Tuesday, August 05, 2003

`Saya hampir putus asa' -- Malik ceritakan azab, perit dan cemas ketika harungi Selat Inggeris

Daripada: AINOL AMRIZ ISMAIL

ABDUL MALIK MYDIN (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang bersama (dari kanan) jurulatih, John Van Wisse, pengurus, Rahayu Ahmad, abangnya, Abdul Mutalib serta bapa angkatnya, Mohd. Nasir Majid di atas bot pengiring selepas menjadi rakyat Malaysia yang pertama menawan Selat Inggeris selepas berenang selama hampir 18 jam dari Dover, England ke Calais, Perancis sejauh 32.8km, semalam. - Gambar HANAFI KHAMIS.
--------------------------------------------------------------------------------



DOVER, England 4 Ogos - Wira samudera negara, Abdul Malik Mydin menceritakan detik-detik azab, cemas dan perit sehingga hampir `gila' melawan arus dan ombak ganas di dalam tempoh empat jam terakhir sebelum berjaya menyeberangi Selat Inggeris ke Perancis, awal pagi ini.

Dia mengakui `sudah merapu' serta tidak tahu apa yang dikatakannya kepada jurulatih John van Wisse kerana terlalu letih apabila renangannya menjadi sia-sia ditolak semula arus ke tengah laut.

Pada masa itu Abdul Malik telah berenang selama 13 jam.

``Saya berasa teramat perit dalam tempoh empat jam terakhir, walaupun pantai Cap Gris-Nez, Calais sudah berada di depan mata, tapi saya tak boleh pergi ke hadapan. Memang sukar mengawal emosi ketika itu kerana saya tidak diberitahu oleh juruarah, Michael Oram ke mana sepatutnya mendarat.

``Van Wisse memberitahu, saya sudah merapu dan mula bercakap Melayu dengannya ketika itu,'' kata Abdul Malik dalam temu bual bersama media di Hotel Premiere Lodge, di sini hari ini selepas mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia dan Asia Tenggara pertama berjaya merentasi Selat Inggeris yang sejauh 32.8 kilometer itu.

Selepas cubaannya ke pantai Cap Gris-Nez gagal, dia mengubah haluan untuk mendarat ke pantai Le Petit Blanc, kira-kira tiga kilometer dari Cap Gris-Nez.

``Di situ juga saya tidak mampu untuk tiba ke pantai. Arus menolak saya terlalu kuat...saya hampir-hampir putus asa ketika itu.''

``Lokasi ketiga, saya diarah ke pantai Wissant, kira-kira dua kilometer jaraknya dari Le Petit Blanc dekat Calais. Jika saya gagal juga kali ini, saya sudah tidak sanggup lagi, saya putus asa. Stamina saya sudah habis.

``Bagaimanapun cubaan saya berjaya. Saya menjejak kaki di Wissant pada pukul 7.50 petang waktu England (2.50 pagi Malaysia). Saya bersyukur kepada Allah. Saya terharu kerana ada rakyat Malaysia yang menunggu saya di sana. Terima kasih semuanya,'' ujarnya.

Akibat tiga cubaan yang dilakukan itu jaraknya tersasar sejauh 58 kilometer dari laluan sepatutnya 32.8 kilometer. Masa rasmi yang dicatatkannya ialah 17 jam 35 minit.

Cabaran menyeberangi Selat Inggeris ini bukanlah mudah. Sejak 1875 lebih 8,000 perenang telah mencuba melakukan renangan di selat ini dan hanya 800 sahaja yang berjaya menempa nama, menjadikan jumlah yang berjaya hanya lapan peratus sahaja.

Perenang pertama berbuat demikian ialah Kapten Matthew Webb berusia 27 tahun ketika memulakan misi itu dari Admiralty Pier, Dover pada 24 Ogos 1875 dan tiba di Calais, Perancis dalam tempoh 21 jam, 46 minit.

Bagi Abdul Malik, cabaran yang paling getir dihadapinya di selat berkenaan ialah semasa menempuh arah arus yang bertentangan di perairan Calais, serta arus dan angin kuat di sepanjang laluan yang diikutinya di Selat Inggeris.

``Ketika saya berenang air sedang pasang besar dengan suhu 16 hingga 18 darjah selsius serta ombak di antara 1.5 hingga 2 meter. Saya memang sudah menduga keadaan ini, tetapi jika kita tunggu lagi, saya akan berhadapan keadaan yang lebih buruk. Jadi renangan ini memang penuh dengan cabaran,'' tegasnya.

Pada akhir renangan itu, van Wisse dilihat kerap kali memanggil Abdul Malik dan pada jarak 100 meter untuk tiba di pantai Wissant. van Wisse juga bertindak terjun ke laut untuk memastikan arah perjalanan perenang negara ini betul.

``Saya perlu bertindak begitu kerana Abdul Malik sudah mula bercakap bahasa Melayu dengan saya. Dia tidak dapat menumpukan perhatian ketika itu. Lagipun saya tidak mahu dia disentuh oleh penyokong di pantai sebelum siren dibunyikan kerana bimbang renangan itu dibatalkan. Nasib baik dia dapat bertahan dan apabila siren dibunyikan, saya ucapkan tahniah kepadanya. Dia hampir menangis...'' kata van Wisse.

Menceritakan lagi cabaran yang dihadapi sepanjang renangan itu, Abdul Malik berkata: ``Saya terasa penat apabila memasuki laluan kapal kedua di tengah laut dan ketika itu saya bagaikan hilang stamina. Mujur, seorang sahabat dari Amerika di dalam bot pengiring, Matt turun ke laut dan berenang bersama-sama untuk memberikan dorongan kepada saya sehingga berjaya.''

Dia memasuki zon laluan berkabus dengan jarak penglihatan cuma 50 meter selepas berenang lebih tujuh jam.

``Di sini, saya merasa sedikit sejuk dan bimbang jika kapal dagang atau kapal kecil tiba-tiba muncul di hadapan. Saya tahu, kecekapan Oram mengendalikan bot dan dibantu dua pilot lain di dua bot berasingan, setiap laluan saya dikawal sebaik mungkin dari sebarang gangguan.''

Menurut van Wisse, kejayaan ini menakjubkan bagi seorang pemuda dari Malaysia. Memang tidak pernah terlintas adanya perenang dari negara yang bercuaca panas akan mampu merentasi selat yang sejuk dan penuh dengan dugaan ini.

``Tahniah untuk Abdul Malik, tahniah kepada rakyat Malaysia. Saya bangga dengan kejayaannya. Bagi saya penantian empat tahun Abdul Malik sudah pun ditebus,'' jelasnya.

Renangan Abdul Malik ini diawasi oleh pegawai Persekutuan Renang dan Pilot Selat (CSPF) termasuk setiausaha kehormat, Michael Oram dan Freeda Streeter. Mereka merekodkan setiap proses renangan itu termasuk jumlah makanan yang diberikan setiap 20 minit.

Laluan yang digunakan oleh Abdul Malik juga akan dicatatkan dalam sijil penghargaan yang akan diberikan kemudian.

Abdul Malik dalam kata-kata paling bermakna pada temu bual media itu menyebut:

``Saya hadiahkan kejayaan di Selat Inggeris ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang akan bersara dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya.''

Katanya, dia telah menerima tiga panggilan telefon daripada penaung projek Cabaran Selat Inggeris, Dr. Mahathir dan kali pertama pada pukul 1.36 pagi kelmarin (waktu England), 10 pagi dan sekali lagi, 12 tengah malam semalam.

``Semalam, Perdana Menteri mengucapkan tahniah dan terharu dengan kejayaan saya. Dia minta saya berehat dan balik segera ke Malaysia,'' katanya. - Utusan
Utusan Malaysia, Selasa 5 Ogos 2003

No comments: