Friday, April 16, 2004

Cemerlang tanpa belanja besar

Oleh Mohamad Hata Ghazali

Enam faktor pengurusan boleh diringkaskan menjadi 6M iaitu (1) Warga kerja (Men), (2) Wang (Money), (3) Bahan (Materials), (4) Kaedah (Methods), (5) Alat (Machines) dan (6) Pasaran (Markets).

Warga kerja sesuatu organisasi merupakan faktor paling penting. Justeru, pengurusan bermaksud kegiatan mengurus orang lain dan juga mendapat kerjasama dari mereka. Maka apabila dirujukkan pada RTM, persoalannya ialah adakah agensi itu mempunyai terlalu banyak tenaga kerja tidak produktif?

Mengenai wang, hakikatnya ialah tanpa duit tiada apa pun yang boleh diurus. Oleh itu kewangan dan perbelanjaan mesti diatur dengan teliti melalui pentadbiran kewangan yang telus dan penggunaannya mestilah jelas dan dapat dipertanggungjawabkan. Kewangan RTM boleh dicari dengan berbagai cara. Misalnya pendapatan yang lumayan daripada iklan dapat digunakan untuk melatih stafnya menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran dan mencurahkan balik kemahiran tersebut kepada rakan sejawat atau kumpulan lain dalam RTM sendiri.

Mengenai kaedah pula ialah tatacara melakukan pekerjaan sama ada menggunakan cara lama atau baru, cara terkini atau sudah ketinggalan zaman. Kaedah perbandingan boleh digunakan. Kenapa orang suka saluran TV dan radio tertentu berbanding siaran RTM. Kaji, laksanakan dan tunggu maklum balas. Tidak payah keluar kertas putih atau tubuh suruhanjaya atau banyak buang masa dengan slogan atau ucapan retorik.

Faktor alat pula ialah ia harus dapat mempermudah, mempercepat proses pekerjaan dan meningkatkan produktiviti serta mengurangkan tenaga kerja. Setelah melawat RTM pada ``Hari Terbuka'' - penulis dapati segalanya canggih. Jadi di mana salahnya jika pelanggan lebih suka kepada saluran TV swasta?

Mengenai pasaran, pakar penyelidikan dan pembangunan (R&D) di RTM tentu lebih tahu masalah mereka. Mungkin saranan dan cadangan mereka hanya dimasukkan ke tong sampah setelah sampai ke peringkat yang lebih tinggi.

Akhirnya bagaimana sempurna sekalipun lain-lain faktor, perubahan terjejas jika insan dalam organisasi banyak bermasalah dari segi mentaliti.

- MOHAMAD HATA GHAZALI, Jabatan Kimia, Universiti Malaya (UM).

Utusan Malaysia :: 16/4/2004

No comments: