Tuesday, July 15, 2003

Bank memihak pada golongan berada

Di Malaysia terdapat dua jenis sistem perbankan seperti mana di kebanyakan negara iaitu bank-bank milik kerajaan dan bank-bank milik swasta. Bank pusat iaitu Bank Negara pula mengawal kegiatan kedua-dua jenis bank ini dengan menggunakan dasar kewangannya, antaranya dengan memastikan penawaran wang yang mencukupi, menetapkan kadar faedah, mengawal inflasi dan sebagai peminjam terakhir bagi bank-bank perdagangan.

Kita juga sedia maklum terdapat terlalu banyak bank perdagangan yang beroperasi di negara ini sehingga mengeluarkan pinjaman berjuta-juta ringgit. Sesetengahnya tanpa mengikuti tadbir urus perbankan telah mengakibatkan jumlah hutang tidak berbayar (NPL) meningkat mendadak hingga menjadi salah satu punca bagi krisis kewangan yang melanda negara ini pada tahun 1997/1998.

Berikutan itu, kerajaan mengumumkan berapa langkah antaranya supaya bank-bank tempatan mengikuti tadbir urus yang ditetapkan dan jumlah bank perdagangan dikurangkan dengan cadangan penggabungan kepada berapa bank utama supaya hanya terdapat enam bank utama.

Bukan maksud saya untuk menulis tentang sejarah atau peranan bank pusat dan bank perdagangan tetapi untuk mengutarakan beberapa masalah yang dihadapi oleh golongan yang berpendapatan rendah yang berurusan dengan bank-bank berkenaan dan juga tentang dasar-dasar bank berkenaan yang lebih memihak kepada golongan yang berada.

Pertamanya, golongan yang berpendapatan rendah yang ingin mendapat pinjaman daripada bank perdagangan adalah amat susah. Bank selalunya melihat kelayakan pinjaman seseorang atau syarikatnya sebelum memberi sesuatu pinjaman.

Dalam kes tertentu, bank menilai kelayakan sekiranya peminjam memiliki harta benda yang lain seperti tanah sebelum memberi pinjaman. Bank perdagangan juga tidak mengindahkan saranan kerajaan untuk membantu peniaga-peniaga kecil. Oleh kerana ketidakprihatinan bank-bank perdagangan ini menyebabkan kerajaan mengumumkan beberapa skim pinjaman mudah daripada bank-bank milik kerajaan dalam pakej strategi ekonomi baru-baru ini.

Keduanya, baru-baru ini sebuah bank di negara ini mengeluarkan syarat baru pengeluaran wang daripada mesin ATM (tidak tahu bila bank lain akan turut mengenakan syarat yang sama). Selepas sahaja pengeluaran wang bagi kali kelima dalam setiap bulan, pelanggan akan dikenakan caj bayaran sebanyak 50 sen dan sekiranya baki wang simpanan lebih daripada RM3,000 maka dikecualikan daripada caj berkenaan.

Ini jelas menunjukkan golongan yang berpendapatan tinggi dan mempunyai simpanan yang banyak tidak dikenakan caj bayaran. Manakala golongan yang berpendapatan rendah yang mengeluarkan wang dalam jumlah yang kecil setiap kali ke mesin ATM dan mempunyai baki simpanan kurang daripada RM3,000 dikenakan caj bayaran 50 sen.

Apabila ditanya, bank berkenaan menjawab bahawa peraturan baru ini adalah arahan daripada Bank Negara (jawapan standard yang selalu diberikan mengenai peraturan bank).

Kalau di negara Barat umpamanya United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), sekiranya kita simpan wang dalam akaun simpanan, kita dapat kadar faedah yang agak memberangsangkan. Di Malaysia kalau simpan dalam akaun simpanan bukan sahaja tidak dapat faedah bahkan kena bayar caj pula bila hendak keluarkan duit sendiri. Manakala wang kita yang disimpan digunakan oleh pihak bank untuk memberi pinjaman kepada golongan yang berada yang ingin membuat perniagaan.

Ketiganya, sebelum krisis kewangan iaitu ketika pertumbuhan ekonomi negara adalah tinggi, kebanyakan bank perdagangan telah menaikkan kadar faedah kepada tahap yang agak tinggi sehingga sektor perniagaan merungut. Kerajaan juga telah membuat banyak teguran terhadap bank-bank perdagangan untuk menurunkan kadar faedah. Pada masa tersebut keuntungan bank perdagangan adalah daripada kadar faedah yang tinggi. Manakala dewasa ini, kebanyakan bank perdagangan berlumba-lumba untuk mengurangkan kadar faedah ke tahap yang rendah hingga ke 2.25 peratus.

Pengurangan kadar faedah hingga ke tahap sedemikian menguntungkan golongan yang membuat bisnes dan banyak caj yang dikenakan oleh bank adalah ke atas pengguna lain secara umumnya. Pokoknya trend bank perdagangan sekarang adalah dengan mengurangkan keuntungan daripada pinjaman tetapi mendapat pulangan dengan mengenakan caj-caj ke atas perkhidmatan tertentu yang sepatutnya diberikan secara percuma.

Jelas di sini bank-bank perdagangan akan cuba apa cara sekalipun untuk mengekalkan keuntungan walaupun keadaan ekonomi berkembang pesat ataupun sedang mengalami kemelesetan.

Perkara utama yang ingin saya utarakan ialah bank-bank perdagangan jangan lupa kepada tanggungjawab sosialnya terhadap negara dan rakyat dalam usaha mereka mengejar keuntungan yang lumayan. Bank-bank yang mempunyai ramai pegawai dan kakitangan yang terpelajar tidak harus mengunakan sesuatu mekanisme tanpa menyedari akibatnya terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dalam jangka masa yang panjang.

Dasar perbankan negara seharusnya lebih ke arah membantu golongan yang berpendapatan rendah di samping bekerjasama dengan golongan usahawan dalam memajukan negara. Contoh Dasar Persyarikatan Malaysia iaitu kerjasama antara sektor awam dan swasta boleh diguna pakai. Di sini bank-bank perdagangan seharusnya mencipta satu suasana yang sesuai untuk memupuk kerjasama dengan golongan usahawan dan tanpa melupai juga golongan yang berpendapatan rendah.

- Mohd. Irwan Serigar Abdullah, Subang Jaya, Selangor.

Utusan Malaysia Online, Selasa 15 Julai 2003


No comments: