Oleh: AZIZ ISHAK
Selepas kejayaan besar pada pilihan raya umum 2004 dan kelancaran peralihan kepimpinan, UMNO berdepan dengan senarai permasalahan dan cabaran yang kian rumit terutamanya gejala politik rasuah.
Pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tahun lalu menyaksikan fenomena rasuah politik parti itu yang lebih ketara dan cukup membimbangkan.
Maka kesannya tidak dapat lari daripada menjadi perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO 2005, minggu depan. Lebih-lebih lagi selepas salah seorang Naib Presiden, Tan Sri Mohamad Isa Samad, didapati bersalah atas tuduhan politik rasuah.
Buat pertama kali dalam sejarah UMNO seorang pemimpin sekanan itu dikenakan tindakan, boleh dilihat sebagai mesej bermulanya gelombang baru proses pembersihan parti selepas ini.
Meskipun hukuman terhadap Isa mengundang kritikan daripada sebahagian ahli yang mendakwa berlaku amalan tindakan yang selektif, ia adalah cerminan kesungguhan, keberanian dan harapan baru kepada usaha melawan gejala tersebut.
Ini bukan soal Isa semata-mata atau mana-mana individu sekalipun. Ia adalah soal lebih besar iaitu sejauh mana UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mampu memberi impak kepada usaha menangani rasuah politik, yang mencetuskan krisis imej kepada parti itu.
Perkara yang menarik untuk dilihat pada perhimpunan kali ini ialah reaksi dan sentimen para perwakilan serta pemerhati terhadap tindakan tersebut.
Apabila diajukan soalan ini kepada Presiden Yayasan Kajian Strategik Melayu, Datuk Dr. Radzi Abdul Latif, beliau yakin ahli UMNO keseluruhannya termasuk para perwakilan akan menyokong pucuk pim-pinan.
``Presiden UMNO sudah seharusnya mendapat standing ovation (tepukan sambil berdiri) daripada perwakilan selain deklarasi untuk menyokong usaha memerangi rasuah politik habis-habisan,'' katanya dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia.
Pada Dr. Radzi, beliau tidak nampak akan ada sebarang penentangan kepada pimpinan isu tersebut walaupun aspek tertentu seperti mekanisme pemilihan dan kaedah penguatkuasaan lebih berkesan, dijangka dibahaskan.
Dengan kata lain, jika ada sedikit pun percikan penentangan, kuasa baik yang ada dalam jiwa majoriti perwakilan secara rasional akan bangkit mempertahankan usaha Presiden.
Perhimpunan Agung UMNO ini merupakan yang kedua bagi Abdullah sebagai Presiden. Lebih 2,531 perwakilan dijadualkan menghadiri perhimpunan tersebut, yang seperti biasa akan menjadi tumpuan seluruh negara.
Meskipun tiada pemilihan, perhimpunan ke-59 ini tetap menjanjikan tarikan tersendiri dari segi pelbagai isu mahupun penampilan Abdullah, timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan MT dalam berdepan dengan penilaian perwakilan.
Selain isu rasuah politik, soal agenda Melayu akan menjadi tumpuan kerana semakin banyak suara yang mahu parti itu lebih ke hadapan dari segi peranan parti selain sebagai kerajaan.
Antara yang hangat diperkatakan ialah soal dana pendidikan pelajar Melayu; lebih banyak peluang ke institut pengajian tinggi awam (IPTA); permasalahan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) Melayu; isu meritokrasi serta pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang dikhuatiri meminggirkan lagi pelajar Melayu khususnya di luar bandar.
Begitu juga dengan gesaan memasukkan kembali komponen penting Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Selain itu, isu keluhan ramai kontraktor Melayu terhadap agihan kontrak dan kebimbangan terhadap tuntutan-tuntutan parti kaum lain termasuk dalam Barisan Nasional (BN).
Sudah tentu juga perhimpunan tersebut akan memberi kesempatan terbaik kepada Abdullah dan Najib untuk memberikan perspektif dan gambaran jelas terhadap isu-isu berkaitan di samping soal menangani `penyakit' sebahagian ahli dan orang Melayu.
Ini meliputi kegagalan untuk berubah sikap yang selari dengan kemajuan, mentaliti subsidi, kecenderungan mengalibabakan tender bumiputera, semangat kekeluargaan yang luntur dalam parti, amalan politik wang dan `budaya tidak serius'.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berharap perhimpunan kali ini akan mencetuskan perubahan kepada usaha memperkasakan parti.
Sebab itu, beliau mahu jurucakap dan pembahas mengambil kesempatan sepenuhnya mengupas dan memberi input yang segar dalam membahaskan sesuatu dasar.
``Ia adalah platform terbaik kepada ahli-ahli dan perwakilan untuk membahaskan sesuatu dasar sebelum ia menjadi dasar kerajaan,'' katanya sambil meminta perwakilan merujuk ucapan Allahyarham Tun Abdul Razak selepas membentuk kerajaan baru bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman.
Tun Razak antara lain berkata: ``kerajaan ini adalah didukung oleh UMNO. Kepada UMNOlah saya serah tanggungjawab kerajaan ini supaya UMNO dapat menentukan corak kerajaan yang hendak ditubuhkan.''
Dalam hubungan ini, kata Dr. Puad, kerajaan yang sepatutnya mengikut kehendak dan hasrat UMNO sendiri. ``Kita mahu semangat itu balik. Jangan nanti sesuatu dasar yang kita buat baru dibawa dalam UMNO sedangkan ia sudah menjadi (dasar). Ini boleh menimbulkan implikasi kepada masa depan Melayu,'' katanya.
Beliau memberikan contoh isu meritokrasi. Maknanya jika ia dibahaskan lebih awal pada Perhimpunan Agung UMNO, apa pun keputusannya nanti akan diterima sebagai keputusan bersama yang apa sekalipun implikasinya, akan dipikul secara kolektif.
Atas kesedaran bahawa UMNO sebagai parti yang menjadi sandaran masyarakat Melayu dan bagi menghargai sokongan besar pada pilihan raya umum lalu, para perwakilan sememangnya perlu tampil lebih dinamik dan kritis. Mereka tidak boleh lagi retorik dan asyik memuji berlebihan para pemimpin, meskipun banyak usaha pimpinan UMNO kini sememangnya cukup dihargai.
Sebagai parti tunjang orang Melayu yang berdepan dengan cabaran lebih kompleks pada era globalisasi, para perwakilan perlu mengasak perubahan dan bersama-sama menggerakkan proses pemulihan dalam parti.
Parti politik yang berani dan kelihatan sanggup melakukan pembetulan dan pemulihan sepanjang masa terutama menentang kemungkaran dan jenayah politik, akan lebih mampu menjamin kelangsungan.
UMNO mesti meneruskan orientasi kecemerlangan untuk memenuhi matlamat asal penubuhannya iaitu `memaju dan memperbaiki keadaan orang Melayu'. Jangan lupa masih ramai orang Melayu yang hidup dalam kemiskinan sama ada di luar bandar mahupun bandar - meskipun kerajaan pimpinan UMNO diiktiraf mencatat prestasi paling baik di dunia dalam membasmi kemiskinan.
Atas sebab itu, perhimpunan itu nanti mesti menjadi seumpama makmal forensik untuk `memeriksa' pencapaian pimpinan parti termasuk biro-biro MT sama ada ia berkesan atau lebih sekadar kosmetik.
Ini merangkumi pencapaian Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, dengan persoalan - cukupkah sekadar apa yang dilakukan setakat ini?
Bagi Ketua Puteri UMNO Tanah Merah, Rafidah Ariffin, perhimpunan kali ini seharusnya menjadi pentas lebih realistik dalam menangani cabaran parti dan umat Melayu keseluruhannya.
``Jika kita dilihat sebagai lebih kosmetik maka kita perlu lebih berorientasikan penghayatan dan tindakan.
``Secara peribadi, saya melihat ada ruang untuk kita semua lebih terbuka demi kebaikan agama, bangsa dan negara,'' katanya sambil mengaitkan aliran Pas yang semakin menampakkan keterbukaan.
Katanya, Pas yang kian banyak meniru serta menyerap pendekatan dan pemikiran UMNO tidak harus diambil mudah kerana parti itu akan dapat menawan semula hati ramai orang Melayu jika UMNO kelihatan kalut, rakus dan gagal membawa aspirasi rakyat.
Bagi Dr. Radzi isu yang lebih mengganggu beliau ialah soal agenda Melayu. Lalu beliau mengharapkan semangat dan agenda Melayu dapat diperkasakan pada perhimpunan kali ini.
``Semangat Melayu kini semakin hilang terutama di kalangan golongan Melayu yang berada dan warga muda. Pada saya perlu ada rancangan besar-besaran untuk menyemarakkan semangat Melayu,'' katanya.
Presiden Kongres Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Daud dan Ketua Pengarah Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Saidun, turut sependapat dengan Dr. Radzi. ``Ramai pelajar Melayu yang memerlukan bantuan,'' kata Dr. Abdul Rahman.
Kata Dr. Ibrahim pula: ``Kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk terus mengatasi kemiskinan Melayu kerana mereka adalah aset dan penentu kuasa politik.''
Ketika UMNO didakwa agak dingin kebelakangan ini dalam melonjakkan agenda Melayu, terus ada percubaan dari semasa ke semasa untuk mencabar kontrak sosial termasuk hak keistimewaan Melayu.
Parti-parti politik dan badan pertubuhan Cina juga secara terang-terang menuntut bermacam-macam lagi antaranya guru lebih ramai dan peruntukan lebih besar bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Mujur ada keberanian di kalangan beberapa pemimpin muda UMNO termasuk Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin membantah tuntutan sedemikian.
Dalam kaitan ini, Radzi menarik perhatian jika ada hujah berkaitan sumbangan ekonomi daripada masyarakat Cina untuk mewajarkan cubaan sedemikian, ia belum dapat menyamai pengorbanan masyarakat Melayu.
``Masih ramai orang Melayu terutama di luar bandar yang belum menerima rahmat kemakmuran ekonomi negara. Disebabkan orang Melayu kurang membuat tuntutan kerana merasakan UMNO itu kerajaan, apakah masyarakat Melayu perlu tercicir?'' tanya Radzi.
Pun begitu, Radzi menolak andaian bahawa agenda Melayu di bawah kepimpinan Abdullah kini lesu. Beliau mengulas dengan analoginya: ``Lebih baik mengambil pendekatan bertani daripada menggunakan pendekatan berburu. Cara bertani, sasaran diperoleh secara pasti dan harmoni sementara berburu, belum tentu dapat sasaran dan kalau dapat biasanya membawa kerosakan.''
Apa pun, mana-mana pemimpin Melayu tidak harus bimbang untuk bercakap dan bertindak lebih dalam soal agenda Melayu. Ini kerana Melayu sebagai kaum teras yang lebih berjaya, akan turut menyumbang kepada keselamatan sosioekonomi nasional jangka panjang.
Lagipun, masyarakat Melayu yang lebih kuat dan berjaya bukan ancaman kepada kaum lain, yang telah dibuktikan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Utusan Malaysia: 17/7/2005
Sunday, July 17, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment