Sunday, July 17, 2005

Di Luar Lingkaran: Penghakisan kuasa politik Melayu di bandar

Bersama Johan Jaaffarzulujj@tm.net.my

KONVENSYEN Umno Selangor, baru-baru ini memilih tema proses perbandaran atau urbanisasi ke atas orang Melayu. Meminjam kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasmikan konvensyen itu, tidak ada negeri di Malaysia yang lebih berhak bercakap mengenai perbandaran melainkan Selangor.Negeri itu mencatatkan kadar perbandaran tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yakni 92.7 peratus pada 2005. Kadar ini jauh lebih tinggi daripada Malaysia sendiri yang mencatatkan 62 peratus penduduk bandar masa kini.Daripada lebih 4.7 juta rakyat negeri Selangor berdasarkan perangkaan 2004, kurang daripada lapan peratus yang boleh dianggap penduduk luar bandar.

Proses perbandaran ini berlaku dengan pesat mulai awal tahun 90-an. Pada waktu itu hanya 75.2 peratus rakyat Selangor tinggal di bandar, jumlah itu menjadi 87.6 peratus pada 2000.Sebagai bandingan, pada 1970 jumlah penduduk bandar di Selangor hanya 26.2 peratus sementara pada 1980 menjadi 34.2 peratus.Berdasarkan angka tahun 2000, ada empat daerah mencatat peratusan penduduk bandar melebihi 90 peratus, yakni Gombak (99.1), Klang (97.3), Hulu Langat (97) dan tentunya Petaling yang mencatatkan bilangan penduduk teramai dengan 1.1 juta yang 100 peratus penduduknya warga bandar.Lima daerah yang mencatatkan bilangan penduduk luar bandar yang tinggi ialah Kuala Selangor (61.6 peratus), Hulu Selangor (59.5 peratus), Kuala Langat dan Sabak Bernam (masing-masing 56.4 peratus) dan Sepang (55.5 peratus). Dari segi kadar pertumbuhan purata tahunan penduduk, mengambil kira tahun 1991 hingga 2000, ada penurunan peratus penduduk luar bandar di semua daerah, kecuali Kuala Langat yang mencatatkan peningkatan kecil 1.68 peratus. Penurunan bilangan penduduk luar bandar paling dramatik berlaku di Gombak dalam tempoh itu, yakni 19 peratus sementara Klang menurun 8.9 peratus dan Hulu Langat 7.5 peratus. Dari segi taburan penduduk mengikut bangsa, berdasarkan angka tahun 2000, Bumiputera mewakili 53.8 peratus penduduk, Cina 30.7 peratus dan kaum India 14.6 peratus, selebihnya bukan warga negara. Dari segi kadar pertumbuhan purata tahunan penduduk, Bumiputera mencatatkan peningkatan 7.6 peratus, kaum Cina 5.2 peratus dan kaum India 4.4. peratus.Proses perbandaran mempunyai implikasi yang besar pada kuasa politik Melayu, itulah yang dihujahkan oleh Datuk Salamon Selamat dalam kertas kerjanya pada konvensyen itu. Kertas itu berjudul “Proses Perbandaran Di Selangor: Isu dan Kesannya Kepada Geopolitik Melayu.” Kertas itu adalah salah satu daripada tiga kertas mengenai kesan perbandaran ke atas orang Melayu Selangor, dua yang lain mengenai implikasi ekonomi dan sosial.

Bangkitkan kerisauan

  • Proses perbandaran menambah bilangan penduduk di Lembah Kelang, secara dramatik tetapi peratus bukan Melayu bertambah dengan pesatnya terutama di Petaling dan Klang dan hanya di tiga daerah yakni Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang mencatatkan majoriti bilangan penduduk Melayu yang melebihi 65 peratus.

  • Peningkatan bilangan bukan Melayu lebih menonjol di kawasan pertumbuhan dan pembangunan baru, di mana tanah-tanah milik swasta adalah hak milik bebas.


Hanya di kawasan pembangunan bekas milik kerajaan dan di kawasan yang dimajukan oleh agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang majoriti penghuninya Melayu, tetapi tanah-tanah ini di bawah hak milik pajakan.Keadaan ini membangkitkan kerisauan mengenai terhakisnya kuasa politik Melayu di bandar.


Apa yang berlaku ialah:

Dalam keadaan sedemikian, sekiranya berterusan dan tanpa kawalan, parti dominan orang Melayu (Umno) tidak boleh secara bersendirian mengekalkan kuasa di Selangor satu masa nanti.
Peratus undi Melayu berkurang di bandar-bandar.
Banyak kawasan yang sebenarnya akan menjadi kawasan majoriti bukan Melayu walaupun pada masa ini kawasan itu majoriti Melayu. Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik misalnya mencatatkan majoriti pengundi Melayu lebih 64 peratus, tetapi masih ada hampir 60 peratus kawasan yang belum dimajukan, dan besar kemungkinan kawasan seperti ini akan menambah bilangan penduduk bukan Melayu masa depan. Pola ini berulang di banyak kawasan yang lain.Memang benar akibat dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah melahirkan bukan saja generasi usahawan dan ahli perniagaan tetapi juga kelompok profesional dan kelas menengah Melayu yang bertambah.Tetapi peningkatan bilangan penduduk Melayu bandar ada masalah yang tersendiri:
Banyak orang Melayu bandar yang semakin “apolitical” – tidak berminat pada politik, kelompok ini tidak menjadi pemilih dan hidup dalam kepompong keselesaan masing-masing.
Banyak daripada mereka yang terungkai dari akar tradisi bangsa lalu tidak merasakan ada kaitan dengan “agenda Melayu” yang lebih luas.
Ada juga dari kalangan ini yang menggunakan keyakinan baru hasil kejayaan mereka sendiri untuk mengukur kaum mereka. Orang Melayu bagi sesetengah daripada mereka, tidak harus dibantu lagi.
Kelompok ini juga lebih bersedia untuk menjadi terbuka, transparen dan cenderung anti-establishment.
Tidak seperti sewaktu kerajaan melancarkan DEB pada tahun 1970, orang Melayu hari ini rata-rata tidak “disatukan” oleh “keperluan” seperti ancaman kaum lain dan kelemahan ekonomi. Kita harus ingat, makna sebenar kuasa politik Melayu, terutama di bandar. Apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 1969 sepatutnya dijadikan iktibar. Pada tahun itu, Perikatan hanya menang 14 kerusi DUN, sama banyaknya dengan pembangkang. Umno bagaimanapun hanya kalah di satu DUN tetapi MCA tewas di 11 daripada 12 DUN yang ditandinginya sementara MIC hanya menang 1 daripada dua DUN. DAP menang lapan daripadai 12 DUN sementara Parti Gerakan menang empat daripada lapan kawasan DUN yang ditandinginya. Kita tahu apa yang berlaku pada 1969. Kerajaan negeri tidak boleh ditubuhkan. Hanya dengan melompatnya Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rawang, calon Bebas Lim Tuan Siong (yang mengalahkan calon Perikatan, Shim Kim Siang dan calon Pas, Ibrahim Mat Saman) ke Perikatan, baru kerajaan negeri dapat dibentuk.Peristiwa ini memberikan kesan yang berpanjangan pada Umno dan negara ini khususnya. Pembangunan kawasan pertumbuhan baru sebelum 1969 tidak mengambil kira realiti politik dan sensitiviti orang Melayu. Maka itu sebelum wujudnya PKNS, orang Melayu tersisih dari kawasan penempatan utama dan kegiatan ekonomi arus perdana di bandar. Tanpa sistem kuota kependudukan di kawasan pertumbuhan baru, ketidakseimbangan kaum akan berlaku. Malah hari ini pun, banyak kawasan perumahan mewah dan relatif mewah tidak menarik orang Melayu. Secara mudah, tanpa perancangan strategik, campur tangan dan lebih penting lagi political will, perbandaran akan hanya bermakna kemajuan dan pertumbuhan pesat ekonomi. Tetapi kesan dan implikasinya pada geopolitik Melayu harus juga diambilkira.Memang benar, matlamat akhir kependudukan Melayu di bandar bukan semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik Umno atau Barisan Nasional (BN). Tambahan pula, formula “kongsi kuasa” BN ternyata membuahkan kejayaan dan kestabilan politik selama ini. Tetapi hakikat yang tidak boleh dipandang ringan ialah kedudukan orang Melayu di bandar sendiri. Kita tidak mahu kualiti hidup orang Melayu terjejas. Kita inginkan dispariti pendapatan menjarakkan di antara orang Melayu dan bukan Melayu di bandar. Kita juga tidak mahu “wajah” bandar kita tidak menggambarkan realiti keunikan rakyat pelbagai kaum di negara ini.Lebih penting lagi bagi Umno, tanpa sokongan Melayu dan kekuatan ekonomi Melayu, kawasan bandar akan hanya menjadi satu lagi kawasan yang tidak mesra dan asing. Kuasa politik Melayu juga harus berpaksi di bandar. Dan mengambil kira bahawa lebih banyak rakyat negara ini akan menjadi penduduk bandar, realiti kuasa politik Melayu masa depan harus juga diambilkira.Maka itu Selangor patut dijadikan kayu ukur cabaran, ancaman dan harapan masa depan kuasa politik Melayu di bandar.FAKTA
Peratus bukan Melayu bertambah dengan pesatnya terutama di Petaling dan Klang dan hanya di tiga daerah – Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang mencatatkan majoriti bilangan penduduk Melayu yang melebihi 65 peratus.
Peningkatan bilangan bukan Melayu lebih menonjol di kawasan pertumbuhan dan pembangunan baru, di mana tanah-tanah milik swasta adalah hak milik bebas.
Hanya di kawasan pembangunan bekas milik kerajaan dan di kawasan yang dimajukan oleh agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang majoriti penghuninya Melayu, tetapi tanah-tanah ini di bawah hak milik pajakan.

Berita Minggu: 17/7/2005

No comments: