Monday, July 21, 2003

Teliti statistik lelaki - perempuan

Sebelum lebih ramai pakar membuka mulut untuk mencadangkan penyelesaian ke atas masalah yang bukan masalah, ingin saya kemukakan statistik dan fakta untuk renungan semua pihak. Pertama banci tahun 2000 menunjukkan bahawa nisbah penduduk lelaki dengan perempuan Malaysia ialah 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Fakta pertama ini menunjukkan bahawa di Malaysia lelaki masih lebih ramai daripada perempuan.

Untuk berlaku adil dalam analisis, yang kedua, saya kemukakan statistik nisbah lelaki dan perempuan mengikut kumpulan umur (warganegara ini sahaja). Bagi kumpulan umur kurang daripada 20 tahun, nisbahnya ialah 105:100. Makna nisbah ini ialah terdapat 105 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Bagi kumpulan umur 20 tahun dan kurang daripada 30 nisbahnya ialah 99:100 dan 30 tahun dan kurang daripada 40 tahun ialah 99:100. Makna nisbah ini ialah terdapat 99 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Bagi kumpulan umur 40 tahun dan kurang daripada 50 tahun ialah 104:100, 50 tahun dan kurang daripada 60 tahun ialah 109:100 manakala 60 tahun ke atas ialah 89:100.

Ketiga, saya tidak nampak keadaan yang serius dalam masalah yang dibangkitkan. Hanya mungkin jika semua pihak melihat kepada kumpulan umur 60 tahun ke atas dan mengandaikan semua perempuan yang berumur 60 tahun ke atas pun perlu mempunyai suami. Ini memang masalah kerana di Malaysia ini jangka hayat perempuan adalah lima tahun lebih lama daripada lelaki.

Isu yang disensasikan sebagai masalah mungkin melibatkan penduduk dalam kumpulan umur 20 hingga 40 tahun di mana memang terdapat kekurangan seorang lelaki bagi setiap seratus perempuan. Bagaimanapun, campur, tolak, darab dan bahagi antara lelaki dan perempuan yang memang enggan berkahwin atas pelbagai sebab dan lelaki yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, masalah ini akan selesai dengan sendiri. Malanglah umat Islam masa kini kalau membandingkan dan percaya keadaan semasa sama seperti keadaan akhir zaman di mana nisbah lelaki dengan perempuan dikatakan 1:5.

Statistik boleh mencorakkan pelbagai analisis. Saya percaya ramai yang akan cuba membidas dengan menggunakan statistik yang sama dengan mengolahnya dari perspektif yang berbeza. Bagaimanapun, hakikat bilangan perempuan yang tidak berkahwin semakin bertambah tidak perlu dinafikan. Demikian juga dengan bilangan lelaki yang tidak berkahwin. Selagi masyarakat menghormati hak mereka untuk tidak berkahwin, selagi itulah ia bukannya masalah.

Bagaimanapun, langkah-langkah yang diambil oleh Datuk Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman untuk mencarikan jodoh bagi perempuan yang tidak berkahwin harus dipuji.

Berkesan

Memudahkan proses poligami adalah satu pendekatan yang kurang berkesan untuk mengatasi masalah perempuan tidak berkahwin. Sebab orang Malaysia berkahwin di Siam bukan sebab pemakaian peraturan dan proses poligami sedia ada. Rata-ratanya disebabkan perkahwinan itu sendiri adalah perkahwinan bermasalah (daripada perkahwinan yang tidak direstui sehingga perkahwinan terpaksa dan kahwin lari).

Mana-mana di dunia ini, bermula dengan Eropah, kegiatan `maksiat' yang berkembang adalah hasil daripada tekanan pembangunan. Di Malaysia, keadaan ini tidak ketinggalan, bermula dengan kejutan budaya - kesan daripada perkembangan perindustrian dan pertumbuhan peluang pendidikan tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT). Kini impak kejutan budaya ini telah meresap ke seluruh sektor kesan daripada pendedahan maklumat daripada semua bentuk media massa yang `bebas' dan peluang-peluang untuk melakukannya.

Kalau dulu orang Melayu sangat berhati-hati untuk mengahwini wanita yang diceraikan, kini mereka menjadi rebutan dengan hantaran yang lebih tinggi berbanding semasa mereka masih dara.

Perkembangan yang jelas ialah negara-negara yang membangun mengikuti jejak negara-negara maju bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga struktur sosial. Penglibatan aktif lebih ramai wanita dalam kesemua sektor ekonomi telah mengurangkan masa untuk hal kekeluargaan. Sistem kekeluargaan kini telah banyak berubah di mana anak kecil menghabiskan lebih banyak masa di pusat jagaan kanak-kanak dan pembantu rumah daripada bersama ibu bapa. Anak muda masa kini sudah tidak bergantung pada sistem kekeluargaan dan semakin ramai yang lebih selesa bersendiri.

Kewujudan pelbagai sumber hiburan, media massa, pusat karaoke, pub, kelab malam dan pusat disko juga telah mengurangkan jalinan hubungan suami dan isteri dan ibubapa dan anak-anak. Di pusat bandar masa kini lebih ramai yang menghabiskan masa mereka di pusat-pusat hiburan dan kompleks beli-belah daripada berada di rumah.

Di Eropah, kepesatan pembangunan telah mempengaruhi sebahagian wanita untuk bersendiri dan hidup bebas tanpa ikatan perkahwinan. Di sebelah sini, Singapura telah pun mengalaminya. Ramai juga perempuan yang mengambil keputusan untuk menjadi penjaga tunggal kepada anak mereka tanpa mengikat tali perkahwinan. Apakah trend ini akan diikuti oleh Malaysia?

Perempuan yang tidak berkahwin bukanlah punca maksiat. Sebaliknya maksiat adalah antara faktor yang menjadikan lebih ramai lelaki dan perempuan enggan berkahwin. Peraturan dan proses pentadbiran poligami juga bukannya punca maksiat kerana perbuatan maksiat adalah kerana kegagalan manusia mengawal nafsu. Faktor utama yang harus ditangani ialah kesan pembangunan yang tidak seimbang membuka ruang kepada pembentukan peluang untuk insan-insan melakukan maksiat.

Apa pun, saya berharap menteri-menteri kita akan lebih bertanggungjawab dalam membuat kenyataan dan mencadangkan supaya tidak sentiasa merujuk dan mengambil pakai hasil kerja penyelidikan yang dibuat oleh `budak-budak' di IPT. Saya percaya pegawai-pegawai kementerian berkenaan mempunyai keupayaan untuk membuat sendiri analisis ke atas pelbagai perkara dengan maklumat yang lebih tepat sekiranya mereka sentiasa mengemas kini sistem maklumat mereka.

Kita telah selalu sangat merujuk kepada hasil kerja penyelidikan yang kurang tepat menyebabkan kita membazir dengan menjana sumber ke arah menangani masalah yang bukan masalah. Harapan saya ialah supaya kejayaan usaha semua pihak mendapatkan suami bagi perempuan yang tidak berkahwin tidak menyumbang kepada penyebab perceraian.

- Kamaruzaman Ujang, Shah Alam, Selangor.

Utusan Malaysia 21/7/2003

1 comment:

wow power leveling said...

Catch the wow gold star that holds your gold in wow destiny,cheap wow gold the one that forever maplestory money twinkles within your heart. Take advantage of precious opportunities while they still sparkle before you. Always believe that your buy maplestory mesos ultimate goal is attainable cheap mesos as long as you commit yourself to it.maple money Though barriers may sometimes stand in the way of your dreams, remember that your destiny is hiding behind them.wow gold kaufen Accept the fact that not everyone is going to approve of the choices Maple Story Accounts you've made. Have faith in your judgment.wow gold farmen Catch the star that maple story money twinkles in your heart and it will lead you to your destiny's path. Follow that pathway and uncover the sweet sunrises that await you. Take pride in your accomplishments, as they are stepping stones to your dreams. Understand that you may make mistakes, powerlevelbut don't let them discourage you.ms mesos Value your capabilities and talents for they are what make you truly unique. The greatest gifts in life are not purchased, but acquired through hard work and determination.maplestory mesos Find the star that twinkles in your heart?for you alone maplestory powerleveling are capable of making your brightest dreams come true. Give your hopes everything you've got and you will catch the star that holds your destiny.