Oleh Nor Affizar Ibrahim
HIDUP berumah tangga ada pasang surut. Oleh itu, jika ingin keharmonian berkekalan dan mendapatkan kesejahteraan berkeluarga, pasangan suami isteri harus bijak mengemudikan haluan rumah tangga bagi mengatasi masalah dan rintangan.
Perunding Psikologi dan Klinikal, Datuk Dr Mat Saat Baki, berkata hubungan harmoni suami isteri sememangnya berperanan penting dalam mewujudkan rumah tangga bahagia dan aman damai.
Katanya, untuk membentuk keharmonian hubungan, beberapa perkara wajar menjadi pertimbangan suami isteri, iaitu hormat-menghormati, ambil berat, reda, muafakat, optimis, menikmati kehidupan bersama dan kemesraan.
Dr Mat Saat berkata, reda, hormat-menghormati dan ambil berat antara satu sama lain bukan saja mampu memupuk kemesraan hubungan pada awal perkahwinan tetapi juga apabila usia perkahwinan semakin meningkat. Memupuk sikap seumpama itu turut mengelakkan perselisihan faham berterusan yang boleh menimbulkan perasaan bosan, sikap ambil mudah dan tidak selesa sehingga mencetus lagi masalah kedinginan antara suami isteri.
Beliau berkata, begitu juga dengan permuafakatan yang menuntut pasangan bersikap jujur dan bijak membuat keputusan sepanjang hidup bersama.
Bagaimanapun, Dr Mat Saat menegaskan, biarpun kejujuran itu penting tetapi jika ingin menjaga keharmonian hubungan antara suami isteri, pasangan tidak perlu 100 peratus bersikap jujur. Kejujuran ada kala boleh mencetuskan permusuhan antara suami dengan isteri.
“Tidak 100 peratus jujur bukan bermakna kita harus menipu pasangan. Sebaliknya, kita memberitahu apa yang difikirkan baik dan perlu diketahui oleh pasangan saja. Kita harus ingat, maklumat yang betul ada kala boleh ‘menghentam’ hubungan.
Jadi, bagi mengelakkan perasaan cemburu, marah dan sebagainya pada pasangan, lebih baik sembunyikan perkara yang tidak perlu diberitahu. Ia lebih baik daripada kita bercakap yang tidak betul. Lagipun, dalam hubungan suami isteri tiada istilah ‘tipu sunat’,” katanya ketika membincangkan tajuk, ‘Keharmonian Keluarga’ pada kursus bersiri pembangunan keluarga di bangunan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kursus Belayarnya Bahtera Kasih II itu anjuran LPPKN dan bermatlamat meningkatkan pengetahuan mengenai hal dan tanggungjawab keluarga. Selain itu, untuk memahami punca dan kesan kedinginan hubungan keluarga serta cara meningkatkan kemesraan sesama anggota keluarga.
Dr Mat Saat berkata, berfikiran optimis juga dapat membantu menjaga keharmonian suami isteri. Seseorang yang berfikiran seperti itu, lazimnya bertanggapan bahawa hidup ini lebih baik daripada dulu.
Yang nyata, berfikiran optimis, lebih baik daripada berfikiran positif. “Fikiran optimis adalah penting. Biasanya, apabila berfikiran positif kita bersikap menerima saja dan ini tidak mengubahkan apa-apa tetapi hanya kaedah ‘syok sendiri’. Berbeza apabila berfikiran optimis, kita akan cuba kendalikan gangguan dan godaan yang dihadapi hidup sebagai suami isteri. Kemahiran mengendalikan semua itu perlu jika hendak bahagia dan seronok dalam rumah tangga. Lebih-lebih lagi, hidup sebagai suami isteri memang banyak cabaran. Untuk itu, kita perlu optimis. Tetapi ini tidak bermakna, kita tidak perlu berfikiran positif langsung,” katanya.
Mengenai cara memupuk kemahiran kemesraan dalam hubungan keluarga, Dr Mat Saat berkata, beberapa prinsip kemesraan boleh dijadikan pegangan. Pertama, tunjukkan teladan kemesraan kepada anak kerana mereka akan mempelajari dan mengikuti apa yang ibu bapa lakukan. Kedua, bertindak konsisten dengan apa yang dicakapkan, manakala ketiga, menyediakan masa untuk bermesra.
Katanya lagi, mungkin ada suami isteri yang sering memberi alasan tidak mempunyai masa untuk bermesra. Justeru, dalam menangani hal itu, disarankan menggunakan formula, ‘rebut 15 minit’ atau gunakan ‘kuasa lima minit’.
“Kesibukan selalu menjadi halangan tetapi ini tidak bermakna suami isteri tidak ada cara langsung dan masa untuk mewujudkan kemesraan bagi diri mereka berdua dan pada anak. Untuk mengatasinya, salah satu cara ialah pastikan anda ambil masa 15 minit setiap hari untuk bermesra dan jika tidak boleh, gunakanlah kuasa lima minit serta gunakan masa itu sebaik mungkin,” katanya.
Berita Harian, Jumaat 8/8/03
Saturday, August 09, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment