Thursday, March 04, 2004

SPR kurang publisiti punca ramai tidak daftar

PENDEDAHAN Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa 1.7 juta rakyat yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih ibarat membuka pekung di dada kerana objektif SPR ialah memelihara, mengawasi dan mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di negara ini menerusi pilihan raya yang adil dan saksama.

SPR sepatutnya bertindak proaktif dengan mengadakan kempen pendaftaran pengundi secara agresif setiap tahun menerusi pelbagai media sama ada media cetak atau elektronik.

Pendedahan itu termasuk 1.1 juta orang Melayu yang tidak mendaftar sebagai pemilih menggambarkan kelemahan SPR untuk memenuhi satu daripada piagam pelanggannya iaitu menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan penyemakan daftar pemilih.

Kempen secara agresif menerusi papan tanda yang menarik, iklan berbayar di televisyen atau radio, sistem pesanan ringkas (SMS), laman web dan sebagainya akan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat kepentingan mendaftar sebagai pengundi dan seterusnya keluar membuang undi.

Selama ini, SPR kelihatan mengharapkan ‘iklan percuma’ di akhbar dan televisyen atau radio, iaitu berita dan rencana dengan mengadakan sidang akhbar atau hebahan media.

Pensyarah Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Baharuddin Aziz, berkata SPR seharusnya mengubah paradigma atau kaedah komunikasi dengan memodenkan dan melipatgandakan usaha menggalakkan orang ramai mendaftar dan mengundi.

Beliau berkata, pemerhatiannya menunjukkan SPR tidak berusaha secara gigih untuk merangsangkan semangat rakyat bahawa mengundi ialah proses penting dalam sistem pemerintahan demokrasi seperti di negara ini.

“SPR seolah-olah bergantung kepada orang ramai dengan berharap rakyat sedar menjadi tanggungjawab mereka sebagai warga negara Malaysia untuk mendaftar sebagai pemilih.

“Tetapi, kebanyakan rakyat termasuk penduduk bandar memerlukan rangsangan minda menerusi proses pendidikan secara tidak langsung bahawa pilihan raya mesti diadakan setiap lima tahun dan rakyat yang berumur 21 tahun ke atas layak mengundi.

“Mereka yang layak hendaklah digalakkan mendaftar sebagai pemilih menerusi pelbagai kaedah pengiklanan yang menarik dan mudah diresap dalam pemikiran rakyat.

“Rangsangan begini akan menyedarkan rakyat bahawa mengundi adalah proses yang penting dalam demokrasi dan rakyat berperanan menentukan hala tuju negara,” katanya baru-baru ini.

SPR ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan.

Dr Baharuddin berkata, kajian beliau dan tiga pensyarah fakulti itu pada 1999 menunjukkan pengundi mengambil usaha sendiri untuk menyemak nama mereka dalam daftar pemilih menerusi laman web SPR.

Ini menggambarkan rakyat sudah moden dan berubah dari segi penggunaan teknologi baru, tetapi SPR masih pada takuk lama dalam kaedah berkempen secara konvensional dalam menggalakkan pendaftaran pemilih.

Beliau berkata, kajian ketika pilihan raya ke-10 menggambarkan golongan muda yang berpendidikan lebih tinggi, lebih celik komputer dan mesra internet, lebih cenderung memilih pembangkang.

Beliau berkata, kesimpulan kajiannya menunjukkan individu yang lebih mempercayai bahan yang disiarkan di internet lebih menyebelahi pembangkang, iaitu pakatan barisan alternatif (BA).

“Sebanyak 48.9 peratus daripada 470 responden menandakan dalam soal selidik bahawa mereka mengundi calon BA, manakala 41.5 mengundi Barisan Nasional (BN).

“Ada juga responden yang mengundi kedua-dua pihak, iaitu sebanyak 20 responden mengundi BN dan BA untuk kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

“Daripada 200 responden yang mengundi BA, 41.8 peratus bersetuju internet amat penting manakala 36.8 peratus daripada pengundi BN bersetuju internet penting sebagai saluran maklumat,” katanya.

Dr Baharuddin berkata, Kajian Peranan dan Pengaruh Internet Semasa Pilihan Raya Umum 1999 itu dilakukan terhadap 470 responden, iaitu 285 atau 60.6 peratus lelaki dan 185 atau 39.4 wanita.

Katanya, 207 atau 44.0 peratus daripada responden ialah golongan muda yang berumur 21 hingga 30 tahun, manakala 142 responden atau 30.2 peratus lagi berusia antara 31 hingga 40 tahun. Seramai 72 atau 15.3 peratus responden berusia antara 41 hingga 50 tahun.

Kajian itu dilakukan bersama tiga lagi pensyarah Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi, UiTM, iaitu Abdullah @ Kassim Mohamad, Rahmat Ghazali dan Abdul Rasid Abdul Rahman.

Dr Baharuddin berkata, kajian dijalankan selepas pembubaran Parlimen pada 11 November 1999 di empat kawasan iaitu di utara (Pulau Pinang, Seberang Perai, selatan Kedah dan utara Perak.

Kawasan tengah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan), kawasan selatan (Melaka dan Johor) dan kawasan Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang). Setiap zon dibahagikan kepada bandar, pekan besar dan luar bandar.

Beliau berkata, dari segi kaum, 269 (57.2 peratus) responden Melayu, Cina (134 atau 28.5 peratus), India (10.9 peratus) dan kaum lain (3.4 peratus).

Dari segi pendidikan, 188 responden atau 40.0 peratus lulusan sekolah menengah, universiti (159 responden atau 33.8 peratus) dan kolej/politeknik (19.1 peratus).

“Kajian ini bertujuan melihat penggunaan internet oleh pengundi selepas hari penamaan calon bagi mengetahui persoalan seperti calon yang bertanding, menghantar emel mengenai isu pilihan raya, ‘chat’ isu pilihan raya.

“Kaji selidik juga mempunyai soalan sama ada pengundi menggunakan internet untuk mengetahui khabar angin mengenai calon, melayari laman web yang mengandungi isu politik dan menyemak daftar pemilih di laman web SPR.

“Sebanyak 80.3 peratus responden bersetuju internet adalah satu-satunya saluran atau sumber maklumat yang penting dan hampir separuh responden menyifatkan internet sebagai saluran alternatif penting kepada media utama.

“Kajian ini menunjukkan 46.2 peratus daripada responden menggunakan internet untuk mengikuti isu pilihan raya terutama mengetahui lebih lanjut khabar angin mengenai calon parti yang akan bertanding,” katanya.

Dr Baharuddin berkata, pada 1999, kira-kira 10 peratus penduduk Malaysia menggunakan internet secara aktif dan angka ini akan meningkat tahun demi tahun.

Katanya, AC Nielsen menganggarkan 1.32 juta rakyat Malaysia iaitu golongan aktif yang berumur 15 hingga 60 tahun sebagai pengguna kerap internet.

Beliau berkata, kajiannya menunjukkan ketika pilihan raya 1999, ceramah politik menjadi sumber utama mendapatkan maklumat oleh pengundi, diikuti televisyen, tempat ialah internet dan akhbar di tempat keempat.

Dr Baharuddin berkata, pengundi cenderung untuk melayari internet kerana dari segi kekerapan, lebih separuh (52 peratus) responden menyatakan mereka melayari laman web yang mengandungi isu politik atau isu semasa pada kadar ‘sekali-sekala’.

Kira-kira 30 peratus lagi responden menjawab mereka ‘amat kerap’ dan ‘kerap’ melayari laman web isu politik dan ehwal semasa tanah air.

Lebih menarik, katanya, 51.9 peratus responden ‘agak setuju’ maklumat mengenai isu politik yang disalurkan dalam internet sebagai tepat.

Menurut beliau, menjelang Pilihan Raya Umum 1999, 52 laman web wujud bagi meuar-uarkan isu yang dibawa parti terutama pembangkang dan memberi publisiti mengenai calon yang bertanding.

Laman web itu juga membahaskan hal ehwal semasa, khususnya iklim politik yang diacuankan oleh kemelesetan ekonomi sejak pertengahan 1997

Bagaimanapun, katanya, laman web dijangka kurang popular dalam pilihan raya kali ini berikutan ketandusan isu untuk dibawa pembangkang.

Berita Harian, Khamis 4/3/2004

No comments: