Friday, April 30, 2004

Orang Islam Thai marah, bimbang

PATTANI: Penduduk selatan Thailand marah dan bimbang selepas pertumpahan darah terburuk kelmarin yang menyaksikan lebih 100 remaja Islam dibunuh oleh askar.

Serangan yang terburuk itu menyaksikan 108 orang kebanyakannya remaja terkorban, termasuk 32 orang yang mati apabila tentera yang lengkap bersenjata menyerbu sebuah masjid bersejarah di ibu negeri Pattani.

Berpuluh lagi maut apabila serangan hampir serentak yang mereka lakukan ke atas balai polis dan sekatan jalan raya di tiga wilayah, disambut tembakan tentera dan polis yang menurut pegawai sedia menunggu.

Dalam kejadian itu, lima pegawai keselamatan turut terbunuh.

“Kami hidup dalam ketakutan,” kata Mataharee Waedalow, 40, seorang pekerja pembinaan di Yala yang bersama berpuluh lagi penduduk berhimpun di pintu pagar pangkalan tentera di Pattani untuk melihat mayat penyerang yang mati dibunuh.

Jiran remajanya hilang baru-baru ini dan disyaki menyertai kumpulan pemberontak dan keluarga lelaki itu bergegas ke pangkalan itu untuk melihat sama ada anak mereka turut terbunuh.

“Remaja biasa tidak boleh melakukan sesuatu seperti ini. Ia amat serius tetapi kami tidak tahu siapa dalangnya dan ini meningkatkan lagi rasa bahaya dan takut,” kata Mataharee.

Wujud reaksi berbeza berhubung nasib remaja yang memberontak itu dengan sebahagian menyatakan mereka berhak untuk mati manakala yang lainnya menyatakan mereka menjadi mangsa tindakan keterlaluan pihak berkuasa.

Di luar Masjid Kersik yang masih berasap dan dindingnya bersarang dengan peluru, tentera cuba memperbaiki kerosakan dengan membantu penduduk mencuci darah yang membanjiri bangunan itu selain menyalurkan dana membaik pulih.

“Pemimpin agama tidak mahu melihat perkara seperti ini berlaku dan mereka semua ketakutan,” kata ahli parlimen Pattani Nithi Awaedolah.

“Semua orang Islam amat sedih. Kita tidak tahu siapa yang berada dalam masjid tetapi apa yang jelas mereka adalah orang Islam dan semua orang Islam bersaudara,” kata seorang lagi lelaki.

Selepas serangan itu beratus penduduk tempatan dan pemerhati yang memenuhi masjid itu, terkejut melihat bangunan itu bermandikan darah dan ada yang bersin atau batuk kerana sisa gas pemedih mata masih ketara.

“Kami amat sedih. Ini adalah keganasan terburuk pernah saya lihat di sini. Mengapa polis tidak mengepung masjid ini dan menangkap mereka hidup-hidup,” kata seorang imam tempatan, Seng Baimad.

Seorang lagi lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mah berkata, wilayah selatan akan bertukar menjadi haru hara atau perang saudara.

“Ini bukan satu kejutan dan ia akan berlaku lagi di sini,” katanya. – AFP

BHarian :: 30/4/2004

No comments: