Oleh Aziz Ishak
Kejadian tsunami yang melanda beberapa negara Asia mengingatkan penulis kepada satu misi penghantaran bantuan dan pasukan penyelamat tentera Malaysia ke Pulau Flores, Indonesia pada Disember 1992.
Penulis turut menyertai misi itu yang diketuai oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Yunus Tasi yang ketika itu memandu sendiri pesawat yang membawa pelbagai barangan bantuan.
Pulau Flores musnah akibat pukulan gulungan ombak besar yang melimpah lebih 500 meter ke daratan. Sesiapa sahaja yang melihat kesan kemusnahan itu tergamam dengan serangan tsunami yang mengorbankan hampir 3,000 orang.
Penduduk Flores tidak melupakan kejadian tersebut yang masih meninggalkan trauma tetapi di wilayah persisiran pantai lain, siapa peduli dengan tsunami. Maknanya, ia bukan kejadian pertama di Indonesia mahupun Asia tetapi selepas peristiwa 26 Disember lalu yang mengorbankan 150,000 orang di beberapa negara, tsunami tidak lagi akan diambil mudah.
Di Malaysia, bencana tersebut tidak pernah terlintas pada fikiran rakyat selama ini dan ternyata ia menjadi kejutan yang bukan setakat memecahkan batas psikologi bahkan diharap mencetuskan kesedaran baru. Mesejnya, ia adalah pengajaran bernilai kepada Malaysia. Banyak yang perlu diperbaiki termasuk kemampuan segera menyalurkan bantuan secara lebih berkesan.
Inilah juga kesempatan terbaik untuk memperhebatkan budaya maritim dalam semua aspek berkaitan termasuk penyelidikan dan kesedaran terhadap perairan, yang kini pada tahap rendah.
Tetapi yang lebih penting ialah menjadikan tsunami satu lagi titik tolak baru kepada Malaysia untuk menghadapi kejutan-kejutan lebih besar selepas ini. Tidak kira kejutan ekonomi, keganasan, ombak tsunami mahupun kemungkinan satu lagi ancaman alam sekitar yang tidak pernah difikirkan - gempa bumi - meskipun Malaysia di luar lingkungan garis gempa.
Tiada yang mustahil apatah lagi dalam fenomena kemerosotan kualiti alam sekitar menjadikan bumi menghadapi apa yang dipanggil kecelaruan pada sifat hakikinya. Semua kemungkinan ancaman alam sekitar daripada jerebu sehinggalah kepada tsunami patut digariskan dalam konsep keselamatan baru. Tahap kesiapsiagaan ancaman alam sekitar ini atau Environmental Security seharusnya menjadi prioriti dalam perancangan masa depan meliputi belanjawan, orientasi mahupun unjuran.
Dalam kaitan ini, kita perlu belajar dari Jepun dalam menjadikan bencana sebagai daya lonjak supaya negara jauh lebih kuat, berjaya dan maju sebagai persediaan jangka panjang.
Masyarakat Jepun memajukan negara mereka antara lain dengan kemampuan seakan-akan untuk berdepan 100 bencana alam setahun terutamanya gempa bumi. Kemusnahan akibat bencana selalu menjadikan Jepun lebih gagah dan rakyat lebih bersatu ke arah membina sebuah negara yang bukan sahaja bermaruah bahkan paling berdikari menghadapi ancaman.
Tahun 2005 diharap permulaan terbaik untuk semua pihak menjana kecemerlangan dan pinggirkan hal-hal seperti politik picisan kerana biasanya bencana `tidak akan terlupa' untuk menguji kita lagi.
Utusan Malaysia: 5/1/2005
Thursday, January 06, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment