Pada Hemat Saya
Oleh AZMAN ANUAR
(WARTAWAN UTUSAN)
Tanpa berasa jemu, Perdana Menteri terus mengingatkan masyarakat supaya mengubah gaya hidup lama kepada corak baru sesuai dengan perubahan dan kehendak negara ini yang sedang menuju negara maju.
Sudah tentu kita sendiri akan berasa malu apabila orang luar melihat Malaysia yang boleh mencapai status negara maju tetapi malangnya gaya hidup masyarakatnya masih belum mencapai tahap seperti orang yang bertamadun.
Kemerdekaan yang kita capai 46 tahun dan lebih dua dekad kita tekun memajukan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara, apakah budaya hidup negatif tidak berubah sedikit pun?
Jika zaman baru merdeka dahulu, ketika segalanya serba tiada, kita boleh menerima jika ada yang menghina negara ini tetapi dengan pembinaan imej melalui penyediaan kemudahan yang bertaraf dunia, apakah kita masih mahu dihina sebagai masyarakat yang tidak tahu menilai kemudahan yang disediakan? Pendek kata masyarakat yang tidak pandai menghargai hidup bertamadun.
Bukan payah untuk kita mengubah sikap daripada mengamal budaya yang rendah nilainya kepada gaya hidup yang lebih ke hadapan sesuai dengan kecekapan dan kemudahan canggih serta bermutu tinggi yang disediakan untuk kegunaan rakyat negara ini sendiri.
Entah mengapa ketika melakukan pecah tanah Festive Street Mall di Danga Bay Bandar Wawasan Selatan di Johor Bahru, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menegur perkara ini lagi. Jelas, kita dapat menangkap mesej beliau bahawa tahap perubahan gaya hidup rakyat negara ini belum memuaskan hati beliau. Beliau tidak marah tetapi akan terus mengikatkan kita supaya berubah daripada gaya hidup negatif yang kita amalkan sekarang.
Sebagai Perdana Menteri sudah tentu beliau berasa agak malu apabila ramai pelancong menegur cara rakyat negara ini menggunakan kemudahan tertentu dan jika kemudahan kelas pertama diberikan tetapi kita terus menjadi pengguna kelas Dunia Ketiga.
Mentaliti masyarakat kita yang tidak bijak memanfaatkan kemudahan canggih inilah menyebabkan kita tertanya-tanya, jahil sangatkah mereka hingga tidak tahu memanfaatkan kemudahan ini?
Ada laluan pejalan kaki yang kotor kerana sampah sarap dibuang merata-rata, tandas awam berbau busuk akibat pengguna tidak berdisiplin, gerai-gerai didiami tikus, lipas, lalat, pemandangan rumah pangsa dengan jemuran pakaian yang memalukan dan sebagainya.
Biarpun banyak kemudahan bertaraf dunia disediakan seperti sistem pengangkutan awam yang canggih, kompleks beli-belah yang hebat, ia tidak banyak mendatangkan faedah kepada imej negara jika sikap warga kota yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat, pendidikan dan budaya hanya dilihat lebih mencacatkan pemandangan sahaja. Kita harus berasa bimbang akan perkembangan mentaliti masyarakat kota sekarang yang mengamal sikap ambil mudah.
Banyak kali pemimpin negara menegur masyarakat tentang perkara ini. Benarkah kita masih berfikiran Dunia Ketiga? Haruskah kita membiarkan sahaja ia berlaku kerana ia sudah sebati dengan amalan hidup masyarakat? Apakah kita tidak mahu mengubah sikap agar kesan negatifnya tidak terpalit kepada imej masyarakat setempat dan negara?
Kita pandai membandingkan ibu kota kita dengan ibu kota negara lain yang dikatakan cantik dan rakyatnya berdisiplin tinggi.
Kita beri pujian kepada kerajaan negara berkenaan kerana prihatin.
Kita memuji-muji kerana payah hendak lihat pakaian bersidaian di tingkap atau di balkoni rumah mereka. Kita memuji-muji kerana payah hendak jumpa sampah-sarap bersepah-sepahan di ibu kota mereka.
Pendek kata kita hanya pandai memuji-muji keindahan ibu kota lain tetapi tanpa kita sedari penghuni ibu kota berkenaan tahu tanggungjawab mereka dalam sama-sama menjaga keindahan ibu kota mereka. Justeru dengan kerjasama merekalah ibu kota mereka cantik dan indah.
Kalau dibaca dan dihayati sahaja tanpa mengubah pemikiran dan sikap, kita bimbang apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri tidak akan ke mana-mana. Sebab itu pihak-pihak tertentu perlu memainkan peranan untuk menukar teguran Dr. Mahathir kepada pelaksanaan.
Tidak ada gunanya kita mengangguk setuju dengan teguran tersebut tanpa membuat apa-apa ke arah yang lebih baik.
Masih banyak kelemahan yang perlu diberikan perhatian sama ada melibatkan individu, sektor korporat mahupun awam yang boleh menjejaskan perancangan untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.
Perdana Menteri nampaknya bimbang tentang masyarakat negara ini yang sukar membuat anjakan minda. Sedangkan negara sudah banyak berubah dari segi fizikal dengan penyediaan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, tetapi pemikiran masyarakat kita masih di takuk lama bertaraf kelas Dunia Ketiga.
Jika demikian, bagaimana masyarakat kita hendak mengharungi cabaran dan persaingan dalam menuju Wawasan 2020.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua diseru supaya tidak membiarkan teguran dan peringatan pemimpin negara ini berlalu begitu saja.
Sebenarnya dalam membangunkan kota-kota di negara ini supaya `hidup', ia mesti disertai dengan peningkatan kesedaran sivik masyarakat yang tinggal di dalamnya, manakala infrastrukturnya pula perlu sentiasa dikemas kini dan diselaraskan mengikut peredaran masa.
Kita patut melihat masalah sikap dan mentaliti masyarakat dalam hal ehwal menjaga dan menggunakan kemudahan bertaraf dunia ini sebagai isu besar negara.
Tidak ada gunanya kerajaan menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar, tetapi akhirnya disia-siakan kerana rendahnya tahap kesedaran sivik para penggunanya dan rendahnya etika kerja bersungguh-sungguh kakitangan kerajaan dan swasta.
Utusan Malaysia, Sabtu 23/8/2003
Saturday, August 23, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment