Thursday, January 20, 2005

Bina rakyat kelas satu

Oleh Sivamurugan Pandian

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Istana Budaya pada 11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang dirasakan sesuai dengan persekitaran hari ini demi kesejahteraan masa depan.

Malahan, ini merupakan susulan kepada usaha Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kepimpinan Datin Profesor Roziah Omar yang telah menganjurkan satu Seminar Nilai dan Pembangunan Sosial ke arah pemantapan Dasar Sosial Negara (DSN) dan masyarakat cemerlang pada 16 September 2004. Seminar ini membincangkan mengenai penyematan nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan warga cemerlang sebagai `masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama.'

Masalah sosial bukan baru tetapi liputan mengenainya menjadi kronik kebelakangan ini. Ini seolah-olah menimbulkan persoalan sama ada kesejahteraan masyarakat Malaysia dan kehidupan berkualiti mereka belum berada dalam tahap yang memberangsangkan.

Pada waktu yang sama, negara tidak ketandusan rakyat yang memiliki nilai-nilai murni, bermoral dan memiliki ciri-ciri kemanusiaan yang tinggi sebagaimana yang boleh dilihat sewaktu Majlis Anugerah Kemanusiaan Muda tahun lalu.

Apa yang jelas, DSN merupakan mekanisme terbaik ke arah melahirkan individu yang mempunyai keyakinan diri, memiliki nilai-nilai moral, bertolak-ansur, berbudi, adil, berdaya tahan, progresif dan dinamik. Ia juga mampu mewujudkan sebuah negara yang maju dan mantap, mewujudkan masyarakat cemerlang.

Pembangunan berterusan dan pesat berlaku di dalam negara kerana kerajaan menyediakan persekitaran yang membolehkan masyarakat terus diberi peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai jenis aktiviti ekonomi tetapi pembangunan tidak dapat dinikmati sepenuhnya jika ia tidak bersifat menyeluruh.

Ketidakseimbangan pembangunan dengan berfokuskan kepada ekonomi secara total akan menyebabkan wujudnya masalah di cabang lain dalam lingkaran kesejahteraan masyarakat.

Jelas, jika karakter dan personaliti masyarakat kurang mantap dan gagal mengimbangkan penyerapan kemajuan negara apatah lagi komposisi populasi masyarakat Malaysia merupakan adunan pelbagai etnik yang mempunyai adat resam, budaya, nilai dan norma serta perbezaan taraf sosial, ekonomi dan politik, maka kecenderungan ke arah konflik yang menggugat kesejahteraan, perkongsian dan keharmonian yang dikecapi selama ini merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan lagi.

Kelunturan nilai-nilai ini bukan bersifat kejutan kerana ia sudah dilihat seawal tahun 1950-an yang jelas di dalam penulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam akhbar Straits Times pada akhir tahun 1940-an dan awal tahun 1950-an. Pada awalnya nilai-nilai yang wujud di dalam lingkaran jaringan nilai masyarakat diubahsuai tanpa melunturkan nilai asal masyarakat tersebut.

Bagaimanapun pembangunan berterusan seolah-olah meminggirkan pembentukan nilai budaya ke atas personaliti individu menjadikan mereka tidak matang. Penekanan berterusan ke atas ekonomi yang memperlihatkan kepentingan nilai materialistik dan pembangunan yang menampilkan kecanggihan infrastruktur serta sektor pendidikan yang menekankan mengenai pencapaian akademik menyebabkan pembangunan sosial seolah-olah sukar bersekedudukan dengan transformasi tersebut dan rongga-rongga yang mengikat nilai dan budaya tidak melalui transformasi yang sewajarnya.

Ikatan kerjasama masyarakat menjadi rapuh, terhakis dan cenderung untuk hilang jika masyarakat bersifat individualistik dan mengejar kebendaan semata-mata dan meminggirkan nilai berkompromi, berkerjasama, berbudi bahasa dan bertolak-ansur ke arah merealisasikan pembentukan masyarakat yang cemerlang, masyarakat kelas pertama.

DSN memperlihatkan kepentingan ke atas moral dan nilai yang dianggap sebagai penjana masyarakat yang progresif. Masyarakat dikatakan hanya akan berjaya jika mengamalkan nilai-nilai yang progresif.

Nilai-nilai ini termasuklah rasa hormat kepada orang tua, pentadbiran serta mengamalkan pakaian yang sopan, kelakuan yang baik serta amalan keagamaan, bertanggungjawab ke atas perkahwinan, keluarga, kerja dan sifat-sifat yang bermoral.

Amalan

Di sebalik mempertahankan nilai-nilai murni tersebut, masyarakat perlu sedar bahawa ia penting untuk menghadapi ancaman Barat. Ia memiliki banyak nilai-nilai kurang sihat, dengan mengetepikan amalan tradisional walaupun nilai-nilainya itu pernah menghasilkan kejayaan kepada mereka pada satu ketika dahulu.

Anjakan juga berlaku kerana ada golongan yang tidak dapat mengawal perasaan serta gagal menerap atau menyemai nilai yang boleh memantapkan gaya hidup seseorang. Ini berlaku terutama di kalangan `masyarakat transisi', yakni masyarakat yang terpaksa melakukan perpindahan ke tempat baru akibat pembangunan. Kesannya besar jika mereka gagal menyesuaikan diri dengan jaringan nilai kehidupan di kawasan baru yang mungkin tidak selari dengan amalan sebelum ini.

DSN merupakan pemangkin kepada pengukuhan nilai-nilai ini serta menjana kelahiran masyarakat cemerlang, masyarakat kelas pertama. DSN boleh dimantapkan jika pengurusan berorganisasi dan disiplin diberi penekanan berterusan kerana kedua-duanya juga penting untuk masyarakat Malaysia kekal bersaing dalam era globalisasi ini.

Begitu juga dengan penubuhan Pusat Rujukan Sosial (PRS) di semua kawasan Parlimen mulai tahun ini yang dianggap satu usaha murni untuk menggembleng tenaga ke arah `masalah sosial sifar'. PRS berperanan sebagai pusat tindakan awal, kaunseling dan khidmat nasihat, penghubung antara rakyat dan pihak berkuasa.

Malahan, DSN boleh berfungsi dengan lebih efektif jika penekanan semula dibuat ke atas program kesejahteraan masyarakat seperti aktiviti bersama, menanamkan semangat kekitaan, sebagaimana yang boleh dilihat dalam program gotong-royong dan Rukun Tetangga.

Program seperti ini memerlukan penampilan baru yang mampu menarik golongan remaja. Apa yang diperlukan adalah pelan induk yang bersifat menyeluruh, tersusun dan pelaksanaan yang berdisiplin dengan pemantauan yang berterusan supaya masyarakat sedar kepentingannya.

Mahu tak mahu, transformasi nilai perlu ketika proses perubahan dan penyesuaian berlaku. Prestasi sesebuah komuniti juga turut dikaitkan dengan sistem nilai yang membentuk asas budaya mereka, sebagaimana yang ditekankan oleh DSN dan teras ucapan Perdana Menteri dalam kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni .

Selain daripada itu, rangkaian kerjasama antara pelbagai pihak termasuklah kerajaan, badan bukan kerajaan, parti politik yang mempunyai yayasan sosialnya yang tersendiri boleh diperkemaskan supaya satu ikatan yang lebih menyeluruh dapat dibentuk.

Dasar keluarga negara di bawah DSN akan membantu ia bertindak positif kerana punca permasalahan lazimnya bermula di rumah sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam ceramah tahunan Institut Pengurusan Wanita (WIM) bahawa perilaku yang baik bermula di rumah.

* Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Utusan Malaysia :: 19/1/2005

No comments: