Thursday, January 06, 2005

Terapung 9 hari di lautan hanya berbekal doa tahan lapar

Oleh: ZAINI RABAN

PELABUHAN KLANG 5 Jan. - Sembilan hari hanyut di lautan tanpa sebarang makanan tetapi masih hidup, rahsianya, mengamalkan doa menahan lapar.

Rizal Sahputra, 20, yang ditemui terapung-apung di Lautan Hindi oleh kapal Durban Bridge kelmarin, selepas kampungnya di Aceh dilanda gempa bumi dan ombak besar tsunami pada 26 Disember itu berkata:

``Saya tidak makan apa-apa. Saya membaca doa tahan lapar.''

Mangsa ombak tsunami itu juga berkata, doa itu dibacanya ketika berpaut pada sebatang pokok besar sepanjang berada di lautan tersebut.

Ketika ditemui pemberita di sini hari ini, Rizal berkata:

``Ya, saya cukup bersyukur kepada Tuhan.

Sepanjang saya di laut saya hanya melakukan solat dan hanya berdoa (kepada Allah).''

Rizal ditemui kira-kira 100 batu nautika dari pantai Aceh pada pukul 5.20 petang waktu tempatan dengan hanya memakai baju-T kuning dan berseluar pendek berwarna hijau tua.

Kapal yang membawanya, berlabuh pada pukul 7 pagi ini di Dermaga 21, Pelabuhan Utara di sini selepas jadual perjalanan asal ditunda akibat masalah tertentu.

Menceritakan pengalamannya berdepan dengan malapetaka itu, pemuda dari Banda Aceh itu berkata, dia hanya mampu melihat dari jauh keluarganya ditelan ombak ganas itu.

Rizal berkata, dia terpaksa berdepan dengan satu lagi detik menyayat hati apabila menyaksikan sendiri seorang rakannya yang sama-sama berpaut pada sebatang kayu, hilang selepas menyelam ke laut.

Kejadian itu berlaku dua hari sebelum dia ditemui oleh kapal Durban Bridge kelmarin yang belayar dari Cape Town, Afrika Selatan menuju ke Pelabuhan Utara di sini.

Rizal merupakan mangsa ombak tsunami kedua yang ditemui terapung di Lautan Hindi.

Sebelum itu, Malawati, 23, juga ditemui terapung di lautan itu dengan berpaut pada batang pokok rumbia sepanjang enam hari sebelum ditemui oleh kapal tuna Malaysia.

Ketika diminta memberi ucapan kepada keluarganya di Banda Aceh jika ditakdirkan mereka masih hidup, Rizal berkata: ``Mahu cakap apa lagi, keluarga saya sudah meninggal semua.''

Rizal yang masih keletihan dan mengalami banyak luka di kaki berkata, kejadian gempa bumi yang membentuk ombak tsunami itu berlaku dalam sekelip mata ketika dia bersama penduduk kampung termasuk ahli keluarganya sedang bergotong-royong membina sebuah masjid.

``Ketika sedang membina masjid, tiba-tiba datang anak-anak menjerit `lari ombak besar' dan Masya-Allah, saya nampak ombak besar lalu terus berlari dan menaiki sebuah bangunan dua tingkat.

``Ombak besar itu menyebabkan semua tenggelam, tinggal saya seorang sahaja. Selepas itu datang lagi ombak yang tinggi kira-kira 15 meter dan barulah saya dibawa ke laut.

``Pada masa itu saya lihat mayat di sekeliling saya. Kiri dan kanan semuanya mayat tetapi saya enggak rasa takut, cuma saya rasa... alah kalau orang tua saya sudah meninggal ya udah,'' katanya.

Ketika ditanya bagaimana boleh selamat semasa hanyut di lautan, Rizal berkata, segala yang berlaku adalah berkat doa dan kebesaran Allah.

``Saya hanya pegang pada sebatang pokok. Makan? Tak makan apa, cuma minum air kelapa. Allah telah mengizinkan saya panjang umur, ya saya panjang umur,'' katanya dalam nada sebak.

Menurut Rizal lagi, sebelum ditemui oleh kapal berkenaan, dia ternampak beberapa buah kapal lain.

Bagaimanapun kapal-kapal tersebut tidak menyedari kehadirannya kerana kedudukan kapal berkenaan agak jauh.

Rizal kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Sementara itu, Penolong Pegawai Keselamatan Northport, Inspektor Polis Bantuan Abdul Rashid Harun juga berkata, bacaan doa menahan lapar

itu yang menyebabkan Rizal mampu menahan lapar ketika di lautan.

Beliau yang berkesempatan melawat mangsa sebaik sahaja kapal itu berlabuh di Pelabuhan Utara pada pukul 7 pagi ini memberitahu:

``Syukur, Alhamdulillah, Rizal selamat.

``Cuma saya nampak kesan-kesan luka di bahagian kaki dan dia kelihatan lemah tetapi Alhamdulillah dia sudah boleh berjalan.''

Abdul Rashid yang juga merupakan pegawai pertama Northport menerima maklumat mengenai penemuan Rizal itu berkata, mesej itu disampaikan oleh kapal Durban Bridge menerusi e-mel pada pukul 9 pagi, semalam.

Katanya, beliau terus menyampaikan mesej itu kepada pihak yang berkenaan seperti agen kapal, pegawai-pegawai kanan Northport serta Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC).

``Maklumat yang sama juga saya salurkan kepada Pusat Panggilan Pelabuhan dan menghubungi semua pegawai keselamatan bagi mengambil langkah awal untuk menyambut kehadiran kapal Durban Bridge.

``Saya juga telah dimaklumkan oleh Rizal sendiri bahawa pihak kapal telah memberi layanan baik terhadapnya dan telah memberi makanan secukupnya seperti bubur dan air minuman,'' katanya.

Utusan Malaysia : 6/1/2005

No comments: