Sunday, July 13, 2003

Gaya Hidup Dunia Digital

SELAMAT datang dunia digital! Atau mungkin juga boleh kita ucapkan `Sayonara' kepada pelbagai peranti komputer zaman mono seperti cakera liut (disket) atau skrin hitam-putih yang suatu ketika dahulu merupakan komponen utama dalam dunia pengkomputeran apabila kini pengguna mula memasuki era digital.

Jika dahulu, pengguna amat bergantung kepada disket bersaiz 8, 5 1/4 dan 3.5 inci (terbaru) yang mempunyai simpanan data fail-fail kerja mereka tetapi kini kelihatan ia semakin tersisih.

Pengeluaran produk-produk komputer baru telah tidak menyokong lagi peranti tersebut kerana tiadanya pemacu (atau pemain) disket disediakan.

Pengguna komputer masa sekarang hanya perlu membawa satu peranti sebesar ibu jari untuk menyimpan data dikenali sebagai kad SecureDigital (SD), CompactFlash, Memory Stick, MultimediaCard dan SmartMedia.

Bagi storan yang mempunyai kapasiti lebih tinggi, DVD-RW, CD-RW atau cakera Zip mungkin menjadi pilihan pengguna yang memerlukan ruang lebih banyak untuk menyimpan data mereka sama ada berbentuk teks, bunyi, video atau multimedia.

Skrin komputer monokrom (berwarna hijau), dump terminal (komputer tanpa cakera keras), telefon bimbit bersaiz besar dan banyak lagi barangan yang 10 hingga 15 tahun dahulu menjadi kekaguman telah menjadi barangan pameran muzium.

Semua orang tahu, saiz komputer juga semakin kecil tetapi keupayaannya yang semakin hebat dan kadangkala komputer kecil mampu menyaingi komputer desktop dari segi prestasinya.

PDA (alat bantuan digital peribadi), PC poket, komputer telapak dan pelbagai istilah lagi menggambarkan mengenai peranti yang dahulunya hanya menjalankan fungsi organizer kini mampu melakukan pelbagai aplikasi produktiviti seperti menaip dokumen, membuat fail akaun, persembahan (powerpoint) dan sebagainya.

Jika kita perhatikan komputer atau peranti di sekeliling kita, kebanyakannya telah mengeluarkan pemain cakera liut dalam komputer tersebut dengan hanya meletakkan pemain/perakam CD.

Hewlett-Packard (HP), syarikat gergasi teknologi maklumat baru-baru ini melancarkan pelbagai produk baru yang membuktikan masa depan adalah milik dunia digital.

Daripada komputer sekecil tapak tangan iPAQ, komputer desktop, komputer buku, pencetak sehinggalah kepada komputer stesen kerja yang berkuasa terbaru telah diumumkan kepada pengamal-pengamal media tempatan yang menyertai rombongan HP - media di pusat, Pulau Tioman.

HP sememangnya telah lama memperjuangkan teknologi digital dalam produk-produknya dan syarikat itu misalnya telah mendapatkan alamat www.digital.com sebagai laman web memperkenalkan produk dan perkhidmatannya.

``Selamat datang ke dunia digital HP,'' kata pengurus besar negara - Kumpulan Sistem Personal, Hewlett-Packard Sales (Malaysia) sdn. Bhd. (HPSM), Wong Chung Fong ketika mengalu-alukan 30 wartawan pada pelancaran produk dan rumusan terbaru HP di Pulau Tioman, baru-baru ini.

HP Malaysia telah mengambil pendekatan berbeza kali ini dalam memperkenalkan rumusan digital terbaru syarikatnya dengan mengadakan sesi lakonan pendek bagaimana sesebuah syarikat atau rumah dapat manfaat dari produk-produk terbarunya.

Sememangnya produk-produk ini untuk generasi digital memandangkan ia tidak lagi menawarkan pemacu disket pada komputer desktop yang kini hanya menyokong peranti storan baru seperti pemain/perakam CD-R/RW, DVD R/RW,

Bagi yang berminat dengan rumusan perniagaan, HPSM telah memperkenalkan rumusan pengkomputeran berkuasa yang sesuai untuk para profesional yang menjalankan kerja-kerja grafik, reka bentuk dan kandungan digital.

komputer stesen kerja peringkat permulaannya menggunakan cip pemproses Pentium 4 bagi model HP Workstation xw4100 yang ditawarkan dengan harga menarik dengan prestasi yang tinggi.

Komputer desktop siri HP Compaq d330 dan d530 sesuai untuk syarikat yang inginkan sistem komputer desktop terkini yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tinggi, mudah diselenggara dan meningkatkan produktiviti pengguna.

Pengguna boleh memilik cip pemproses Intel Celeron atau Pentium 4 dengan teknologi HyperTreading (HT) dengan kelajuan sehingga 3.0 Ghz, cakera keras 160GB, 4GB DDR dan pilihan DVD-ROM atau CD-RW.

Peminat komputer buku pula mempunyai pilihan untuk mendapatkan model terkini yang lebih ringan tetapi berkuasa dengan HP Compaq Business Notebook nc4000 dan nx7000.

Bagi pengguna rumah, komputer dilengkapi dengan pelbagai aplikasi seperti televisyen, pemain DVD, permainan, muzik dan Internet yang ditawarkan melalui komputer desktop HP Pavilion mungkin pilihan terbaik.

``Siri HP Pavilion terbaru ini mampu menjadi mesin produktiviti dan hiburan semua-dalam-satu,'' kata Chung Fong.

Skrin LCD yang nipis, speaker Harman/kardon 2.1, papan kekunci Internet dan menyokong pembaca media 6-dalam-1 (CompactFlash I/II0, SmartMedia, MultimediaCard, SecureDigital dan MemoryStick) membolehkan anda melakukan hampir apa sahaja yang terfikir dengan komputer tersebut.

Komputer desktop Compaq Presario S4160AP dengan Pentium 4 dan ATI Radeon 9000 dan nVidia GeForce MX440, speaker Dolby 5.1 bunyi keliling dan televisyen menjadikan komputer ini sebuah mesin berkuasa untuk permainan komputer dan aplikasi grafik.

Bagaimanapun, produk yang paling menarik perhatian ialah PC poket iPAQ yang terkenal dan kini ditawarkan dengan pelbagai model yang mampu memberikan pilihan kepada pengguna mengikut keperluan dan peruntukan kewangan.

Antara ciri-ciri baru ialah kesemua model ini menggunakan Microsoft Windows Mobile 2003 sebagai sistem operasi, mempunyai skrin paparan TFT lebih cerah, menyokong teknologi wayarles dan sebagainya.

HP iPAQ Pocket PC h2210 (berharga RM1,588) misalnya merupakan PC poket terkecil dengan dua slot, h1940 (RM1,188) dan h1930 (RM988) untuk mereka yang inginkan PDA berharga rendah dan model h5550 (RM2,488) amat sesuai untuk golongan profesional di pejabat.

Bagi pengguna yang berminat untuk mencetak gambar digital mereka di rumah atau pejabat kecil, HP juga memperkenalkan pencetak inkjet yang mampu mencetak gambar dengan kualiti foto (jika dicetak pada kertas foto).

Model pencetak inkjet tersebut ialah HP Deskjet 5652 (berharga RM599), Deskjet 3650 (RM268) dan Deskjet 3550 (RM169).

Kesimpulannya, pelancaran 18 produk baru dari HP tersebut dijangka akan mampu merubah dunia pengkomputeran kepada teknologi digital sepenuhnya dan memberikan pengguna kepuasan dalam dunia masing-masing.



No comments: