Saudara Pengarang,
SECARA kebetulan saya baru-baru ini membeli sebuah album lagu-lagu Arab berjudul `Arabia'.
Sama ada kita faham bahasa Arab atau tidak, lagu-lagu Arab adalah antara yang paling bermelodi lantaran sedap didengar.
Tetapi itu bukan cerita yang hendak saya kisahkan. Banyak orang membeli album lagu ada yang tulen dan tidak kurang pula yang dicetak rompak.
Yang hendak saya ceritakan ialah hanya setelah mendengar beberapa buah lagu daripada album itu dan meneliti kulitnya, barulah saya sedar bahawa saya terserempak dengan sesuatu yang sangat menarik.
Album itu diterbitkan oleh sebuah syarikat muzik bernama World Music Network dengan kerjasama Oxfam.
Mungkin ada di antara penonton televisyen, pendengar radio dan pembaca akhbar mengetahui mengenai Oxfam kerana ia adalah antara badan sukarela antarabangsa yang paling cergas membantu mangsa tsunami (daripada bahasa Jepun "tsu" yang bererti pelabuhan dan "nami" ombak) di persisiran pantai Lautan Hindi.
Oxfam adalah antara yang paling awal menghantar sukarelawan, kelengkapan, makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa tsunami, termasuk di Aceh.
Melalui pengeluaran album lagu-lagu Arab itu, Oxfam mendapat 28 pence (bersamaan RM2.04) bagi setiap unit yang dijual di United Kingdom dan 19 pence (RM1.38) bagi jualan antarabangsa.
Oxfam adalah antara contoh terbaik bagaimana rakyat sesebuah negara boleh mewujudkan sistem jangka panjang membantu mangsa perang dan bencana alam.
Oxfam adalah sebuah organisasi swasta yang bergiat di bidang pembangunan dan bantuan kemanusiaan dengan bermatlamatkan penghapusan kemiskinan dan penderitaan.
Ia ditubuhkan di United Kingdom dan beribu pejabat di Oxford.
Bagi saya, ini bukanlah kali pertama didedahkan kepada Oxfam. Kali pertama saya mengetahui mengenai kerja-kerja amal Oxfam yang tidak ternilai harganya adalah ketika melawat Bosnia-Herzegovina pada tahun 1995.
Waktu itu, Perjanjian Dayton yang menamatkan peperangan di Bosnia-Herzegovina belum pun ditandatangani secara rasmi.
Saya ke negara itu dengan kontinjen Tentera British atas jemputan Kementerian Luar dan Komanwel di London.
Apa yang menarik dan serentak itu memilukan hati saya adalah hakikat bahawa kegiatan utama Oxfam di Bosnia-Herzegovina adalah memelihara, melatih dan memberi rawatan psikiatri kepada wanita dan gadis Islam yang menjadi mangsa rogol orang Serbia.
Di pusat perlindungan Oxfam di Tuzla, sebuah bandar di utara negara itu, seorang wanita mangsa rogol yang memberi namanya sebagai `Selma' merayu agar dunia dimaklumkan mengenai puluhan ribu lelaki Islam yang hilang entah ke mana.
Kebimbangan Selma menjadi kenyataan apabila beberapa bulan selepas itu kubur demi kubur yang mengandungi puluhan ribu mayat ditemui di Srebrenica, sebuah bandar Islam yang ditawan oleh kaum Serbia.
Saya menyebut mengenai Oxfam kerana pada hemat saya, jika rakyat Malaysia yang begitu spontan membantu mangsa tsunami di dalam dan luar negara mahu berbakti sambil mengharumkan nama negara, mereka perlu memikirkan penubuhan sebuah badan bantuan bertaraf dan berskala antarabangsa.
Buat waktu ini, kita sudah pun mempunyai banyak badan sukarela yang cergas dan komited seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Mercy Malaysia, Yayasan Salam dan Aman Malaysia.
Tetapi untuk membantu mangsa bencana alam dan perang secara berterusan dan untuk jangka masa panjang seperti yang diperlukan oleh mangsa tsunami, Malaysia memerlukan sebuah organisasi bantuan swasta yang besar dengan kepakaran dan sumber kewangan yang kuat.
Kegagalan negara dan masyarakat Islam menyerlah dalam membantu mangsa tsunami, khasnya di Aceh di mana hampir semua penduduknya Islam, adalah kerana negara dan masyarakat Islam tidak mempunyai gerakan sivik dan sukarela yang teratur dan terancang.
Akibatnya umat Islam di Aceh lebih banyak diselamatkan, dirawat dan diberi makan oleh negara-negara dan pertubuhan-pertubuhan sukarela bukan Islam.
Kita tidak boleh cemburu atau menaruh syak jika orang Islam yang menjadi mangsa tsunami berasa terhutang budi kepada Amerika, Australia, Britain dan Singapura kerana mereka lebih awal dan lebih banyak memberi bantuan.
Justeru, jika ada hikmah dan teladan daripada tragedi yang diakibatkan oleh gempa bumi dan tsunami pada 26 Disember itu, salah satu daripadanya ialah negara Islam dan umat Islam perlu lebih prihatin, proaktif dan berorientasikan tindakan.
Imej Islam tidak akan cemerlang jika negara dan masyarakat Islam sekadar mengikuti dan mengekori negara dan masyarakat bukan Islam dalam kerja-kerja kebajikan antarabangsa.
Bayangkan apa ertinya kepada imej Islam apabila negara-negara Islam hanya menderma hanya AS$88 juta (RM334.4 juta) daripada AS$5 bilion (RM19 bilion) bantuan rasmi yang dijanjikan oleh negara-negara di dunia dan oleh pertubuhan antarabangsa?
Namun begitu, wang dan harta benda bukanlah satu-satunya jalan membantu dan berbakti.
Mangsa perang dan bencana alam memerlukan simpati, sokongan moral dan pertolongan psikiatri.
Walaupun agak terlambat, kita tetap boleh membantu usaha menyelamat, merawat dan membangunkan semula kawasan bencana.
Negara dan masyarakat yang terlibat memerlukan bantuan jangka panjang. - A. KADIR JASIN, Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia::17/1/2005
Monday, January 17, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment