Sunday, August 17, 2003

Ucapan KSN sempena Fellow INTAN 2002

TEMA MAJLIS : PEGAWAI CEKAP PERKHIDMATAN CEMERLANG

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh dan salam
sejahtera.


Saudara dan saudari pengacara majlis,

YBhg. Tan Sri Jamaluddin Haji Ahmad Damanhuri
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

YBhg. Dato' Dr. Mohd. Shahari bin Ahmad Jabar,

YBhg. Dato' Zakaria Mohd Taib
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi),

YBhg. Dato' Dr. Zulkurnain Hj Awang
Pengarah INTAN,

YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato'-Dato',
Datin-Datin

Tuan-tuan dan Puan-puan serta para graduan yang
dihormati sekalian.


1. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana
dengan limpah kurniaNya kita dapat bersama-sama di
majlis yang sangat bermakna pada pagi ini.

2. Tahniah saya ucapkan kepada INTAN kerana sekali
lagi menganjurkan dengan jayanya Majlis Penyampaian
Diploma dan Penganugerahan Fellow INTAN.

3. Kepada para graduan saya mengucapkan tahniah dan
syabas di atas kejayaan saudara-saudari mengikuti
kursus-kursus diploma di INTAN, iaitu Diploma
Pengurusan Awam (DPA), Diploma Sains Pengurusan (DSP)
dan Diploma Pengurusan Maklumat (DPM). Majlis pagi ini
tentunya menjadi satu lembaran sejarah bagi saudara
saudari setelah dipilih, dilatih dan didedahkan dengan
berbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk
membolehkan saudara saudari memegang jawatan sebagai
pegawai yang berkualiti dan berprestasi tinggi.

4. Bagi para graduan DPA, saya mengucapkan selamat
memasuki alam baru sebagai anggota Perkhidmatan Tadbir
dan Diplomatik (PTD). Sungguh menjadi harapan saya
untuk melihat saudara saudari bergerak maju dan menjadi
kebanggaan kepada PTD melalui usaha gigih sepanjang
perkhidmatan. Saudara saudari hendaklah sentiasa
meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam
menjalankan tugas masing-masing serta sentiasa peka
kepada perkembangan yang berlaku di dalam negara dan di
peringkat antarabangsa.

Pegawai Muda Perlu Bermula Dengan Nilai dan
Keperibadian Yang Baik
Saudara - Saudari sekalian,

5. Dari kalangan saudara saudari Insya Allah akan
lahir beberapa orang Ketua-ketua Setiausaha, Ketua-
ketua Pengarah, serta mereka yang akan menerajui pucuk
pimpinan di agensi-agensi Kerajaan. Mungkin saudara
saudari merasakan itu hanya satu impian dan terlalu
jauh ke hadapan. Namun percayalah, bahawa impian akan
dapat menjadi kenyataan jika saudara saudari yakin dan
berusaha bersungguh-sungguh. Tidakkah semua realiti
bermula dari impian? Tidakkah "A journey of 1000 miles
begins with a single step?". Langkah pertama bermula
apabila saudara saudari melapor diri di jabatan masing-
masing. Adalah amat penting saudara saudari mula dengan
nilai dan keperibadian yang baik, langkah-langkah yang
bijaksana, bertugas dengan penuh integriti dan berazam
untuk sentiasa memberi khidmat yang cemerlang. Dari
awal-awal lagi saudara saudari perlu sentiasa
memikirkan bagaimana hendak menambah pengetahuan,
meningkatkan kemahiran dan memupuk sikap-sikap positif
seperti `rajin bekerja' yang menjurus ke arah
peningkatan mutu perkhidmatan awam secara berterusan.

6. Kita harus bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana
pada masa ini Malaysia mempunyai perkhidmatan awam yang
cekap dan berkesan. Malah sebulan yang lalu di INTAN
ini, Y.A.B Timbalan Perdana Menteri ketika Persidangan
Perkhidmatan Awam ke-7, telah menyatakan bahawa
perkhidmatan awam di Malaysia adalah antara yang
terbaik di dunia, terutamanya di kalangan negara-negara
membangun. Walau bagaimanapun, beliau berharap agar
perkhidmatan awam sentiasa diperkukuh dan
dipertingkatkan sejajar dengan usaha negara untuk
mencapai status negara maju mengikut Wawasan 2020. Saya
yakin bahawa harapan ini akan tercapai memandangkan
perkhidmatan awam kita terbina atas asas yang kukuh
dengan tradisi-tradisi yang sihat. Namun demikian,
perkhidmatan awam perlu sentiasa peka dan prihatin
kepada cabaran-cabaran masa kini dan akan datang.

Saudara dan saudari sekalian,

7. Kita semua sedia maklum bahawa peranan
perkhidmatan awam masa kini penuh dengan cabaran-
cabaran baru yang agak berlainan dengan cabaran sedikit
masa dahulu. Cabaran yang diharungi kini lebih
bergelombang akibat daripada perubahan-perubahan yang
berlaku di seluruh dunia dalam era globalisasi dan
liberalisasi perdagangan, yang disemarakkan lagi oleh
perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi
atau Information and Communication Technology (ICT).

8. Perubahan-perubahan pesat yang berlaku ini telah
mendatangkan kesan yang rumit, kompleks serta saling
berkait di antara satu sama lain. Ianya merupakan
dimensi baru yang memerlukan pendekatan yang strategik
dan bersepadu untuk menghadapinya.

Perkhidmatan Awam Dalam Era Globalisasi
Saudara dan Saudari,

9. Cabaran utama dalam era globalisasi dan
liberalisasi ialah apa yang disebut cabaran
"interconnectedness or interdependence" (kait
mengait/saling bergantungan). Ekonomi dunia telah
menjadi begitu saling berkait dan bergantung antara
satu sama lain menyebabkan kunci "survival" kita
terletak kepada sejauh manakah kita dapat menyelami dan
memahami "linkages" ini dan dapat bertindak pantas
dengan langkah-langkah yang sesuai dan berkesan.
Sebagai contoh, Tragedi 11 September di Amerika
Syarikat bukan sahaja telah memberi kesan buruk
terhadap ekonomi Amerika Syarikat malah juga ekonomi
global. Oleh kerana Amerika Syarikat adalah negara
dagangan penting bagi Malaysia, kita juga turut
terheret ke dalam kemelesetan ekonomi. Ternyatalah
dalam era globalisasi keadaan yang berlaku di luar
negara boleh menjejas ekonomi negara dan memberi akibat
yang buruk kepada kita jika kita tidak peka dan
menyiapkan diri.

10. Ini bererti semua pegawai perkhidmatan awam di
mana saja mereka bertugas perlu mengambil tahu
perkembangan di luar negara dan di institusi-institusi
antarabangsa. Mereka perlu melihat impak perkembangan
di luar organisasi terhadap tindak tanduk mereka.
Mereka harus sedar bahawa sempadan organisasi tidak
terbatas kepada sempadan fizikal organisasi itu atau
sempadan negara semata-mata. Pegawai perkhidmatan awam
perlu memahami sedalam-dalamnya konsep globalisasi dan
peka mengenai kesannya terhadap Negara.

Pegawai Awam dan ICT
Saudara dan Saudari,

11. Kita juga maklum bahawa globalisasi dapat
berkembang pesat oleh kerana perkembangan ICT.
Misalnya, melalui ICT, setiap hari beribu juta wang
diurusniagakan di seluruh dunia tanpa mengira sempadan
negara. Apa yang berlaku di Wall Street atau Tokyo
Stock Exchange dapat diikuti pada saat ianya berlaku.
Perkembangan dan kemajuan ICT memberi implikasi
terhadap cara perhubungan dan teknologi dalam memberi
perkhidmatan.

12. Perkembangan pengetahuan melalui Internet boleh
disifatkan sebagai satu revolusi bagi abad ini. Pada
masa ini Internet adalah satu sumber pengetahuan yang
sangat penting. Tidak ada sesuatu yang tidak dapat
diperolehi melalui Internet. Bahkan ICT khususnya
Internet telah mengubahkan ekonomi menjadi knowledge-
based. Oleh itu, satu cabaran baru bagi anggota
perkhidmatan awam ialah sejauh mana kita mampu
melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran
berhubung ICT serta mengeksploitasi ICT dalam memberi
perkhidmatan kepada pelanggan. ICT telah merubah
perhubungan antara Kerajaan dan pelanggan. Persoalannya
antara lain ialah, sejauh manakah pegawai-pegawai
Kerajaan celik IT. Adakah kita mengeksploitasi ICT
dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik. Melalui laman
web, pelanggan sekarang mempunyai `direct access' ke
agensi-agensi Kerajaan dengan `click' ke atas tetikus.
Saluran makluman balas menjadi lebih meluas. Pemantauan
projek-projek boleh dibuat lebih pantas. Ini memerlukan
kita semua mengubahsuai cara bekerja. Ia bukan sahaja
bergantung kepada pegawai IT tetapi meliputi semua
pegawai dalam perkhidmatan awam.

13. Oleh itu, demi untuk memberi perkhidmatan yang
sebaik-baiknya serta memenuhi keperluan pelanggan yang
lebih sophisticated, saudara saudari hendaklah
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang
IT secara berterusan. Anggota perkhidmatan awam yang
ICT illiterate tidak dapat menjadi begitu produktif
malah akan menjadi obselete dengan pantas.

14. Gelombang globalisasi dan kemajuan ICT yang amat
pesat sedang mengubah struktur ekonomi dunia,
menjadikan pasaran antarabangsa lebih kompetitif dan
seterusnya boleh menjejaskan penguasaan pasaran
sesebuah negara. Arus ini juga turut memberi kesan
kepada kemasukan modal asing ke dalam negara kerana
kita terpaksa bersaing dengan negara-negara sedang
membangun yang lain untuk mendapatkannya. Manakala
kemajuan di dalam bidang ICT pula telah dan akan terus
merubah corak dan kaedah kegiatan ekonomi dijalankan,
urusan pentadbiran Kerajaan, perniagaan, kewangan dan
juga cara pembelajaran. Peralihan kepada penyampaian
perkhidmatan melalui elektronik bukan sahaja melibatkan
perubahan dalam sistem dan prosedur-prosedur serta
proses penyampaian khidmat tetapi juga membawa kesan
kepada cara orang ramai dan sektor swasta berurusan
dengan Kerajaan.

Keperluan Pelanggan Yang Lebih Sophisticated

15. Kita juga perlu waspada bahawa kesan daripada
cabaran-cabaran serta peluang-peluang yang dibawa oleh
arus globalisasi dan kemajuan ICT adalah complex. Dari
suatu sudut, keperluan dan permintaan pelanggan-
pelanggan daripada sektor korporat akan berubah.
Malahan permintaan daripada orang awam juga akan turut
berbeza dan menjadi lebih sophisticated. Oleh itu,
dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, seluruh
perkhidmatan awam hendaklah menyiapkan diri dengan
pengetahuan baru, komunikasi berkesan, menguasai bahasa
perdagangan dunia, khasnya Bahasa Inggeris dan lain-
lain bahasa antarabangsa, kemahiran menggunakan
teknologi maklumat yang tinggi serta mengikuti segala
perkembangan di seluruh dunia secara berterusan.

Penggunaan Bahasa Inggeris
Saudara saudari sekalian,

16. Dalam konteks era globalisasi, satu perkara yang
menjadi kebimbangan Kerajaan pada masa ini ialah
penguasaan Bahasa Inggeris di Malaysia termasuk di
kalangan pegawai-pegawai Kerajaan. Tidak dapat
dinafikan lagi bahawa untuk bergerak di arena
antarabangsa dan memperolehi maklumat yang termaju,
penguasaan Bahasa Inggeris amat penting sekali. Ia
adalah bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa dalam
perundingan-perundingan di peringkat antarabangsa.
Banyak pihak agak khuatir melihat penguasaan Bahasa
Inggeris di kalangan pegawai Kerajaan terutamanya
pegawai-pegawai muda, sangat memerlukan peningkatan
dengan seberapa segera. Ini adalah cabaran yang
kritikal bagi seluruh perkhidmatan awam Malaysia pada
masa ini. Jika langkah-langkah tidak diambil secara
serius dan segera, dikhuatiri kita akan ketinggalan.
Oleh itu, saya menyeru kepada semua pegawai supaya
mengambil inisiatif untuk meningkatkan penguasaan
Bahasa Inggeris termasuk penguasaan kemahiran
perundingan. Pegawai-pegawai Kerajaan perlu terus
memainkan peranan aktif dalam rundingan-rundingan di
peringkat antarabangsa demi menjaga kepentingan
Malaysia. Justeru, saya menyarankan setiap pegawai
membaca sekurang-kurangnya sebuah buku Bahasa Inggeris
setiap bulan, termasuk novel-novel yang baik. Usaha
ini janganlah di salah erti bahawa kita mengabaikan
Bahasa Malaysia yang martabatnya akan sentiasa
dipertahankan.

Pegawai Awam dan Persyarikatan Malaysia
Saudara saudari,

17. Dalam konteks pembangunan ekonomi negara,
pentingnya peranan dan kerjasama di antara pihak
perkhidmatan awam dan swasta di bawah konsep
`Persyarikatan Malaysia' tidak perlu dipertikaikan
lagi. Seperti yang dinyatakan di dalam pelbagai
dokumen perancangan Kerajaan umpamanya Rangka Rancangan
Jangka Panjang Ketiga Tahun 2000 - 2010 dan Rancangan
Malaysia Kelapan (2001 - 2005), sektor swasta merupakan
teras dan penggerak utama atau engine of growth kepada
pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hubungan sektor
swasta dan awam ini, perkhidmatan awam hendaklah
menjadi catalyst atau pemudahcara untuk meningkatkan
pertumbuhan dan sumbangan sektor tersebut. Anggota
perkhidmatan awam juga hendaklah membantu serta memberi
kerjasama yang erat kepada sektor swasta dengan
menjalankan kerja dengan cekap dan efisyen. Ini
bererti kita perlu memberi kelulusan dengan cepat dan
tidak melengah-lengahkan kerja. Saya ingin mengingatkan
saudara saudari dan seluruh perkhidmatan awam supaya
pengurusan asas seperti urusan fail, urusan pembayaran,
urusan surat-menyurat dan lain-lain tugas, hendaklah
perlu cepat, teratur dan konsisten, sebaik-baiknya
melebihi ekspektasi pelanggan "exceeding customers
expectation".

18. Selain itu, kita semua sebagai anggota
perkhidmatan awam perlu sentiasa peka dan bertindak
secara proaktif terhadap masalah yang dihadapi oleh
sektor swasta dan orang ramai. Di antara
langkah berterusan yang perlu diambil ialah dengan
meneliti semula pelbagai peraturan dan tatacara
birokrasi. Peraturan-peraturan yang bersifat sebagai
penghalang, misalnya peraturan-peraturan yang rumit dan
memakan masa hendaklah dikaji semula serta diperbaiki.
Saya ingin berpesan kepada pegawai-pegawai muda hari
ini agar sentiasa berazam untuk membawa perubahan dan
bertindak menghapuskan amalan-amalan budaya yang boleh
menghalang penyampaian perkhidmatan terbaik kepada
orang ramai.

19. Melalui kerjasama erat antara sektor awam dan
swasta ini, adalah dijangkakan sektor swasta akan
berkembang maju serta memperolehi pulangan yang tinggi
ke atas pelaburan mereka. Ini seterusnya akan
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, meningkatkan
pendapatan dan taraf kehidupan kita semua.

Memahami Dasar dan Aspirasi Kerajaan

20. Tidak kurang pentingnya juga, sebagai asas segala
aktiviti dan tindak-tanduk, saudara saudari hendaklah
meneliti dan memahami dokumen-dokumen perancangan
Kerajaan seperti Rangka Rancangan Jangka Panjang
(Outline Perspective Plan) dan Rancangan Lima Tahun
Kerajaan. Dengan meneliti, memahami dan menghayati
dokumen-dokumen ini, saudara-saudari bukan sahaja dapat
mengetahui segala dasar-dasar Kerajaan tetapi juga
dapat menghayati falsafah serta semangat di sebalik
pelbagai dasar. Saya yakin penghayatan dasar-dasar
pembangunan Kerajaan ini adalah amat penting untuk
meningkatkan kesungguhan serta komitmen kita dalam
melaksanakan projek-projek pembangunan.

Amalan Nilai-nilai Murni

21. Selain dari memupuk nilai budaya senggara, nilai
dan amalan murni pegawai Kerajaan perlu diberi
perhatian secara berterusan. Nilai dan amalan murni ini
bertindak sebagai tapak asas (foundation) yang
menggerakkan misi sesuatu organisasi dan membantu dalam
penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Ia
juga asas utama dalam menjamin kerjaya pegawai-pegawai
dalam perkhidmatan awam. Ini termasuklah tiga nilai
penting iaitu nilai rajin bekerja, nilai disiplin dan
nilai kejujuran (honesty). Kita harus terus bekerja
dengan keras dan memupuk nilai menghormati orang-orang
yang bekerja keras.

22. Pihak Kerajaan telah mengambil daya usaha untuk
membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni
sebagai salah satu agenda rasmi yang penting. Di
antara usaha-usaha pengukuhan nilai murni yang
dijalankan secara berterusan ialah menerbitkan pelbagai
garis panduan seperti Panduan Perkhidmatan Cemerlang,
Penerapan Nilai-nilai Islam, Tunggak Dua Belas dan
Pemantapan Keutuhan Pengurusan Kerajaan. Menerusi
usaha-usaha ini, pihak Kerajaan berharap untuk
membentuk satu masyarakat Malaysia yang berjaya, aman,
sejahtera dan harmonis. Bagi merealisasikan hasrat ini,
saya menegaskan sekali lagi supaya anggota perkhidmatan
awam, khasnya anda semua, hendaklah sentiasa
mengamalkan etika kerja cemerlang dengan sepenuhnya
seperti memberi perkhidmatan secara pantas, telus,
mesra, bertimbang rasa, bijaksana, menjauhkan diri
daripada segala gejala negatif dan tidak mengambil
sebarang kesempatan daripada kedudukan yang disandang
dan sama sekali tidak terlibat dengan amalan rasuah.
Ciri-ciri murni ini, di samping kepimpinan yang jitu,
akan dapat menjadikan perkhidmatan awam kita dihormati
dan disegani. Ini seterusnya akan meningkatkan
martabat perkhidmatan awam bukan sahaja di mata
masyarakat setempat tetapi juga masyarakat
antarabangsa.

23. Sebagai penutup, saya ingin menasihati saudara
saudari supaya berkhidmat dengan penuh semangat,
berhemah dan berintegriti. Sediakan minda dan hati
untuk tugasan dan tanggungjawab penting di hadapan
anda. Selami kekuatan dan keistimewaan diri sendiri
untuk menumpukan seluruh jiwa raga saudara saudari
untuk kecemerlangan perkhidmatan supaya siapa jua yang
saudara saudari memberi khidmat akan melihat bukan
sahaja seorang yang bekerja keras tetapi seorang yang
mencerminkan kualiti perkhidmatan keseluruhannya.

24. Teruskanlah tradisi berkhidmat untuk negara,
dengan penuh kesetiaan kepada Kerajaan yang memerintah.
Dengan itu saudara saudari tentu akan menyumbang ke
arah menjadikan pegawai awam lebih professional,
kreatif, fleksibel dan mesra pelanggan.

25. Selain dari itu, teruskan menambah kemahiran IT
dan komunikasi saudara saudari. Tanamkan minat
berterusan terhadap perkembangan dunia antarabangsa.
Lebih penting lagi, baca, baca dan terus membaca.
Banyak cabaran dan liku-liku yang anda akan hadapi
tetapi cabaran yang paling hebat sekali datang dari
dalam diri anda - iaitu misi membentuk suatu
perkhidmatan awam Malaysia di mana nilai-nilai
keagamaan dan budaya terus diperkukuhkan dalam
perkembangan material yang pesat. Berkhidmatlah tanpa
ragu-ragu dengan penuh integriti dan keberanian kerana
saudara saudari sebenarnya berkhidmat kerana Allah dan
negara.

Saudara saudari,

26. Pada majlis ini, kita merasa amat bangga kerana
dapat memberi penghormatan kepada seorang tokoh
perkhidmatan awam yang terkenal dan dihormati. Tokoh
Fellow INTAN pada tahun ini ialah Yang Berbahagia Dato'
Dr. Mohd Shahari bin Ahmad Jabar. Beliau telah banyak
menyumbang jasa bakti kepada negara dan masih lagi
terus memberi sumbangan di mana ada kesempatan. Beliau
pernah memegang berbagai jawatan penting dalam sektor
awam termasuk Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
dan Pengarah INTAN.

27. Saya bagi pihak seluruh perkhidmatan awam
mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi tahniah
kepada Y.Bhg. Dato' Dr. Mohd Shahari bin Ahmad Jabar
kerana dipilih untuk menerima Anugerah Fellow INTAN
bagi tahun 2002. Semoga Allah SWT memberikan Y.Bhg.
Dato' dan keluarga kesihatan dan kebijaksanaan yang
berterusan.

28. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada
INTAN atas kejayaan melatih sumber tenaga baru bagi
perkhidmatan awam. Tahniah saya ucapkan kepada semua
graduan dan juga kepada ibu bapa serta ahli keluarga
yang turut mengikuti majlis pada pagi ini. Bagi para
graduan yang akan menerima Anugerah-anugerah khas, saya
mengucapkan syabas dan tahniah.

29. Akhir kata, harapan saya agar saudara saudari akan
berkhidmat kepada negara dengan penuh keikhlasan,
dedikasi dan berkeyakinan.

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakaatuh .

No comments: