Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)
DERITA mangsa bencana tsunami telah membangkitkan kesetiakawanan sosial di kalangan masyarakat dunia yang luar biasa. Sesama manusia tanpa mengira kerakyatan, agama, suku, ras, serta asal-usul dan jantina, semua terpanggil untuk menghulur bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
Setiap hari, bantuan kemanusiaan daripada penderma yang menghulurkan wang, barang dan tenaga terus mengalir. Yang kaya membawa wang besar, yang miskin membawa wang kecil. Nilainya tetap sama di hadapan Yang Maha Esa.
Sesama manusia, kita menghulurkan tangan, memberi yang terbaik bagi mangsa yang sedang dirundung malang.
Dalam mana-mana bencana, nilai-nilai luhur manusia kembali terserlah. Banyak orang sekarang tergerak, bukan hanya menyumbangkan sebahagian hartanya, tetapi menyiapkan diri sebagai sukarelawan.
Tabung bencana tsunami yang terus dikumpul adalah bukti hebatnya perhatian masyarakat dunia terhadap derita yang menimpa mangsa tsunami. Dalam konteks sekarang perhatian yang lebih perlu diberikan kepada rakyat Aceh dan Sumatera Utara.
Jika menonton berita-berita dari CNN, BBC, CNBC dan juga berita dari TV tempatan, perhatian yang ditunjukkan warga dunia sangat mengharukan.
Ketika mata memerhati mangsa di Aceh, jangan dilupa kepada mangsa tsunami tempatan. Selepas 12 hari tragedi tsunami melanda mangsa tsunami di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Selangor, apakah mereka sudah menerima bantuan seperti yang dijanjikan. Jika belum atau hanya baru sedikit dihulurkan, bantuan yang mencukupi perlu dihulurkan segera. Taksiran kerugian dan kemusnahan harta benda yang ditanggung oleh mangsa perlu dipercepatkan.
Ini kerana desas-desus bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur Semenanjung khabarnya masih ada yang belum menerimanya.
Perkara ini hendaknya jangan disalah anggap, tapi harus diteliti. Barangkali ada masalah birokrasi dan kerumitan dalam mengagihkan bantuan-bantuan tersebut. Hendaknya jangan disusahkan wang bantuan kerajaan dan derma orang ramai yang tulus ikhlas menghulurkan bantuan.
Jika kita menyeru masyarakat supaya tampil menghulurkan sebarang bantuan dan ia disambut dengan tangan terbuka, maka jangan menyukarkan proses mengagihkan bantuan itu. Merumitkan atau melambatkan agihan bantuan, tanpa disedari bererti menghalang saudara kita sendiri untuk hidup.
Jumlah tabung bencana tsunami sudah melebihi angka jutaan ringgit, tetapi ia tidak menggembirakan mangsa-mangsa jika agihannya lambat.
Kita boleh menerima hujah bahawa pihak berkenaan memerlukan masa untuk menaksir kerugian dan jumlah bantuan yang perlu diberikan kepada individu mangsa, tetapi jangan terlalu lama.
Niat penderma menghulurkan bantuan supaya ia segera dapat diberikan kepada mangsa. Lagi cepat diberikan wang derma itu, lebih segera mereka dapat membina semula kehidupan baru.
Di samping itu, satu perkara yang perlu diawasi ialah penyelewengan. Semua sumbangan dan niat yang baik ini boleh menjadi `bomerang' apabila ada otak kotor dan tangan busuk mengambil bantuan itu sehingga tidak sampai kepada sasaran.
Atau ada yang cuba-cuba mengurangkan jumlahnya, sehingga yang sampai kepada mangsa hanya sebahagian saja. Atau nilai sumbangan kepada mangsa ditambah, jauh daripada nilai sebenar, dan lebihannya dikaut untuk kepentingan peribadi.
Tidak semua orang berhati tulus. Selalu saja ada yang mencuri dalam kesempitan. Inilah yang harus diwaspadai. Kita harap sikap buruk itu tidak berlaku di negara ini.
Utusan Malaysia: 8/1/2005
Saturday, January 08, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment