Oleh Azlan Abd. Rahman
Setiap hari kita sering terbaca dan terlihat tragedi dan musibah yang menimpa umat manusia di mana-mana saja, sama ada di dalam ataupun di luar negara. Musibah atau tragedi yang berlaku biasanya tanpa diundang oleh sesiapa namun kehadirannya menyebabkan derita, nestapa dan trauma kepada mangsa atau keluarga mereka.
Sebagai orang Islam, kita wajar menerima hakikat bahawa setiap musibah yang menimpa umat manusia adalah dengan kehendak Allah s.w.t. Bukanlah tujuan Allah s.w.t. menimpakan musibah untuk menzalimi dan menyeksa hamba-Nya tetapi lebih merupakan suatu cubaan atau ujian untuk menguji kesabaran dan menilai tahap redha umat manusia.
Muhammad al-Munabji al-Hambali dalam kitab beliau, Tasliyah Ahli al-Masa'ib menjelaskan bahawa Abu al-Farj Ibnu al-Jauzi telah menggariskan tujuh sebab berlakunya musibah iaitu:
1. Supaya manusia tahu bahawa dunia adalah tempat ujian dan cabaran hidup.
2. Supaya manusia tahu musibah adalah perkara lumrah dalam kehidupan.
3. Manusia akan mendapat pahala jika bersabar dan ganjaran jika mereka redha.
4. Allah s.w.t. ingin memperlihatkan kepada manusia keperkasaan dan kekuasaan-Nya.
5. Lagi besar musibah yang menimpa, maka bertambah pahala berlipat kali ganda.
6. Agar manusia sedar dan insaf bahawa mereka adalah hamba Allah s.w.t. dan bukannya tuan.
7. Dengan terjadinya musibah, manusia mampu menilai kelemahan diri sendiri.
Musibah yang menimpa bukan hanya berlaku ke atas diri kita bahkan para Nabi. Contohnya Nabi Adam a.s. pernah dikeluarkan dari syurga. Nabi Ibrahim a.s. pernah dicampak ke dalam unggun api. Nabi Muhammad s.a.w. pernah dihalau keluar dari Mekah bahkan musuh baginda cuba membunuhnya.
Dalam himpunan hadis Imam Ahmad dan Tarmizi, hadis riwayat Mahmud bin Labid bahawa Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
Sesungguhnya Allah s.w.t. apabila menyukai sesuatu kaum, akan diuji mereka itu dengan musibah. Maka siapa yang redha dengan ujian Allah, maka Allah redha kepadanya dan siapa yang benci kepada musibah, maka Allah murka kepadanya.
Sebenarnya tujuan Allah s.w.t. menguji hamba-Nya kerana Dia suka mendengar keluhan, pengharapan, doa dan munajat mereka. Manusia pada lumrahnya hanya banyak mengingati dan menyebut nama Allah apabila ditimpa sesuatu musibah tetapi pada waktu mereka senang, mereka kerap kali lupa dan lalai berzikrullah.
Allah s.w.t. mengecam golongan manusia yang tidak berdoa ketika turun bala. Firman Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 76 bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami (Allah s.w.t.) pernah menimpakan azab ke atas mereka, namun mereka tidak tunduk kepada Tuhan dan mereka juga tidak berdoa kepada Allah s.w.t. dengan merendahkan diri.
Ulama berbeza pendapat adakah musibah dianggap sebagai penebus dosa atau dapat pahala? Sebahagian ulama termasuk Ibnu Taimiyyah berpendapat, setiap musibah yang menimpa dapat pahala. Namun sebahagian ulama yang lain termasuk Ibnu Abdul Salam berpendapat bahawa musibah tidak mendatangkan pahala. Sebaliknya jika bersabar di atas musibah tersebut barulah diberikan pahala oleh Allah s.w.t. iaitu pahala sabar dan bukan pahala daripada musibah itu sendiri.
Persoalannya bukan semua orang boleh menerima konsep qadak (hukum) dan qadar (ketentuan). Barangkali segelintir manusia sukar memahami dan menerima hakikat takdir Ilahi. Buktinya ada di antara mereka yang menyalahkan kejadian atau fenomena alam yang mengundang bencana.
Ada yang menyalahkan sesama sendiri kerana tidak bertindak cepat memberi isyarat bencana yang sedang berlaku.
Sebenarnya sebagai manusia yang kerdil kita mesti ingat bahawa takdir Allah tidak boleh disekat atau dihalang daripada terjadi.
Biarpun ribuan persiapan yang kita atur dan jutaan kelengkapan canggih yang kita miliki untuk mengelak daripada berlakunya bencana namun jika hujan mahu turun membasahi bumi, maka tiada siapa yang mampu menghalangnya tetapi cubalah belajar menerima takdir.
- AZLAN ABD. RAHMAN ialah pensyarah Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Kolej Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP), Kuantan, Pahang.
Utusan Malaysia: Jumaat 17/6/2005

No comments:
Post a Comment