ORANG ada persepsi kononnya menantu Datuk Seri, Khairy Jamaluddin, ada peranan dan pengaruh tersendiri dalam pentadbiran dan keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri?
ABDULLAH: Tidak ada (ketawa).
Dari mana timbulnya persepsi ini?
ABDULLAH: Boleh jadi kerana dia pernah bekerja dengan saya (sebagai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Sulit 2). Apabila bekerja dengan Perdana Menteri ini maklumlah banyak perkara yang dia bantu, beri pandangan dan analisis. Mereka ini semua pun pembantu saya (menunjuk kepada pegawai-pegawainya).
Pandangan dan analisis itu menjadi ramuan yang saya boleh gunakan untuk menjadi dasar atau keputusan saya. Itu memang kerja pembantu Perdana Menteri. Membantu itu memang kerja dia dulu, tidak boleh dielakkan.
Kerja dia membantu bukan macam posmen, ambil surat untuk saya. Dia kena baca, tengok apa permintaan dan beri pandangan.
Mereka ini semuanya berpelajaran. Mereka guna ilmu yang ada pada mereka untuk mencari maklumat, menganalisis dan memberikan cadangan. Persepsi itu tidak betul.
Apa yang saya buat, saya buatlah sendiri. Semasa dia bekerja dengan saya dulu memang begitulah. Memang banyak perkara yang dia perlu halusi sama seperti pegawai-pegawai lain. Cuma dia nampak menonjol kerana dia menantu saya.
Orang kata tidak payahlah ambil menantu. Tetapi yang buat keputusan saya, bukan dia.
Hendak kata dia ada pengaruh, semua orang ada peringkat-peringkat pengaruhnya yang boleh membantu saya. Itu yang agaknya orang kata pengaruh. Sesiapa saja yang bekerja dengan saya akan ada peluang untuk memberikan pandangan. Kalau saya gunakan pandangan itu orang akan kata orang itu berpengaruh. Kalau saya tidak guna, tidak adalah pengaruhnya.
Keputusan akhir tetap pada saya. Khairy tidak lebih seperti pembantu-pembantu saya yang lain. Orang kata Khairy buat itu, buat ini, tidak ada Khairy tidak jadi. Tidak, tidak. Lagipun sudah lama dia tidak bekerja dengan Pejabat Perdana Menteri.
Dia tidak mengganggu tugas Datuk Seri?
ABDULLAH: Dia tidak bodoh untuk mengganggu kerja-kerja saya. Orang telah tidak berlaku adil kepada Khairy.
Adakah Datuk Seri pula terganggu dengan persepsi seperti ini?
ABDULLAH: Apa yang orang hendak kata, saya tidak kisah. Kita sudah jadi ahli politik, macam-macam orang kata. Kalau tidak mahu orang mengata, jangan jadi ahli politik.
Bagaimana Datuk Seri menangani persepsi ini?
ABDULLAH: Ia tidak memberi sebarang kesan. Saya tidak kisah. Kalau saya ambil kisah, saya tidak ada kerja lain. Saya ada banyak kerja depan saya. Saya tidak ada masa kosong untuk duduk memikirkan apa yang orang kata kepada saya.
Persepsi ini sekejap begini, sekejap begitu. Dulu orang kata Pak Lah ini cukup baik tetapi lepas kena (tindakan) mereka kata ``Pak Lah yang baik itu nampaknya bukan baik sangat'' (ketawa).
Saya tidak boleh elak daripada persepsi yang orang sudah lama kenal saya. Orang kata saya lembik dan sebagainya. Saya tak dak masa nak mengeraih (sebutan keras dalam loghat utara dan diselangi gelak ketawa wartawan). Ada masanya perlu berkeras, keraslah.
Apa yang penting saya buat kerja dan setiap apa yang saya buat akan menjadi ukuran orang. Saya tidak boleh terlalu melayan persepsi-persepsi itu.
Mungkin selepas tindakan terhadap Tan Sri Isa persepsi bahawa Datuk Seri seorang yang lembut terhenti?
ABDULLAH: Itulah yang saya dengar orang kata. Itu pun persepsi juga.
Ada juga pihak yang menganggap Datuk Seri lambat menyelesaikan isu-isu dan membuat keputusan (indecisive). Kes perebutan saham DRB-Hicom Bhd. serta isu Proton Holdings Bhd. misalnya.
ABDULLAH: Ada perkara yang patut saya selesaikan dan ada yang saya anggap (Proton) adalah tanggungjawab Lembaga Pengarah yang saya tidak perlu campur tangan, sama juga dahulu dengan isu DRB-Hicom.
Saya mula-mula hendak selesaikan tetapi saya diberitahu bahawa ia bukan bidang saya dan dinasihatkan jangan campur tangan. Campur tangan bukan sesuatu yang orang akan anggap sebagai baik.
Tetapi apabila pihak mereka sendiri datang berjumpa saya, minta saya menyelesaikannya, saya tidak boleh kata tidak boleh. Itu yang berlaku.
Tetapi kalau setiap kali berlaku masalah, setiap kali itu saya campur tangan, nanti Lembaga Pengarah tidak ada peranan, Ketua Pegawai Eksekutif tidak ada peranan. Mereka nanti hendak buat apa?
Mungkin bagus kalau sekali -sekala Datuk Seri buat kejutan?
ABDULLAH: Macam mana saya hendak buat kejutan? Saya tidak boleh cari apa isu yang saya hendak kejutkan orang.
Utusan malaysia: 17/7/2005
Sunday, July 17, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment