Friday, July 02, 2004

Semakin berumur semakin kurang minat membaca

Oleh Mohd Fuad Razali


SEPERTI tahun lalu, bulan ini diisytiharkan sebagai Bulan Membaca. Walaupun kita sudah beberapa tahun mengadakan kempen ini, tahap pembacaan rakyat masih belum boleh dibanggakan.

Perpustakaan Negara pernah menjalankan kajian mengenai tabiat membaca di Malaysia pada 1996. Kajian itu mendapati kadar literasi penduduk meningkat kepada 93 peratus, tetapi hanya 87 peratus benar-benar mengamalkan tabiat membaca.

Kajian itu juga menunjukkan 79 peratus rakyat Malaysia membaca akhbar, majalah (47 peratus), buku (52 peratus) dan komik (32 peratus). Akhbar dan majalah hanya dibaca pada waktu senggang, manakala buku dibaca untuk tujuan kerja dan belajar. Kajian itu juga mendapati rakyat Malaysia membaca secara purata dua buku setahun.

Bagaimanapun, minat membaca di kalangan rakyat secara keseluruhannya dikatakan menurun apabila sudah berumur. Akhbar dipilih oleh kelompok berusia 15 hingga 44 tahun, tetapi minat membacanya menurun selepas usia itu. Begitu juga majalah dibaca sebahagian besar kelompok berumur 15 hingga 34 tahun. Minat membaca majalah menurun lebih cepat berbanding akhbar selepas usia itu. Minat membaca buku dan komik pula menurun selepas umur 24 tahun dan kadar ini lebih cepat bagi komik.

Walaupun keadaan munasabah bagi pembacaan komik, penurunan minat membaca akhbar, majalah dan buku tentulah memeranjatkan. Ini bertentangan dengan anggapan bahawa semakin berumur seseorang itu, semakin banyak masa untuk membaca. Sudah tentu mereka membaca apa saja jenis bahan bacaan untuk mengisi masa lapang.

Ada tanggapan menyatakan keadaan ini mungkin kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang agak baru mencapai tahap literasi dan generasi lama yang ada kini kurang berpendidikan berbanding sekarang, melainkan kumpulan berpendapatan tinggi.

Sebuah kertas kerja dibentangkan oleh Somsong Sangkaeo dari Perpustakaan Negara Thailand di persidangan tahunan ke-65 Persekutuan Antarabangsa Persatuan dan Institusi Perpustakaan (IFLA) pada 1999, agak menarik untuk dikaji. Ia membincangkan mengenai promosi tabiat membaca di perpustakaan negara Asean.

Beliau memberikan tiga faktor utama menyebabkan budaya membaca kurang menggalakkan di kalangan rakyat negara Asean. Pertama, masyarakat Asean bukanlah masyarakat membaca, sebaliknya masyarakat berbual. Mereka lebih suka mendengar dan berborak berbanding membaca.

Ini ada kaitan dengan tradisi masyarakat itu sendiri. Malah, sarjana dalam masyarakat tradisional Asean sendiri menyampaikan ilmu yang terkandung di dalam buku secara membaca dengan kuat. Malah, jika perlu melakukan apa yang terkandung di dalam buku berkenaan kerana ketika itu sukar untuk mendapat buku di negara terbabit. Budaya ini diwarisi dan menjadi penghalang memupuk tabiat membaca di kalangan masyarakat.

Kedua, kelemahan ketara dalam pengurusan sumber manusia, kewangan dan strategi. Keadaan ini menyebabkan jumlah perpustakaan tidak mencukupi kerana kebanyakan perpustakaan awam, sekolah atau pusat sumber khusus berpusat di bandar.

Jumlah koleksi buku dan bahan bacaan untuk kegunaan awam dan pelajar juga tidak mencukupi. Kekurangan tenaga pustakawan terlatih dan berpendidikan serta bajet terhad untuk membeli koleksi bahan bacaan.

Ketiga, tarikan media elektronik. Potensi mengenai kesan media elektronik seperti televisyen terhadap keupayaan membaca kanak-kanak sering menjadi isu yang membimbangkan pendidik. Malah, ia selalu dikatakan menjadi punca kurangnya minat membaca di kalangan kanak-kanak yang terlalu banyak menghabiskan masa menonton rancangan hiburan berbanding berbentuk pendidikan.

Mungkinkah ketiga-tiga faktor ini turut menjadi penyumbang kepada kurangnya budaya membaca di kalangan masyarakat kita? Tambahan pula, untuk sekian lama kempen membaca nampaknya seolah-olah menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran saja. Jika ada pihak lain melaksanakan kempen sama pun, ia lebih bersifat acara bermusim dan sementara.

Kita sering mendengar ungkapan memupuk budaya membaca perlu dilakukan sejak kecil lagi. Banyak kajian membuktikan tabiat itu boleh disemai sebelum peringkat kanak-kanak memasuki alam persekolahan lagi. Kajian ini membuktikan memupuk tabiat membaca sebenarnya memakan masa. Ia tidak mungkin berkesan dalam tempoh singkat dan mengharapkan hasilnya tercapai sekelip mata.

Oleh itu, gabungan bersepadu antara lima kementerian yang ditetapkan Kabinet baru-baru ini untuk meningkatkan tabiat membaca di kalangan rakyat sudah tentu dapat memberikan nafas baru kepada kempen membaca sedia ada.

Lima kementerian itu ialah Kementerian Pelajaran, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Penerangan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd Khir, baru-baru ini berkata beberapa cadangan sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan kementerian terbabit.

Kementerian Pelajaran sendiri misalnya merancang meningkatkan pusat sumber sekolah mengikut standard ditetapkan dan memantapkan bahan bacaan di pusat berkenaan.

Selain itu, ada cadangan supaya semua pusat sumber sekolah dikendalikan pegawai perpustakaan sepenuh masa. Cadangan lain ialah memperkukuhkan pelaksanaan program Nilam di sekolah, mengkaji semula Dasar Buku Negara serta memperluaskan penganjuran pesta buku ke setiap negeri.

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pula dikatakan merancang menggalakkan minat membaca melalui kegiatan budaya dan seni seperti persembahan wayang kulit, sayembara puisi, penglipur lara, mak yong dan awang batil. Kementerian itu juga dicadangkan supaya menerapkan budaya membaca menerusi acara dalam program Citrawarna seperti apresiasi pantun, syair dan deklamasi sajak.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula diminta menyediakan ruang bacaan di dewan orang ramai di seluruh negara serta menguatkuasakan garis panduan kemudahan masyarakat supaya perpustakaan disediakan di semua taman perumahan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula diharapkan berusaha mengurangkan kos buku import dan kos penerbitan buku tempatan, merancang supaya terbitan luar negara dapat dicetak semula di Malaysia serta mengurangkan cukai import peralatan mesin cetak dan kertas.

Bagi Kementerian Penerangan, ia diminta untuk mempromosi Kempen Membaca Kebangsaan secara meluas melalui media cetak dan elektronik menerusi iklan serta slot masa utama, di samping mempromosi budaya membaca menerusi radio dan televisyen.

Ketika ini, kita dapati publisiti bagi acara pesta hiburan dan konsert tempatan mahupun antarabangsa lebih hebat daripada pesta buku yang diadakan. Jika ada pun iklan dan hebahan di akhbar dan media elektronik, ia tidaklah sehebat konsert dan perasmian sesuatu pesta.

Sebenarnya, kita memerlukan kempen membaca sehebat kempen pilihan raya, malah lebih hebat daripada itu. Ia perlu dipromosikan bersungguh-sungguh sepanjang tahun dengan menetapkan sasaran, mungkin lima tahun. Ini kerana usaha memupuk budaya membaca adalah agenda negara sebagai wahana penting bagi memperkayakan ilmu, selain mencerdaskan minda.

Bharian::2/7/04

No comments: