PUTRAJAYA 12 Julai - Multaqa Ulama Sedunia yang menghimpunkan lebih 800 ulama dan cendekiawan Islam dari 33 negara berakhir hari ini dengan iltizam untuk mengkaji sedalam-dalamnya semua pemikiran yang telah dipaparkan bagi merangka pelan tindakan segera demi manfaat ummah.
Pengerusi Multaqa yang juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman memberi jaminan tindakan susulan dan perincian yang jitu akan dijalankan bagi memastikan usaha yang dirintis sepanjang multaqa itu tidak berakhir begitu saja.
Antaranya, kata beliau, lebih banyak multaqa melibatkan penyertaan yang kecil dan besar akan diadakan di merata tempat di dalam dan luar negara.
``Multaqa telah mencantumkan pemikiran, kefahaman dan pegangan yang sebelum ini bersendirian dan bersepah di sana-sini, yang boleh membawa mudarat kecil seperti percanggahan fikiran kepada mudarat besar sehingga berbunuh-bunuhan di kalangan pengikut taksub.
``Umpama sungai pemikiran Islam yang besar, multaqa yang dianjurkan sepanjang tiga hari ini boleh memberi laluan bahtera yang baik kepada umat Islam,'' katanya ketika berucap pada upacara penutup di sini hari ini.
Menurut Dr. Abdul Hamid, Malaysia juga berharap multaqa ulama itu boleh meleburkan benteng-benteng yang menghalang kemajuan umat Islam.
``Istilah multaqa ini makna asalnya ialah apabila terbit beberapa anak sungai yang mengalir airnya bersendirian kemudian bertemu di suatu tempat menjadi sebuah sungai yang besar.
``Semasa dalam sungai yang kecil, air itu tidak berguna untuk sampan atau kapal, tidak berguna untuk orang yang suka berenang apatah lagi untuk lumba perahu atau jet ski tetapi setelah bercantum menjadi sungai yang besar, hasilnya memberi manfaat kepada manusia dan alam sekitar,'' katanya.
Menurut beliau, begitu halnya dengan umat Islam sekiranya bersendirian sudah tentu mereka tidak mempunyai kekuatan termasuk untuk melakukan muhasabah diri sehingga dengan mudah menjadi taksub dan menolak pandangan orang lain.
Lebih buruk lagi, kata beliau, mereka mudah tersasul dalam hal-hal yang fundamental seperti perkara ijtihad.
Justeru dengan mengadakan multaqa iaitu perbincangan di kalangan ulama dan pemikir Islam, beliau yakin bukan sahaja banyak pemikiran bernas dapat dicurahkan bahkan sama-sama dapat bersepakat mencari titik pertemuan terbaik merungkaikan percanggahan pendapat dan pemikiran.
Menarik perhatian kepada peristiwa serangan 11 September 2001 di New York dan perang Iraq, beliau berkata, dua peristiwa besar itu patut menjadi pengajaran kepada umat Islam untuk tidak berdiam diri sebaliknya bergerak menjayakan usaha mengembalikan kegemilangan tamadun Islam.
Rencana ini dipetik dari Akhbar Utusan Malaysia, 14 Julai 2003
Monday, July 14, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment