Thursday, March 04, 2004

Meritokrasi dorong pelajar lebih cemerlang

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2003 yang diumumkan minggu lalu bukan saja menamatkan debaran 476,722 calon kedua-dua peperiksaan itu, tetapi juga memberi kesimpulan jelas serta signifikan terhadap perkembangan kualiti penguasaan ilmu di kalangan generasi pelapis negara.

Seramai 7,045 calon iaitu 6,358 peringkat SPM dan 687 lagi STPM, berjaya memperoleh keputusan cemerlang A dalam semua subjek diambil yang menyaksikan peningkatan begitu menggalakkan berbanding masing-masing hanya 2,732 serta 531 pelajar pada 2002.

Lebih penting, kualiti kecemerlangan pelajar berkenaan turut membuktikan perkembangan amat membanggakan dengan 1,152 calon SPM mencatatkan keputusan 1A dalam semua mata pelajaran, mengatasi hampir sekali ganda bilangan 663 calon pada tahun sebelumnya.

Bagi STPM pula, 52 calon mendapat 5A yang sekali lagi meningkat berbanding 40 pada 2002, manakala pelajar mencapai A dalam semua empat mata pelajaran diambil ialah 635 orang, iaitu pertambahan 29.3 peratus berbanding hanya 491 pelajar pada 2002.

Senario berkenaan membawa mesej yang cukup positif dan melegakan, iaitu calon peperiksaan kini semakin matang dan juga mempunyai kesedaran, keazaman serta impian lebih tinggi untuk menikmati kejayaan, yakni tidak lagi mudah berpuas hati dengan pencapaian lulus ‘cukup makan’ saja.

Mungkin dengan berbekalkan kesedaran bahawa perebutan peluang, sama ada dari aspek melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mahupun dalam bidang kerjaya kini lebih menyebelahi pelajar terbaik di kalangan mereka yang cemerlang, persaingan sesama calon kini bukan sekadar tertumpu kepada keputusan membanggakan tetapi turut menitikberatkan tahap kecemerlangan serta kualiti kejayaan diperoleh.

Malah, dalam pelaksanaan Sistem Pensijilan Terbuka yang sudah memasuki tahun keempat, ada calon berani menghadapi risiko mengambil banyak mata pelajaran, sekali gus memperoleh kelebihan jika cemerlang dalam semua subjek diduduki.

Kali ini kecemerlangan luar biasa itu berjaya diraih Ahmad Atiq Abdul Hamid yang mencatatkan 15A dan menjadi pelajar terbaik di Selangor, manakala Nicholas Pang Tze Ping dan Celestina Johnny Bouniu dari Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu, pula mendapat 16A.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dr Abu Hassan Othman, dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman keputusan STPM 2003 juga tidak menolak kenyataan bahawa sistem meritokrasi dalam pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kini secara langsung mendorong pencapaian keputusan STPM yang semakin baik.

Laporan akhbar memetik beliau sebagai berkata: “Pelaksanaan sistem itu (meritokrasi) mewujudkan persaingan bagi mendapat keputusan terbaik dan sekali gus memperoleh peluang ke IPTA.”

Malah, dua pelajar terbaik STPM 2003, Nuraidila Abdul Razak dan Koong Lin Yee, dipilih berdasarkan jumlah markah tertinggi daripada pelajar yang mengambil lima mata pelajaran dan mendapat gred A dalam semua kertas diduduki dalam peperiksaan itu.

Justeru, tidak menghairankan jika dalam suasana ‘persaingan dan perlumbaan kejayaan’ kian sengit dalam bidang pendidikan negara ini, institusi yang sememang sudah terkenal dengan kecemerlangan seperti sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpaksa bekerja keras untuk memastikan kesinambungan tradisi itu.

Hasilnya, semua 27 MRSM mengekalkan prestasi cemerlang mencapai 100 peratus lulus dengan 658 atau 11.1 peratus daripada keseluruhan 5,911 calonnya memperoleh A bagi semua subjek diambil dalam SPM tahun lalu. Bilangan pelajar cemerlang MRSM itu bukan saja meningkat 4.7 peratus berbanding 6.4 peratus atau 348 calon pada 2002, malah meliputi kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan calon yang mendapat A bagi semua subjek diambil dalam keputusan SPM 2003 peringkat kebangsaan.

Pelajar cemerlang berkenaan termasuk 3.30 peratus atau 195 calon yang mencatatkan keputusan 11A1, 10A1 dan 9A1, iaitu meningkat 0.93 peratus berbanding 129 pelajar atau 2.37 peratus pada tahun sebelumnya. Malah, 15 maktab berkenaan mencatatkan gred purata sekolah (GPS) 2.50 ke bawah, iaitu kriteria pemilihan sekolah terbaik bagi kategori SBP, MRSM dan sekolah swasta, berbanding hanya enam yang tersenarai pada 2002.

Bagaimanapun, dalam keghairahan untuk memasuki senarai pencapaian terbaik, ukuran kecemerlangan pelajar dan sekolah tidak harus terkongkong dengan aspek akademik semata-mata.

Berkaitan konteks ini, ada iktibar boleh diambil daripada Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban, yang diumumkan sebagai sekolah terbaik di bawah Kementerian Pendidikan dalam keputusan SPM tahun lalu.

Pengetuanya, Rokiah Alias, pernah memberitahu pemberita bahawa pelajar TKC bukan hanya terbukti mampu cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga serba boleh, termasuk dari segi kegiatan kepemimpinan dan kokurikulum seperti pertandingan debat.

Perkara sama turut ditegaskan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat, ketika mengumumkan keputusan SPM 2003 melalui kata-kata beliau yang penuh bermakna:

“Bagaimanapun dalam usaha untuk memperlihatkan kecemerlangan, kita tidak seharusnya lupa mengenai pendidikan sahsiah supaya pelajar dihasilkan adalah insan syumul yang berupaya untuk mensejahterakan dirinya dan negara.”

Mengenai kecemerlangan, satu lagi aspek yang menarik untuk dianalisis ialah perbandingan pencapaian antara pelajar lelaki dan perempuan bagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

Secara keseluruhan, boleh dirumuskan pelajar perempuan berjaya mengatasi lelaki dari segi peratus calon lulus dan juga cemerlang dalam semua mata pelajaran teras SPM tahun lalu, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains. Malah, bilangan calon perempuan juga melebihi lelaki dalam setiap subjek berkenaan.

Seramai 170,202 pelajar lelaki dan 187,591 perempuan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (169,152 lelaki dan 187,460 perempuan), Pendidikan Islam (110,736 lelaki dan 117,991 perempuan), Pendidikan Moral (55,720 lelaki dan 64,472 perempuan), Sejarah (168,458 lelaki dan 186,951 perempuan), Matematik (169,619 lelaki dan 187,530 perempuan) serta Sains (112,851 lelaki dan 122,437 perempuan).

Hanya 87.0 peratus calon lelaki lulus dan 13.5 peratus memperoleh peringkat cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu, iaitu ketara lebih rendah berbanding 94.4 peratus pelajar perempuan lulus dan 28.0 peratus cemerlang.

Bagi subjek Bahasa Inggeris pula, 61.7 peratus pelajar lelaki lulus dan 8.7 peratus cemerlang berbanding 80.0 peratus calon perempuan lulus dan 11.5 peratus cemerlang; Pendidikan Islam (lelaki - 81.5 peratus lulus dan 10.8 peratus cemerlang, perempuan - 92.9 peratus lulus dan 18.1 peratus cemerlang); Pendidikan Moral (lelaki - 65.6 peratus lulus dan 9.5 peratus cemerlang, perempuan - 81.8 peratus lulus dan 15.8 peratus cemerlang).

Sejarah (lelaki - 60.5 peratus lulus dan 4.7 peratus cemerlang, perempuan - 69.8 peratus lulus dan 5.9 peratus cemerlang); Matematik (lelaki - 70.0 peratus lulus dan 22.1 peratus cemerlang, perempuan - 78.8 peratus lulus dan 27.0 peratus cemerlang); dan Sains (lelaki - 83.1 peratus lulus dan 6.5 peratus cemerlang, perempuan - 91.5 peratus lulus dan 11.6 peratus cemerlang).

Dari segi prestasi mata pelajaran elektif pula, calon perempuan sekali lagi mendahului pencapaian dengan mencatatkan 100 peratus kelulusan dalam 16 subjek, iaitu Pengurusan Makanan; Pengajian Pakaian; Menservis Peralatan Elektrik Domestik; Katering dan Penyajian; Lanskap dan Nurseri; Tanaman Makanan; Pemasangan dan Kawalan Elektrik; Kerja Kimpalan; Menservis dan Membaiki Kenderaan; Kerja Penyejukan dan Penyamanan Udara; Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan; Persolekan dan Mendandan Rambut; Membuat Roti dan Patisserie; Mengasuh dan Membimbing Kanak-kanak; Hortikultur Hiasan dan Lanskap; serta Pengurusan Ladang.

Daripada keseluruhan mata pelajaran terbabit, hanya subjek Pengajian Pakaian; Persolekan dan Mendandan Rambut serta Mengasuh dan Membimbing Kanak-kanak tiada calon lelaki.

Sementara itu, pelajar lelaki hanya mencapai 100 peratus kelulusan dalam 10 mata pelajaran elektif, iaitu Pengajian Agroteknologi; Pengurusan Makanan; Menservis Peralatan Elektrik Domestik; Katering dan Penyajian; Tanaman Makanan; Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan; Teknologi Rekaan Fesyen dan Membuat Pakaian; Rekaan Fesyen dan Membuat Pakaian; Membuat Roti dan Patisserie; serta Hortikultur Hiasan dan Lanskap.

Pelajar perempuan menyamai rekod calon lelaki dalam hampir semua 10 subjek elektif berkenaan, kecuali Pengajian Agroteknologi di mana 98.9 peratus lulus, Teknologi Rekaan Fesyen & Membuat Pakaian (88.0 peratus lulus) serta Rekaan Fesyen & Membuat Pakaian (99.0 peratus).

Sehubungan itu, boleh disimpulkan aliran pencapaian mengikut jantina dalam keputusan SPM tahun lalu itu mungkin sekali lagi akan menyaksikan kemasukan lebih ramai pelajar perempuan ke IPTA berbanding lelaki pada sesi pengambilan 2004/2005 nanti.

Berita Harian, Khamis 4/3/2004

1 comment:

Raf said...

Malangnya tidak akan ada lagi yg akan melebihi 12 A+ kini T_T..

Saya tidak mampu mengambil 10 subjek pon T_T