Sunday, July 17, 2005

Kita tidak serius berubah

MukadimahKAMI tiba awal di kediaman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya sekitar pukul 6 petang, Rabu lalu. Beliau masih belum tiba dari pejabatnya. Hari itu, jadual tugasnya terlalu sibuk. Sebelah pagi beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet, petangnya mempengerusikan pula mesyuarat pasca-Kabinet dan menerima kunjungan beberapa tetamu.
Setibanya di kediaman kira-kira pukul 6.40 petang, dari jauh suaranya sudah kedengaran - begitu ceria. Beliau kelihatan segar, tiada tanda-tanda keletihan. Abdullah gembira melihat kami yang sudah berada di satu ruang di dalam rumahnya. Selepas bersalaman, beliau membawa kami ke satu sudut di luar rumah itu. Kolam ikan koi yang amat diminatinya. Sambil memetik jarinya ikan-ikan berwarna oren, putih, krim itu menerpa laju ke arahnya - seperti sudah tahu tuannya Perdana Menteri Malaysia sudah pulang.

Beliau kemudian meminta diri untuk menyalin baju sebelum menyertai kami minum petang. Juadahnya berupa pisang goreng, wajik atau pulut kacau berperasa durian, keropok lekor dan martabak. Matanya kelihatan mencari-cari sesuatu di atas meja itu. Tiba-tiba beliau bangun - menuju ke dapur, suaranya kedengaran bertanya ``mana madu Pak Lah''.

``Madu ini cukup istimewa cuba rasa tengok,'' mempelawa kami merasa madu dari Turki itu.
Madu itu dicicahnya dengan pisang goreng, sungguh menyelerakan.

Di meja makan beliau kelihatan begitu relaks dan ramah. Bercerita pelbagai perkara - dari soal politik wang sehinggalah kepada lambakan buah durian di pasaran sekarang.

``Kita kena kreatif dan saintifik sikit, buah-buah durian ni boleh dibuat macam-macam - dari lempuk, serbuk perasa makanan, aiskrim, seri kaya - semuanya boleh dieksport. Itulah yang saya buat semasa memegang Koperasi Belia Nasional (Kobena) dulu, kami dapat jual buah manggis ke Jepun dengan harga yang tinggi.''

Selepas bersolat maghrib, barulah kami - Khalid Mohd., Aziz Ishak, Zaini Hassan, Noor Azam Shairi dan Mohd. Asuki Abas memulakan wawancara eksklusif dengannya yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO, 19-23 Julai ini.

Beliau menjawab satu per satu soalan dengan tenang. Jawapannya mendalam, terperinci - merangkumi pelbagai isu semasa. Walaupun ada soalan yang keras, sinikal - beliau menggarapnya dengan baik.

``Saya tidak boleh elak daripada persepsi. Orang kata saya lembik dan sebagainya.

``Saya tak dak masa nak mengeraih (disebut dalam loghat utara dan diselangi gelak ketawa wartawan). Ada masanya perlu berkeras, keraslah,'' katanya.

Ditanya mengenai menantunya, Khairy Jamaluddin yang disebut-sebut sesetengah pihak mempengaruhi keputusan yang dibuatnya, beliau dengan tegas berkata:

``Dia tidak bodoh untuk mengganggu tugas-tugas saya.''

Sepanjang wawancara bermula pukul 8 sehingga 10.30 malam itu, Abdullah terus kelihatan segar. Semasa mengiringi kami keluar dari rumahnya, rupa-rupanya jadualnya belum berakhir.
Di luar rumah beberapa pegawai kerajaan yang mengepit fail masih menunggu untuk bertemunya.

Tugas rasmi beliau belum selesai - walaupun sudah pulang ke rumah.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri menilai tempoh setahun menjadi Presiden parti?

ABDULLAH: Dalam tempoh setahun ini saya berasa tugas yang saya pikul itu bukan sahaja satu amanah yang besar, tetapi sebenarnya cukup berat. Saya juga berhadapan dengan isu-isu besar yang ada hubung kait dengan parti yang perlu diberikan perhatian.
Apakah isu-isu itu?

ABDULLAH: Isu yang pertama tentunya politik wang dalam parti. Isu kedua ialah agenda Melayu dan ketiga, bagaimana perjuangan parti itu hendak diterjemahkan menjadi tindakan.
Kalau UMNO tidak berkuasa, tidak ada dalam kerajaan dan tidak ada kuasa politik, UMNO tidak akan dapat menjayakan matlamat perjuangannya. Matlamat perjuangan UMNO akan tercapai melalui tindakan-tindakan kerajaan yang UMNO pimpin.

Saya juga melihat hubung kait UMNO dengan generasi muda sebagai satu cabaran yang penting. UMNO tidak boleh jadi parti yang berjaya tanpa adanya sokongan yang kuat dan penyertaan ramai daripada anak-anak muda.

Adakah isu-isu ini memberikan tekanan kepada Datuk Seri?

ABDULLAH: Sebenarnya isu-isu seperti ini bukanlah menyusahkan saya sehingga tidak boleh tidur. Walaupun cabaran besar, saya bertambah segar. Tetapi saya memahami sekiranya saya tidak berjaya saya akan jadi sangat kecewa.

Saya juga memahami cabaran-cabaran ini dan tindakan yang perlu diambil bukanlah boleh dilihat hasil dan kesannya dalam masa yang singkat. Kadang-kadang orang tidak sanggup menunggu lama untuk melihat hasil kejayaan yang diusahakan.

Kalau kita lihat sikap ahli-ahli UMNO, ia tidak ada banyak berbeza dengan sikap orang Melayu yang lain - sejauh mana kita memberikan keutamaan kepada perkara-perkara yang akan membawa kemajuan.

Ini satu cabaran yang agak sukar. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya yang orang tidak akan lupa iaitu semasa mengumumkan peletakan jawatannya meminta maaf kerana tidak dapat mengubah sikap orang Melayu.

Gunung boleh kita cangkul jadi rata; kalau tiada cangkul kita pakai jentolak. Tetapi untuk membetulkan manusia, hendak menghilangkan sikap-sikap negatif dan mengubahnya menjadi positif, tidak semudah seperti hendak meratakan gunung.

Apakah cabaran yang paling besar dalam hendak membawa perubahan yang Datuk Seri cita-citakan, mengubah UMNO dan orang Melayu?

ABDULLAH: Kepada saya, ia mesti bermula dengan diri kita sendiri berasaskan kepada tiga prinsip yang mesti ada dalam diri kita kalau kita mahu berubah. Tiga prinsip inilah yang sentiasa saya tekankan dalam masa tiga bulan kebelakangan ini.

Pertama, kita mesti serius. Betul-betul serius dalam erti kata kita memahami perjalanan parti. Kita jaga parti betul-betul supaya tidak terkorban, tidak jadi masalah angkara kita sendiri.

Kita mesti memahami matlamat parti dan perlembagaannya, sejarah dan perjuangannya. Kita mesti sedar apa yang diharapkan daripada kita, peranan yang perlu dilaksanakan, tanggungjawab yang diamanahkan. Kita mesti jadi orang yang serius, tidak boleh main-main, acuh tak acuh, endah tak endah.

Kedua, kita mesti mempunyai sikap prihatin dan penyayang. Kalau kita ada perasaan ini kita akan dapat mencetuskan satu tindakan untuk membantu golongan yang memerlukan. Kita akan menghulurkan bantuan kerana kita prihatin dan penyayang.

Kita mesti ada sikap mahu ambil tahu. Ambil tahu ini bukan maknanya semua rahsia orang kita hendak korek. Ambil tahu ertinya prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang hendak kita pimpin itu. Kita mesti buat semua ini dengan penuh rasa kasih sayang kepada bangsa dan sesama ahli parti yang bersaudara dalam perjuangan.

Apabila ada perasaan ini saya percaya akan lahir rasa persaudaraan dan kekeluargaan dalam UMNO. Hubungan kita akan jadi lebih mesra; kita tidak akan jadi golongan yang tidak kenal orang, kalau kenal pun tidak mesra. Kita mesti jadi ahli parti yang akrab kerana kita memikul satu perjuangan yang sama, mesti tolong-menolong.

Ketiga, kita mesti bersifat adil dan saksama. Ini sangat penting. Inilah yang mesti menjadi inti pati bagi segala tindakan kita. Kalau manusia tidak ada keadilan dan kesaksamaan dalam dirinya dia akan ada banyak kekurangan, tidak boleh jadi pemimpin.

Setelah setahun menjadi Presiden UMNO, pemimpin utama orang Melayu, adakah Datuk Seri lihat ciri-ciri itu ada pada orang Melayu?

ABDULLAH: Saya lihat ada juga pemimpin atau ahli UMNO yang memang serius dengan kerja-kerja mereka, tetapi ada juga yang tidak begitu serius. Mereka ini tidak serius, misalnya, dalam memerangi politik wang.

Kita sudah jenuh bercakap tentang keburukan politik wang. Jika dibiarkan, suatu hari nanti parti boleh tergadai. Cerita itu semua orang sudah tahu tetapi hendak melaksanakannya cukup susah.

Apabila kita sudah bertindak macam-macam pula komen yang diberikan, kata ``tidak patut, kasihan, fikirlah dia orang lama.'' Mereka juga mempersoalkan Lembaga Disiplin yang dikatakan tidak adil dan berbagai-bagai andaian lagi.

Itu dalam UMNO, kalau sebagai orang Melayu - tentang keinginan kita menjadi sebuah bangsa yang maju dalam ekonomi - lain pula. Berapa orang yang benar-benar berusaha bersungguh-sungguh untuk maju dalam ekonomi, kalau kita ambil kira yang bocor dan tiris?

Kita beri lesen tetapi berapa orang benar-benar menggunakan lesen itu untuk berniaga, baik pun lesen kelas F, lesen berniaga di pasar, saham atau kontrak bina bangunan dan jalan raya. Kita tidak serius dan beri kepada orang lain.

Kalau kita serius dalam hal berkaitan dengan ekonomi saya percaya kedudukan kita hari ini akan jadi lebih baik, lebih tinggi daripada pencapaian 18 peratus sekarang, tetapi kita tidak serius. Hari ini diberi tanah, esok jual kepada orang; hari ini dapat lesen, esok dijaja lesen itu.
Habis macam mana?

Perkara-perkara ini berlaku sekarang. Saya tidak mahu berselindung, hanya bercakap untuk menyedapkan hati. Kita bercakap perkara yang benar. Saudara tahu, saya tahu, orang lain pun tahu, cuma orang tidak mahu bercakap. Ini hakikat yang berlaku.

Apakah kita boleh membuat kesimpulan bahawa perubahan sukar dibawa ke dalam UMNO kerana orang UMNO tidak mahu berubah? Mereka selesa dengan keadaan sekarang - dapat kontrak beri kepada orang. UMNO dan orang Melayu cukup selesa, tidak mahu berubah datanglah pemimpin mana pun. Adakah Datuk Seri setuju dengan kesimpulan ini?

ABDULLAH: Itu bukan satu kesimpulan menyeluruh yang boleh diterima. Walaupun tidak semua orang begitu, tetapi bilangannya agak besar dan membimbangkan.

Kita berjuang mahukan kemajuan, meningkatkan penyertaan orang Melayu dalam ekonomi, tetapi kita terus juga menghadapi masalah ini. Saya telah diingatkan beberapa kali bahawa saya akan gagal kerana perkara yang cukup sukar diubah ialah UMNO. Mereka kata, bolehkah saya mendapatkan sokongan daripada UMNO untuk melakukan perubahan yang saya cita-citakan? Mereka ragu UMNO akan menyokong cita-cita saya.

Saya rasa terhina dengan pandangan mereka itu. Terhina bukan kerana (ia ditujukan kepada) diri saya, tetapi kerana andaian mereka terhadap UMNO.

Betul atau salah andaian itu?

ABDULLAH: Mereka mesti ada alasan-alasan yang kuat untuk berkata begitu. UMNO sudah jadi satu establishment yang begitu besar, sudah berakar umbi. Bagaimana hendak mengubahnya?

Ini adalah satu cabaran kepada Datuk Seri. Apakah `batu ajaib' yang ada pada Datuk Seri untuk mengubah sikap orang Melayu?

ABDULLAH: Saya tidak mahu cakap tentang hal-hal ajaib. Saya sayang UMNO. Saya anak jati UMNO. Kalau diibaratkan saya ini pokok, saya tumbuh daripada benih UMNO, bukan pokok tut.

Saya akan buat apa yang terdaya. Perkara ajaib-ajaib ini saya tidak tahu. Tetapi saya banyak berdoa, dan saya juga berusaha. Saya berdoa saya berusaha, saya berdoa saya berusaha. Ada kadang-kadang jadi, kadang-kadang tidak jadi.

Kalau UMNO hendak memimpin bangsa Melayu sehingga tercapai matlamat kita menjadikan bukan sahaja negara ini maju, tetapi orang Melayu juga maju, banyak perkara yang perlu kita lakukan. Kita perlu bermuhasabah sesama kita.

Apakah kita hendak teruskan dengan cara lama atau sudah bersedia membuat perubahan-perubahan untuk kebaikan? Kalau kita hendak mengulang cara lama, pada hemat saya, mungkin saya salah, kita tidak akan mencapai cita-cita yang kita hajatkan.

Dunia hari ini ialah dunia abad baru. Generasi baru sudah muncul. Jiwa mereka dibentuk dalam suasana baru, dengan aspirasi baru. Dengan adanya kemajuan-kemajuan yang ada pada hari ini, generasi Melayu abad baru ini lebih mengetahui masalah dunia dan cabaran-cabarannya. Kita tidak boleh memencilkan diri daripada apa yang sedang berlaku dalam dunia sekarang. Kita tidak boleh lagi meminta layanan istimewa dalam saingan antarabangsa.

Sekiranya kita memahami keadaan ini, kita akan ada dorongan yang menjadi paksaan untuk kita berubah.

Dalam hendak menjayakan perubahan yang rumit ini, ada yang merasakan gaya kepimpinan Datuk Seri perlu lebih keras lagi.

ABDULLAH: Saya tidak tahulah. Keras, lembut atau persuasive hanyalah cara. Apa yang kita hendak lihat ialah substance, inti pati tindakan yang mesti adil dan saksama.

Inti patinya mesti serius dan melambangkan kita benar-benar prihatin, memahami apa yang dilihat di depan mata dan memandang jauh ke hadapan. Kalau kita dapat merasainya kita akan dapat melakukannya dengan penuh perasaan dan iltizam, yang akan membawa kita kepada langkah-langkah yang akan menemukan kita dengan kejayaan.

Apa yang lebih penting kepada saya ialah tegas. Saya serius dan tegas yang berlandaskan kepada pemahaman mendalam terhadap masalah yang dihadapi dan cabaran akan datang.
Utusan Malaysia: 17/7/2005

No comments: