Sunday, April 11, 2004

Hadis: Kelebihan jadi contoh lakukan amalan baik

RASULULLAH saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam, maka dia akan memperoleh pahala dan pahala orang yang beramal selepas dia meninggal, tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka.

“Dan siapa yang memberi contoh yang buruk dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas dia meninggal dunia tanpa kurang sedikit pun daripada dosa mereka.”

Daripada hadis berkenaan, beberapa kesimpulan dan pengajaran boleh dibuat. Antaranya:



Kita hendaklah berusaha sedaya upaya mengawal tingkah laku agar dapat menunjukkan teladan baik bagi masyarakat.

Sekiranya perbuatan kita yang baik itu menjadi ikutan orang lain, maka kita akan diberi ganjaran pahala seolah-olah kita juga melakukannya. Contohnya amalan suka bersedekah, mengajarkan ilmu yang baik dan menjaga aurat.


Sebaliknya jika menunjukkan sikap dan perangai buruk kepada masyarakat, kita bukan saja akan mendapat kejian dan cacian. Malah, sesiapa yang menjadikan kita sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan seumpamanya, maka kita juga akan mendapat dosa yang sama seperti orang yang melakukannya.


Manusia digalakkan untuk melakukan amalan kebaikan yang boleh dicontohi oleh orang lain. Ini selaras dengan perumpamaan lama Melayu, iaitu ‘gajah mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’ Dengan memperbanyakkan melakukan kebaikan, kita bukan saja membersihkan hati diri sendiri, tetapi juga merangsang perasaan mereka di sekeliling kita untuk berubah kelakuan menjadi umat yang suka kepada kebaikan.

Sesungguhnya, tiada apa ‘harta tinggalan dunia’ yang lebih berharga daripada meninggalkan amalan yang baik. Malah, setiap amalan yang baik yang kita tinggalkan lebih tinggi nilainya daripada pangkat yang dikurniakan kepada kita di dunia. Amalan yang baik juga memudahkan penilaian amalan kita ketika di padang Mahsyar dan timbangan Mizan. Lebih banyak amalan yang baik, akan lebih beratlah Mizan di sebelah kanan. Sebaliknya, jika banyak amalan buruk, akan lebih beratlah Mizan di sebelah kiri.

Oleh itu, berusahalah untuk menjadi orang yang baik dan terpuji kerana cermin akhlak dan peribadi yang mulia bukan saja akan menjadikan kita umat dihormati di dunia, tetapi juga menjadi hamba kesayangan Allah ketika di akhirat.

Berita Harian :: April 2004

No comments: