Saturday, June 18, 2005

Imigran gali `kekayaan' negara

Pendapat

Peluang-peluang yang ada sangat terbuka luas hingga ada pandangan yang mengatakan sebenarnya di negara kita terdapat bersepah-sepah `kekayaan' anugerah Tuhan. Tinggal lagi, bagaimana kita mengutip dan menggunakannya.

Kedatangan imigran-imigran ke Malaysia sejak awal 1900 menunjukkan bahawa negara kita kaya dengan sumber-sumber asli dan juga tanah pamah yang subur untuk pertanian.

Baru-baru ini, Perdana Menteri keempat menekankan kedatangan bangsa-bangsa asing ini sebenarnya adalah satu hakikat bahawa negara kita sudah menuju ke arah negara maju. Mereka melihat kemajuan, peluang dan potensi yang ada, sebab itulah mereka datang.

Sama ada kita sedar atau tidak migrasi ini tidak pernah berhenti hingga ke hari ini, tetapi ia bukan lagi dari China dan India untuk mengorek lombong dan mengusahakan ladang. Mereka dari pelbagai negara dan juga berada di mana-mana.

Di rumah untuk menjadi pembantu, keringat mereka untuk membina projek pembinaan, di kilang-kilang elektronik, memasak tomyam, membuat teh tarik dan pelbagai bidang lain. Akhirnya, mereka adalah sebahagian daripada wajah Malaysia.

Dari satu segi, syarikat korporat seperti Hong Kong and Shanghai Bank Corporation (HSBC) dan BMW membuka pusat operasi di Cyberjaya, Dell di Bayan Lepas, Boeing di Bukit Kayu Hitam, Flextronics di Shah Alam dan Sony di Bangi.

Semua bersama-sama memacu ekonomi negara hingga ke tahap ini. Persoalannya, adakah kita akan berada di tahap ini sekiranya tiada golongan migrasi?

Kita tidak seharusnya mengukur dengan beberapa syarikat tempatan yang menjadi multinasional. Cukupkah dengan Petronas dengan pasukan Formula Satu dan Proton dengan menaja pasukan Liga Perdana Inggeris?

Bukan untuk menidakkan mereka, tetapi adakah bijak jika kita terus berkhayal dengan kejayaan tersebut. Ini kerana, sewajarnya kita harus berusaha agar berjaya dengan strategi perniagaan kita.

Bukan sekadar kajian-kajian kes di universiti tentang kejayaan Dell dengan urus niaga melalui Internetnya, SouthWest Airlines dengan penerbangan bajet ataupun kejayaan strategi pemasaran Pepsi Cola bagi menembusi pasaran dunia untuk bersaing dengan Coca-Cola. Lebih penting, firma-firma kita seharusnya menggunakan pengetahuan-pengetahuan yang dimiliki sumber manusia yang ada untuk diaplikasi.

Pada hemat saya, semuanya tersedia di sini. Teknologi dan kemudahan yang terbaik, penawaran sumber manusia yang tinggi dan juga kerajaan yang sangat komited ke arah melahirkan firma-firma perniagaan yang bertaraf dunia.

Kita juga merupakan antara negara yang disegani di kalangan negara dunia ketiga dan juga negara Islam. Tinggal lagi, bagaimana kita mengenal pasti dan mengambil peluang tersebut.

Sama juga seperti imigran-imigran yang masuk ke negara ini. Jika tidak, masakan ada yang menyabung nyawa untuk datang ke bumi `Semenanjung Emas' ini.

Pokok pangkalnya, adakah kita, terutamanya bagi industri kecil dan sederhana di negara ini sedar dengan kepentingan kelebihan bersaing untuk berjaya. Sama seperti restoran mamak memasang Astro dengan projektor untuk menarik pelanggan.

Perancangan strategik bagi perniagaan adalah sangat penting untuk menentukan hala tuju firma di mana ia akan bertindak sebagai panduan dalam setiap aktiviti operasi.

Terlibat

Tidak menjadi masalah sekiranya kontraktor kelas F tidak mengetahui tentang teori kelebihan persaingan oleh Michael Porter, apa yang lebih penting ialah idea perusahaan terus kekal bersaing.

Persaingan hari ini bukan sahaja di antara bandar bersebelahan, kita juga bersaing dengan India, China dan Jepun.

Ia bersandakan harapan, suatu hari nanti kita mempunyai jenama yang kukuh untuk menyaingi jenama-jenama seperti Nokia, Starbucks, Nike, atau Master Card yang sudah menjadi prasyarat masyarakat moden hari ini.

Ataupun Profesor Madya Abdul Razak Mohaideen dan Datuk Yusof Haslam boleh menghasilkan filem trilogi yang lebih dahsyat daripada The Lord of The Rings.

Kita mahu semua berganding tenaga, mengenal pasti potensi masing-masing dan dengan kapasiti memacu Malaysia. Sama seperti pekerja Indonesia dan Bangladesh memerah kudrat sebagai buruh di negara kita dan pulang dengan bangga kerana hasil tangan mereka pernah meletakkan Menara Berkembar Petronas menjadi bangunan tertinggi di dunia.

Untuk berjaya, pergantungan kepada suatu kelompok pelanggan adalah suatu yang kurang bijak. Sebagai contoh, vendor-vendor yang terlibat dalam menyediakan komponen-komponen untuk kereta nasional Proton dan Perodua seharusnya sentiasa mengenal pasti peluang untuk mengelakkan kebergantungan.

Begitu juga kontraktor-kontraktor dan peniaga bumiputera yang mengharapkan projek-projek dan peluang daripada kerajaan untuk terus kekal. Dalam persekitaran dunia yang tidak menentu sejak akhir abad lepas seharusnya memberi pengajaran yang sangat besar kepada kita.

Setiap firma harus mampu berdiri sendiri terutamanya dalam menguruskan sumber manusia dan mengintegrasikannya dengan strategi organisasi bagi menentukan survival firma.

Sekali lagi perlu diingatkan, secara makronya kita boleh berbangga kerana negara ini tidak tersungkur pada kegawatan ekonomi yang lepas. Tetapi kita perlu ingat bahawa di peringkat mikro, beribu-ribu buruh yang hilang pekerjaan dan tidak kurang usahawan-usahawan kita yang gulung tikar. Barangkali masih ramai yang belum pulih sepenuhnya.

Sebenarnya sesiapa saja berhak untuk berusaha menggali kekayaan di bumi bertuah ini. Bukan mensia-siakannya. Cuma bagaimana kita berperanan dalam menguruskan sumber-sumber ekonomi bagi memastikan negara kita terus seimbang dan maju. Dan ia adalah satu tugas yang sangat sukar tetapi itulah hakikatnya.

- Md. Fauzi Md. Ismail, Sintok, Kedah.

Kirim pendapat anda melalui e-mel: pendapat@utusan.com.my

Utusan Malaysia: Jumaat 17/6/2005

No comments: