Thursday, April 29, 2004

Kerajaan mahu jadikan sekolah kebangsaan bertaraf dunia

PETALING JAYA 28 April - Kerajaan mahu menjadikan sekolah kebangsaan (SK) di negara ini bertaraf dunia selaras dengan matlamat mewujudkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang diiktiraf antarabangsa.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha melahirkan universiti bertaraf dunia itu mesti dimulakan dari SK yang turut mempunyai standard dunia supaya sistem pendidikan negara memiliki kesinambungan.

``SK adalah saluran utama kepada IPT awam dan swasta (memperoleh pelajar) maka dasar serta matlamatnya ti-dak boleh bercanggah dengan hala tuju IPT, kerana itu ia mesti ada kesinambungan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2004 bertemakan Membangunkan Keupayaan Intelektual Malaysia Dalam Abad Ke-21 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Datuk Dr. Michael Yeoh.

Beliau mengulas mengenai sesi pembentangan kertas kerja pada sidang kemuncak itu yang rata-ratanya menyentuh keperluan melahirkan universiti tempatan bertaraf dunia dan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau selaras dengan arus globalisasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi dalam ucaptamanya pada majlis perasmian sidang kemuncak itu semalam turut menyatakan bahawa matlamat untuk membangunkan satu sistem pendidikan negara yang bertaraf dunia adalah merupakan satu agenda utama kerajaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kementeriannya akan mengkaji semula struktur latihan para guru termasuk tempat kerja, insentif dan anugerah sebagai usaha mengiktiraf golongan tersebut sebagai tulang belakang sistem pendidikan.

Katanya, aspek tersebut perlu diberi penekanan kerana bidang perguruan bukan semata-mata pekerjaan tetapi adalah untuk mendidik generasi muda.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut menggariskan empat fokus utama sistem pendidikan negara iaitu kualiti dan pandangan sosial terhadap guru, sekolah di kawasan luar bandar, sekolah kebangsaan dan pendidikan bagi menghadapi ekonomi baru.

Utusan :: 29/4/2004



No comments: