Tuesday, July 29, 2003

Cabaran baru keupayaan perisikan

Oleh Aziz Ishak

(WARTAWAN UTUSAN)
Di Malaysia, berakhirnya Perang Dingin membawa kesan positif kepada rakyat dan negara terutama dari segi kestabilan dan pencapaian ekonomi lebih-lebih lagi selepas peletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Era ancaman pengganas komunis menyaksikan pasukan keselamatan negara iaitu tentera dan polis menggembleng seluruh kekuatan menerusi strategi memenangi hati dan minda rakyat dalam mengekang ancaman tersebut.

Salah satu elemen kekuatan pasukan keselamatan ketika itu ialah kemampuan dalam perisikan sama ada dalam menangani ancaman pengganas komunis mahupun mengekang ideologi komunisme itu sendiri.

Bagaimanapun perkembangan pada dekad 1990 dan di awal dekad baru ini memperlihatkan perisikan tidak lagi menjadi penekanan pasukan keselamatan.

Mungkin ini adalah harga yang perlu dibayar daripada suasana aman atau tiadanya ancaman ketara sebagaimana PKM.

Namun suasana aman bukan bererti tiada ancaman termasuk dari dalam negara apatah lagi mengikut teori agenda baru keselamatan, ancaman kini lebih bersifat menyeluruh. Beberapa isu keselamatan diramalkan berterusan pada masa depan termasuk di negara ini. Di antaranya ialah pertelingkahan etnik, ancaman militan, pengedaran dadah, pendatang haram, jenayah perdagangan, penyeludupan dan kes-kes jenayah serius seperti bunuh, rogol dan gengsterisme.

Malaysia pernah dikejutkan dengan kejadian rampasan senjata dan tawanan di Bukit Jenalek, Perak dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM). Kedua-dua peristiwa itu mengundang persoalan tentang kemampuan dunia perisikan negara sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun polis. Dalam kes KMM, kegiatan kumpulan itu hanya terbongkar selepas tindakan berani seorang pengawal keselamatan mematahkan percubaan rompakan anggota KMM.

Namun pihak polis kemudian membuktikan bahawa mereka melalui rangkaian polis Cawangan Khas mampu menangani ancaman kumpulan militan dengan tertangkapnya ramai anggota KMM dan Jemaah Islamiah (JI).

Malah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dapat mengesan kehadiran orang kanan Al-Qaeda yang menemui beberapa rakyat Malaysia di negara ini sebelum kejadian 11 September dan maklumat itu telah disalurkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Bahagian perisikan pertahanan ATM juga mencatatkan banyak rekod kejayaan selepas era ancaman pengganas komunis termasuk mengesan cubaan menjual maklumat pegawainya kepada sebuah negara jiran.

Jalinan hubungan yang baik oleh pihak ATM dengan beberapa negara luar termasuk merintis hubungan dengan junta tentera Myanmar sebelum ini ketika negara lain tidak mampu berbuat demikian, adalah satu lagi buktinya.

Bahagian perisikan ATM dan Cawangan Khas PDRM juga mempunyai kerjasama yang baik dan menunjukkan hasil antaranya penahanan pemimpin selatan Filipina, Nur Misuari tidak lama dulu. Ia membuktikan bahawa dunia perisikan negara belum `tumbang', cuma yang perlu ialah memberi penekanan baru mengikut cabaran keselamatan masa kini.

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersempadan dengan banyak negara, mempunyai pertikaian dengan beberapa negara jiran serta berdepan dengan ancaman dalaman seperti risiko pertelingkahan etnik, memerlukan kekuatan perisikan.

Perisikan bukanlah `Tuhan' yang tahu atau boleh menjangkakan segala-galanya. AS yang hebat dengan anggota terlatih, doktrin terbaik dan kelengkapan tercanggih juga gagal menjangkakan dan menghidu banyak kejadian termasuk peristiwa 11 September.

Tetapi mengambil mudah potensi perisikan dan kegagalan menggembleng seluruh kekuatan bidang itu hanya akan mengundang malapetaka besar kepada negara. Negara memerlukan kestabilan dan kemakmuran berterusan - syarat utama mencapai strategi agung iaitu kemajuan seimbang sebagaimana Wawasan 2020.

Dalam menyediakan persekitaran terbaik bagi rakyat sesebuah negara untuk mencapai kemajuan sebenar ia memerlukan pakej komponen kuasa nasional yang juga terbaik.

Ia bukan sahaja meliputi kestabilan politik, kekuatan ekonomi, pendidikan, teknologi dan sosial bahkan penguasaan terhadap maklumat dan penganalisaan maklumat yang terbaik termasuk dalam menjangkakan masalah dan ancaman.

Dalam konteks Malaysia, selain ancaman militan, kekuatan rangkaian perisikan boleh digerakkan untuk menangani permasalahan seperti pengedaran dadah, kemasukan pendatang asing, penipuan dokumen seperti kad pengenalan dan pasport, pencerobohan tanah oleh pendatang haram serta pengedaran VCD haram dan lucah.

Kesemua permasalahan itu sudah menjadi ancaman nasional yang semakin ketara berikutan peralihan konsep keselamatan daripada yang bersifat tradisional atau ketenteraan kepada yang lebih bersifat menyeluruh. Satu lagi permasalahan yang boleh ditangani melalui kekuatan perisikan ialah `penyakit' penguatkuasaan.

Daripada masalah ulat teksi sapu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehinggalah kepada menangani masalah pengedaran dadah yang tidak susut-susut. Jarang kita mendengar pengedar `jerung besar' diberkas sementara dadah masih mudah didapati di negara ini menyebabkan ramai khususnya orang Melayu menjadi penagih selain mencetuskan masalah sosial.

Begitu juga dengan aktiviti penyeludupan yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit. Yang biasa diperoleh dalam setiap kali operasi ialah barang rampasan dan beberapa pekerja sindiket penyeludup diberkas sedangkan dalang dan raja penyeludup terus bebas.

Jika ada perkara yang paling menuntut post-mortem besar di Malaysia, ia tidak lain ialah bidang penguatkuasaan. Rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak konsisten adalah antara masalah serius agensi-agensi penguatkuasaan. Malah ia sudah sampai ke peringkat dimomokkan oleh rakyat yang seakan-akan sudah pudar keyakinan kepada kelemahan sektor itu khususnya dengan gejala harapkan pagar, pagar makan padi.

Apabila banyak operasi dijalankan oleh agensi-agensi berkenaan, masalah tersebut seakan terkawal tetapi realitinya banyak lagi yang perlu `digali' bagi melumpuhkan dalam erti kata sebenar ancaman tersebut.

Menerusi langkah memperhebatkan perisikan negara, ia boleh menjadi jalan keluar terbaik dalam menangani krisis penguatkuasaan ini dan cabaran lain.

Beberapa negara luar termasuk Itali yang menghadapi ancaman mafia, menggerakkan banyak tenaga perisikan yang setakat ini telah meredakan ancaman kumpulan penjenayah terancang itu.

Di Syria, salah satu elemen pencegahan jenayah ialah bilangan anggota polis cawangan khas yang besar.

Di kebanyakan tempat termasuk kawasan tumpuan ramai dan tarikan pelancong, lapangan terbang serta tempat-tempat strategik negara itu, sentiasa ada polis berpakaian preman. Perkara ini sudah menjadi rahsia terbuka di kalangan rakyatnya serta diplomat serta pekerja asing.

Ini mungkin disebabkan Syria yang bersempadan dengan negara musuh ketatnya Israel menerapkan orientasi keselamatan yang tinggi di negara tersebut.

Ia antara lain sebagai persediaan menghadapi sebarang sabotaj, kejutan dan huru-hara yang mungkin timbul daripada muslihat yang digerakkan oleh musuh. Pun begitu, rakyat Syria percaya bahawa jumlah polis cawangan khas yang ramai dan berlegar-legar di merata-rata tempat merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pencegahan jenayah.

Berdasarkan pemerhatian penulis yang berada di negara itu baru-baru ini, rakyat Syria tidak pernah merungut atau melahirkan rasa tidak senang dengan anggota polis berpakaian preman yang `mengepung' kehidupan mereka.

Malah keadaan tersebut dianggap rahmat kepada rakyat yang turut dinikmati oleh pelancong. Anda boleh berjalan kaki di bandar dan lorong-lorong gelap di Damsyik atau dikenali sebagai Damascus tanpa merasa takut. Kadar jenayah di negara itu sama ada rompakan, pembunuhan dan rogol dikatakan antara yang terendah di kalangan negara membangun.

Dalam hubungan ini, negara yang mampu memastikan kadar jenayah yang rendah akan mendorong kesejahteraan hidup yang lebih tinggi selaras dengan konsep yang kian diberi perhatian dalam isu keselamatan selepas Perang Dingin iaitu The Human Dimension.

Maka menjadi harapan agar kerajaan mengambil langkah membesarkan lagi keanggotaan dan saiz cawangan khas PDRM bagi memenuhi cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.

Malah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini mahu kecekapan cawangan khas dipertingkatkan bagi mengatasi beberapa kelemahan yang berlaku sebelum ini.

Terlalu banyak yang boleh dilakukan oleh perisikan dan kita perlu cari apa sahaja maklumat, menilai aliran dan bibit-bibit awal yang boleh mendatangkan ancaman kepada negara. Dengan penggemblengan pasukan cawangan khas sepenuhnya di peringkat akar umbi, ia dijangka dapat membendung tercetusnya masalah-masalah tertentu seperti pertelingkahan etnik sebagaimana insiden Jalan Klang Lama.

Banyak kawasan penempatan di negara ini masih terdedah kepada risiko pergaduhan kaum walaupun tiada insiden sedemikian kebelakangan ini.

Tumpuan juga harus diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan termasuk agama, etnik dan seni bela diri. Sebahagiannya jika tidak diawasi menerusi rangkaian perisikan, akan menjadi sumber ancaman sebagaimana Al-Ma'unah, yang hanya terdedah selepas peristiwa rampasan senjata.

Selain itu, langkah menambah keanggotaan serta memperhebatkan peranan cawangan khas adalah bagi membantu PDRM yang kini terbeban dengan segala macam tugas tambahan dan harapan rakyat yang semakin tinggi. Dalam banyak isu, terbukti akhirnya PDRM terpaksa melakukan langkah pemulihan berikutan kelemahan penguatkuasaan agensi tertentu seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, pihak berkuasa harus memberi tumpuan kepada kemampuan perisikan ekonomi dalam menghadapi ancaman dan sabotaj ekonomi. Dengan serangan ekonomi misalnya, sesebuah negara boleh dimiskinkan dan kemiskinan adalah senjata paling berbahaya untuk meruntuhkan kedaulatan sesebuah negara.

Begitu juga dalam mengesan atau mengetahui dengan pantas apa sahaja yang dilakukan oleh negara-negara jiran yang ada kaitan dengan kepentingan negara termasuk langkah Singapura menerbit dan mengedarkan buku mengenai isu air.

Senario politik antarabangsa yang tidak menentu, peningkatan agenda white supremacy, orde antarabangsa yang masih menindas negara yang lemah serta berjiran dengan negara bermuslihat serta sentiasa mahu mengambil kesempatan, menuntut kewaspadaan yang tinggi. Itu belum lagi dengan ancaman keganasan siber (cyber terrorism) yang boleh meranapkan sesebuah negara dengan cara paling mudah dan paling murah.

Dunia sekarang adalah dunia peperangan maklumat yang bersifat merentasi sempadan. Pendek kata, keselamatan bukan ketenteraan selepas Perang Dingin lebih menakutkan ancamannya. Arah aliran ini memperlihatkan kian banyak negara melaksanakan program pembinaan keselamatan nasional (national security) berteraskan penguasaan teknologi maklumat mahupun perisikan.

Malaysia tidak harus mengambil risiko dengan membiarkan pihak luar sentiasa berada di depan menerusi rangkaian perisikan dan perang saraf mereka. Inilah masa terbaik untuk melakukan kebangkitan kepada perisikan negara.

Cabaran selepas ini, berapa banyak lagi yang kita tidak tahu dan jangan biarkan negara menerima kejutan besar. Jika itu berlaku maka seperti biasa semua akan sibuk menuding jari tetapi ketika itu, kita sesungguhnya sudah terlewat.

Utusan Malaysia, Sabtu 26 Julai 2003

No comments: