Sunday, April 11, 2004

Dua lokasi lapangan terbang Terengganu dikenal pasti

HULU TERENGGANU 10 April - Daerah Hulu Terengganu telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi untuk dibina sebuah lapangan terbang baru bertaraf antarabangsa kerana kedudukannya yang strategik.

Timbalan Menteri Kewangan, Tengku Putera Tengku Awang berkata, terdapat dua lokasi yang berpotensi untuk dilaksanakan projek tersebut masing-masing berkeluasan 1,500 hektar iaitu tanah milik penuh kerajaan negeri dan 2,000 hektar milik kerajaan negeri serta individu.

Selain kedudukannya yang strategik, katanya, keadaan tanah di situ juga baik serta berhampiran dengan beberapa destinasi pelancongan.

``Selain itu, daerah Hulu Terengganu bakal mempunyai dua lebuh raya penting iaitu Simpang Pulai-Kuala Berang dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

``Kesemuanya ini merupakan faktor yang boleh menyokong pembinaan lapangan terbang baru bertaraf antarabangsa di daerah ini,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat projek penghasilan air minuman semula jadi yang diusahakan oleh syarikat Kenyir One Sdn. Bhd di Tasik Kenyi, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan lapangan terbang baru bertaraf antarabangsa akan dibina di daerah ini.

Utusan Malaysia sebelum ini telah melaporkan rakyat Terengganu dijangka bakal menerima sebuah lapangan terbang baru bertaraf antarabangsa apabila kerajaan negeri sedang menimbang kemungkinan membinanya di daerah Hulu Terengganu dengan kos dianggarkan RM1 billion.

Infrastruktur penting bagi menjana ekonomi rakyat dan masa depan negeri itu dicadangkan di kawasan seluas 350 hektar di kampung Ipoh yang jaraknya sejauh 45 kilometer dari sini dan perjalanan tidak sampai setengah jam melalui lebuh raya sekiranya menjadi kenyataan kelak.

Pemilihan lokasi itu amat bersesuaian kerana ia terletak di tengah-tengah negeri ini dan struktur hutan serta alam semulajadinya akan memudahkan pembinaan lapangan terbang itu dijalankan.

Sementara itu, Tengku Putera yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, sebuah syarikat perunding yang sebelum ini membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sedang mengkaji pembinaan lapangan terbang baru di negeri ini.

``Hasil kajian ini akan diketahui dalam tempoh sebulan. Daerah Hulu Terengganu antara kawasan yang terbabit dengan kajian itu,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan lapangan terbang baru tersebut adalah salah satu projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini untuk pembangunan Terengganu.

``Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah menekankan perkara tersebut dalam mesyuarat pasca kabinet sebelum ini,'' tambahnya.

Utusan :: 11/4/2004

No comments: