Friday, December 24, 2004

Anak Melayu paling banyak di pusat pemulihan akhlak

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Anak-anak Melayu paling banyak menghuni pusat pemulihan akhlak di negara ini, tetapi ramai daripada mereka telah berjaya dipulihkan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Di lapan sekolah Tunas Bakti, 3,385 orang daripada keseluruhan 4,583 penghuninya adalah Melayu, manakala di 11 asrama akhlak, terdapat 646 anak Melayu daripada 806 penghuninya, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chew Mei Fun ketika menjawab soalan Senator Samsiah Samsudin.

Kedua-dua pusat itu menempatkan kanak-kanak berusia 10 hingga 18 tahun yang melakukan jenayah seperti mencuri, gaduh, memiliki atau mengedar dadah, memiliki senjata, berjudi dan mencabul kehormatan.

Program pemulihan akhlak di sekolah Tunas Bakti adalah antara setahun dan tiga tahun mengikut perintah mahkamah, manakala kanak-kanak dan remaja di asrama akhlak pula ditahan tidak lebih daripada 12 bulan.

"Kedua-dua pusat ini telah berjaya memulihkan 90 peratus daripada kanak-kanak dan remaja ini," kata Chew.

Beliau berkata, kesalahan lain yang dilakukan dianggap "kesalahan kecil" seperti berniaga tanpa lesen, merayau tanpa kad pengenalan, merosakkan harta-benda awam, masuk ke kawasan milik persendirian, melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan dan lari dari institusi pemulihan.

Chew berkata, pemantauan kes selepas keluar dari pusat-pusat pemulihan akhlak itu dilakukan oleh pegawai-pegawai akhlak bersama Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah dalam tempoh pengawasan yang ditetapkan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas pula berkata, kerajaan tidak ada rancangan untuk meminda Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membenarkan seseorang yang disyaki terlibat dalam kes jenayah ditahan kurang daripada 14 hari.

"Bagaimanapun, Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan dengan Rang Undang-undang Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2004 sedang meneliti dan mengkaji semula peruntukan Kanun Acara Jenayah, termasuk Seksyen 117," katanya semasa menjawab soalan Senator Tay Poay Chuan. - Bernama

Utusan Malaysia 21/12/04

No comments: