Tuesday, July 29, 2003

Penganiayaan kontraktor kecil diatasi

TINDAKAN Kementerian Pendidikan sebagai majikan projek menamatkan serta-merta kontraktor utama projek pembinaan makmal komputer sekolah (PMKS) zon timur setelah dinasihatkan oleh pihak PMC projek dan menyerahkannya kepada kontraktor lain iaitu subkontraktor sedia ada yang dilantik oleh kontraktor utama bagi meneruskan dan menyiapkan baki kerja subkontrak yang belum disiapkan adalah dibenarkan dalam amalan kontrak konvensional di bawah mekanisme kontrak bentuk Lump Sum (LS) atau Bills of Quantities (BQ).

Ini didasarkan kepada peruntukan klausa-klausa tertentu di dalam jadual syarat-syarat kontrak projek kerajaan khususnya klausa Intraaction dan Total sub-letting. `Klausa' dalam amalan kontrak Islam bermaksud `syarat sah kontrak'.

Malah, tidak timbul masalah peruntukan tambahan kerana ia dilindungi kontrak berkenaan seandainya kerajaan bertegas mengenainya.

Selain itu, majikan projek dibenarkan membuat pembayaran terus kepada subkontraktor berkenaan sebagai menyusuli tindakan menamatkan kontrak kontraktor utama itu. Dari aspek kontraktual itu mungkin dapat menjelaskan pengumuman yang dibuat mengenainya oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu tersiar dalam Mingguan Malaysia pada 27 Julai 2003 apabila beliau menyatakan, ``Semua bayaran bagi projek-projek kerajaan yang dibina mulai sekarang akan disalurkan terus kepada subkontraktor tanpa melalui kontraktor utama''.

Penulis dapat bayangkan betapa gembiranya warga subkontraktor mendengar pengumuman menteri itu kerana dalam `tradisi kerja pembinaan tempatan' merekalah yang bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja pembinaan sebenar di tapak untuk menyiapkan projek berbanding dengan kontraktor utama yang lebih menumpukan kepada kerja-kerja awalan atau preliminaries, koordinasi pembinaan, menuntut bayaran daripada majikan projek, membuat pembayaran kepada subkontraktor dan mengeluarkan modal termasuk kerja sementara peralatan, mesin dan jentera pembinaan.

Tetapi, merekalah subkontraktor, golongan yang sering dianiaya oleh kontraktor utama di negara ini. Iaitu tindakan kontraktor utama yang terus mengeksploitasi kelemahan subkontraktor tempatan melalui pelbagai cara dan taktik halus seperti menawarkan harga rendah, bayar sedikit-sedikit, memotong bayaran terakhir dan tidak bayar terus - penipuan pembayaran hingga kadang-kadang mereka terpaksa mengambil tindakan sendirian di luar batas undang-undang.

Maksud subkontraktor ialah subkontraktor dalaman atau domestik yang mana jika dikaji dari segi hak atau kedudukannya dalam kontrak LS dan BQ mereka adalah terdedah kepada pelbagai risiko kontrak.

Iaitu risiko kontraktor utama memanipulasi kelemahan hakiki kontrak LS atau BQ yang berkaitan dengan subkontraktor domestik demi untuk memaksimumkan keuntungan mahupun mengelak kerugian. Termasuk dalam istilah subkontraktor domestik ialah kontraktor - baba dalam kes kontrak yang dialibabakan atau total sub-letting.

Apa yang penulis maklum, cadangan bayaran terus ini keluar dari mulut subkontraktor sendiri khususnya kontraktor kelas F. Malah ia adalah cadangan lama yang diperbaharui. Dengan maksud mereka mengambil kesempatan daripada isu projek PMKS yang memperlihatkan beratus-ratus subkontraktor terperangkap dalam keadaan tidak menentu setelah kontraktor utama ditamatkan kontraknya serta-merta.

Dengan kata lain, mereka sudah lama memperjuangkannya. Dan pada ketika yang sama, kerajaan terperangkap dalam keadaan di mana mereka terpaksa menggunakan subkontraktor yang ditinggalkan oleh kontraktor utama.

Mungkin di atas dasar kemanusiaan dan mungkin disebabkan keadaan yang terlalu mendesak untuk menyiapkan projek memudahkan cara. Ini walaupun kerajaan berhak mencari sub-kontraktor lain.

Persoalannya, apakah kekuatan atau rasional cadangan sub-kontraktor itu sehingga pelaksanaannya kini diperluaskan kepada seluruh kontrak kerajaan? Atau, siapakah subkontraktor hinggakan cadangannya begitu mudah diterima-pakai oleh kerajaan?

Maksud penulis, mengapa cadangan sedemikian tidak datang daripada golongan profesional teknikal yang mahir dalam aspek kontrak sebelum ini? Apa yang penulis khuatiri keputusan yang membuat bayaran terus ini dilakukan dalam keadaan terdesak yang mungkin tidak disedari akan menimbulkan masalah lain di masa akan datang.

Bagi penulis, keperluan bayaran terus kepada subkontraktor domestik perlu digunakan untuk menyelamatkan projek yang bermasalah sahaja seperti kontrak PMKS seperti mana diperuntukkan di bawah kontrak LS dan BQ itu sendiri. Mengapa? Pada hemat penulis ia akan memberi kesan kontraktual dalam aspek tertentu yang perlu difikirkan.

Membuat bayaran terus kepada kontraktor domestik bererti meminta tatacara penggunaan kontrak LS dan BQ - awam yang digunakan oleh badan-badan kerajaan. Adakah ini dibenarkan oleh amalan kontrak konvensional.

Maksudnya, apakah dibenarkan dalam amalan kontrak konvensional jika sesuatu kontrak itu didapati bermasalah ia terus dipinda. Bukankah untuk memindanya ia perlu dikemukakan kepada badan induk yang menyelenggara penciptaan dan pindaannya iaitu CIDB United Kingdom, atau setidak-tidaknya ia dirujuk dahulu kepada badan profesional tempatan berkaitan untuk mendapatkan pandangan?

Sebelum ini pun kita meminda syarat penawaran kontrak kerajaan LS dan BQ iaitu pindaan yang mengehadkan tawaran kontrak kepada kontraktor Melayu sahaja. Kesannya ialah kontrak dijual atau dialibabakan. Sebabnya kebanyakan kontraktor Melayu tidak layak dari segi modal dan pengalaman untuk melaksanakan kontrak konvensional di bawah kategori price-in advance (maksud Islamnya kontrak Tempahan) khususnya kontrak LS dan BQ berbanding dengan kontraktor Cina.

- SUBAHIR TAIB, Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia, Selasa 29 Julai 2003

1 comment:

Unknown said...

updates?