Daripada: AINOL AMRIZ ISMAIL
CALAIS, Perancis 3 Ogos - Sejarah tercipta di Selat Inggeris hari ini apabila perenang maraton negara, Abdul Malik Mydin memahatkan nama Malaysia di Wishant dekat sini selepas berjaya melakukan renangan dari Dover, England sejauh 32.8km dalam masa 17 jam 30 minit.
Beliau selamat tiba di pantai Wishant tepat pukul 2.46 pagi waktu Malaysia _ dalam keadaan penuh keperitan, akibat pukulan ombak dan arus laut yang cukup mengganas.
Di satu peringkat, Abdul Malik hampir-hampir putus asa setelah renangannya sia-sia akibat ditolak semula arus ke tengah laut walaupun jarak hampir sekilometer sahaja lagi dari pantai.
``Bila aku nak sampai'' jeritnya putus asa.
Tetapi jurulatihnya John Van Wisse menjerit balas: ``Diam! anda harus habiskannya!''
Ketika itu Abdul Malik sudah berenang tanpa henti kira-kira 15 jam. Suasana cukup mengharukan. Pemerhati dan para wartawan yang berada di atas bot pengiring dapat merasai perasaannya. Masing-masing berdoa supaya Abdul Malik dikuatkan semangat dan jangan menyerah kalah.
Namun, atas semangat jitu, anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini berjaya melawan ombak dan tiba di sasaran dalam tempoh 17 jam 30 minit - 3 jam 30 minit melebihi daripada jangkaan awalnya.
Tiba di pantai, Abdul Malik masih mampu berjalan dan bersalaman dengan rakyat Malaysia di Perancis yang menunggunya dengan penuh sabar.
Beliau kelihatan menitiskan air mata - kegembiraan dalam keperitan yang amat sangat.
``Ini hadiah daripada saya untuk seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan saya. Tiga jam terakhir tadi saya sudah hampir putus asa kerana sudah tidak terdaya melawan ombak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pantai itu.
Lima minit berada di dataran Calais, Abdul Malik terus menaiki bot untuk kembali Dover, England.
Kejayaan wira samudera berusia 28 tahun itu sekali gus menjadikannya rakyat Malaysia dan Asia Tenggara pertama berjaya melakukan renangan di selat yang penuh cabaran itu, sejak kali pertama dilakukan oleh Kapten Matthew Webb pada tahun 1875.
Perlu disebut di sini cabaran renangan merentasi selat itu dikatakan sama azab dan perit seperti menakluki Gunung Everest.
Terdahulu, pada pukul 2 pagi waktu Malaysia, Abdul Malik masih berhempas-pulas mengharungi arus dan ombak laut yang cukup mengganas dalam kedudukan satu kilometer dari pantai.
Saya (penulis) yang mengikuti dengan rapi pergerakan Abdul Malik dari atas sebuah bot begitu gembira dengan kejayaannya walaupun mengalami mabuk laut kerana terlalu lama di lambung ombak.
Tetapi sebaik Abdul Malik mendarat di Wishant, segala pening dan letih hilang terus.
Sukar dibayangkan keadaan tubuh Abdul Malik, jika saya yang berada di atas bot pun amat letih dan pening, apatah lagi beliau yang terpaksa berada di dalam laut selama 18 jam dan berdepan pula dengan angin kencang dan arus kuat.
Namun, semua orang yang mengikuti misi perit itu penuh berkeyakinan Abdul Malik boleh melakukan renangan itu dengan jayanya, walaupun dilambung ombak dan ditarik arus laut tanpa belas kasihan.
Kami semua amat mengagumi keazaman dan semangat Malaysia Boleh yang dimilikinya.
Dengan suhu air laut mencapai 15 darjah selsius, Abdul Malik tidak menghadapi masalah untuk berada lama dalam laut cuma angin selaju kira-kira 15 batu nautika sejam dan arus yang membuatkannya hampir mengalah.
Saya agak cemas apabila beliau mula membuat lencongan daripada laluan asal sebagai strategi untuk mengelakkan diri daripada arus dan angin kuat.
Ini kerana laluan baru itu lebih jauh daripada yang asal. Namun Abdul Malik bersedia melaluinya walaupun terpaksa menggunakan stamina yang lebih.
Saya akui dari segi fizikal, Abdul Malik cukup bersedia tetapi apa yang membimbangkan ialah kekuatan mentalnya untuk berdepan laluan baru itu.
Alhamdulillah, dia akhirnya berjaya.
Biar pun tertangguh 11 hari sejak 23 Julai lalu kerana faktor cuaca dan keadaan laut yang tidak mengizinkan, misi renangan Abdul Malik akhirnya dapat dilaksanakan semalam di Pantai Abbot Cliff di Dover pada pukul 2.08 pagi waktu England (9 pagi waktu Malaysia) selepas mendapat kelulusan Persekutuan Renang dan Jurumudi Selat (CSPF).
Pelepasan Abdul Malik itu turut disaksikan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di England, Datuk Kamaruddin Mohd. Noor bersama-sama 50 penyokong Malaysia.
Kira-kira sejam sebelum memulakan renangan, Perdana Menteri, Datuk Mahathir dan isteri Datin Seri Dr. Siti Hasmah telah menghubungi Abdul Malik pada pukul 1.36 pagi waktu England semalam untuk menyuntik semangat dan mendoakan kejayaannya.
Kali kedua panggilan telefon diterima daripada Dr. Mahathir ialah pada pukul 10 pagi ini waktu England untuk mengetahui perkembangan misi renangan yang dilakukan oleh Abdul Malik.
Pada misi renangan itu semalam sepanjang tempoh 14 jam, Abdul Malik tidak menghadapi sebarang masalah dan sentiasa diberikan perangsang oleh John Van Wisse, konsultan renangan itu Freeda Stereeter serta juruarahnya, Michael Oram.
Dengan keadaan angin di bawah 15 batu nautika dan suhu di antara 16 hingga 27 selsius, Abdul Malik terus berenang tanpa memaling ke belakang.
Pada awal renangan kira-kira 52 minit, Malik berjaya melengkapkan renangan sejauh 3.2 km selepas tujuh jam berenang dalam kabus tebal yang melanda perairan Selat Inggeris. Jarak penglihatan pada masa itu hanya 50 meter dari bot dengan kedudukan Malik.
Bagaimanapun, Abdul Malik terus berenang dengan konsisten bagi memastikan misi ini berjaya.
Dalam misi ini, sebanyak tiga bot digunakan iaitu Aeegen Blue, Sea Satin dan Pulse One yang membawa lapan wartawan Malaysia, krew cabaran selat Inggeris mengiringi Abdul Malik. - Utusan
Utusan Malaysia, Isnin 4 Ogos 2003
Monday, August 04, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment