturunkan pada Lailatulqadar tetapi kerana umat sepakat mempercayai bahawa al-Quran telah sempurna dan tidak ada lagi wahyu setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w, maka atas dasar logik itu, ada yang berpendapat bahawa malam mulia itu sudah tidak akan hadir lagi.

Kemuliaan yang diperoleh pada malam tersebut adalah kerana ia terpilih menjadi waktu turunnya al- Quran. Pakar hadis, Ibnu Hajar, menyebut satu riwayat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda bahawa malam Qadar sudah tidak akan datang lagi.

Pendapat tersebut ditolak oleh majoriti ulama dengan berpegang pada teks ayat al-Quran serta sekian banyak teks hadis yang menunjukkan bahawa Lailatulqadar terjadi pada setiap bulan Ramadan. Bahkan, Rasul s.a.w menganjurkan umatnya untuk mempersiapkan jiwa menyambut malam mulia itu secara khusus pada malam-malam ganjil setelah berlalu dua puluh hari Ramadan. Seandainya ia tidak turun lagi, mengapa Nabi s.a.w menganjurkannya?

- MOHD SHAUKI ABDUL MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Utusan Malaysia, Jumaat 7/11/2003

No comments: