Monday, January 31, 2005

Hukum pekerja bermasalah -- Sekiranya kerajaan tidak mahu usaha mantapkan sektor awam gagal

Oleh: HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kerajaan perlu melaksanakan kaedah menghukum kakitangan awam yang bermasalah sekiranya tidak mahu melihat usaha memantapkan sektor berkenaan menemui kegagalan.

Rata-rata bekas pegawai tinggi kerajaan yakin kaedah tersebut paling sesuai setelah pelbagai imbuhan berbentuk kewangan, kemudahan dan latihan yang diberikan kepada kakitangan awam tidak lagi berjaya merangsang prestasi mereka.

Sehubungan itu, mereka mencadangkan supaya Kaedah Tatatertib Kakitangan Awam yang selama ini menyukarkan tindakan disiplin diambil ke atas kakitangan awam, dipinda.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha I Kementerian Pendidikan, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, walaupun ada cadangan lain untuk mengubah mentaliti dan sikap kakitangan awam tetapi beliau percaya kaedah `menghukum' adalah jawapan yang paling tepat.

Beliau menarik perhatian pendekatan negara jiran Singapura membentuk perkhidmatan awam yang efisien setaraf dengan sektor swasta.

Katanya, perkembangan di republik itu wajar dijadikan contoh kerana proses tindakan tatatertib yang diguna pakai amat cekap dan tidak mengambil masa yang panjang.

``Di sana jika ada dua atau tiga aduan pelanggan terhadap seseorang kakitangan, sudah cukup bagi siasatan dalaman dijalankan dan keputusannya boleh diketahui dalam masa dua atau tiga minggu sahaja,'' katanya.

Abdul Rashid berkata, ketegasan itu ternyata berjaya melahirkan kakitangan awam yang bukan sahaja komited, malah tidak berani melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan kerja.

Menurut beliau, peraturan yang sama jika dilaksanakan di negara ini pasti menjadi peringatan kepada kakitangan awam supaya tidak lagi bekerja sambil lewa kerana tahu tindakan tegas menanti mereka.

``Di Malaysia kita hendak ambil tindakan bukannya senang, macam-macam benda yang terpaksa dilakukan dan akhirnya sampai pencen pun orang yang nak dikenakan tindakan tidak dapat dihukum, sebab itu mereka ambil mudah,'' katanya yang kini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi baru-baru ini menekankan kelemahan dalam sektor perkhidmatan awam yang antara lain menyaksikan pelanggan di sepak seperti bola ke sana ke mari ketika membuat urusan.

Pendapat Abdul Rashid disokong oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Ramon Navaratnam yang menyifatkan langkah menghukum sebagai jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah yang berpunca dari sikap ambil mudah yang menebal di kalangan kakitangan.

``Oleh itu jika tindakan disiplin boleh dikenakan dengan cara yang lebih praktikal, maka itulah cara yang terbaik.

``Cara lain tidak nampak hasil sangat kerana sekarang ini apa yang kakitangan awam tidak dapat? Cuba bagi tahu saya, gaji, bonus, cuti tahunan, imbuhan lain, latihan, kemudahan kerja semuanya cukup baik malah ada kalanya lebih daripada sektor swasta.

``Walaupun bukan semua jentera kerajaan lemah tetapi kenapa masih ada yang bersikap sedemikian sedangkan semua telah diberi? Jawapannya tentulah kerana kalau tidak buat kerja pun, tiada tindakan yang boleh dikenakan melainkan setakat ditegur oleh ketua sahaja,'' ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah Ayub turut menegaskan tentang perlunya penggunaan kaedah `menghukum' dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam kerana itu adalah satu-satunya aspek sangat jarang digunakan.

Katanya, lebih-lebih lagi apabila membabitkan perbuatan rasuah tanpa mengira sama ada kecil atau besar serta lain-lain bentuk penyelewengan yang kadangkala dipandang ringan oleh kakitangan kerajaan.

Katanya, kaedah tersebut adalah lebih kepada meningkatkan kecekapan bekerja, namun dari segi aspek lain seperti kerenah birokrasi, pendekatan lain perlu dicari.

``Antara yang boleh digunakan adalah seperti apa yang disyorkan oleh Perdana Menteri iaitu memindahkan sebahagian kuasa yang tidak melibatkan dasar kepada pegawai rendah.

``Saya memang menyokong sangat cara ini kerana ia dapat mengelakkan pelanggan diperlakukan sebagai bola apabila pegawai atasan tidak berada di pejabat,'' jelasnya.

Utusan Malaysia:: Isnin 31/1/2005

No comments: