Friday, July 02, 2004

Jangan buka ruang untuk peragut

MELIHAT kepada senario jenayah ragut yang makin berleluasa, rakyat Malaysia hanya mampu mengeluh. Lebih daripada itu, ada yang memberi pelbagai pandangan untuk mengatasi atau mengurangkan jenayah ini.

Apa yang pasti kekejaman makin jelas dan terserlah. Peragut yang tidak langsung berperikemanusiaan tidak akan berputus asa menjadikan jenayah ini sebagai kerja tetap atau sambilan yang perlu diteruskan untuk meneruskan kehidupan.

Ada yang mencadangkan agar peragut dihukum dengan hukuman yang berat, media bertindak pantas menggunakan salurannya membanteras jenayah ini, pejalan kaki berhati-hati dan tidak menggunakan jalan yang sunyi, kaum wanita tidak menggunakan beg tangan yang senang diragut, mempelajari seni mempertahankan diri daripada diragut dan sebagainya.

Apa yang menarik, ada juga rakyat Malaysia yang kreatif, mencadangkan agar penunggang motosikal tidak dibenarkan membawa pembonceng memandangkan banyak penjenayah menggunakan pembonceng untuk meragut. Memang benar! Amatlah bodoh sekiranya peragut berjalan kaki yang memudahkannya ditangkap oleh orang awam. Tidak pintar juga andainya peragut menaiki kereta, kerana amatlah susah untuk meragut pejalan kaki atau penunggang motosikal.

Memang amat jelas, kejadian seorang anggota polis wanita menjadi mangsa terbaru kes ragut membabitkan kerugian lebih RM40,000 adalah kerana beg tangannya diletakkan di dalam raga motosikal dan peragut amat mudah `mengambilnya' memandangkan peragut juga menaiki motosikal. Kedudukan yang agak dekat antara satu sama lain menyenangkan peragut ini melakukan jenayah.

Apatah lagi kalau diperhatikan di mana-mana perhentian lampu isyarat, motosikal akan tersusun kedudukannya antara satu dengan yang lain. Kalaupun tidak ingin melakukan jenayah ragut di situ, penunggang akan mengekori bakal mangsa dan meragut di tempat lain setelah mengatur strategi yang bijak. Mereka akan melihat kedudukan beg bakal mangsa dan boleh mengatur cara yang terbaik untuk meragut hanya dengan sekelip mata.

Yang paling mengejutkan, kematian orang awam, Rosli Mohd. Saad yang cuba membantu orang awam lain, Sutriya Abdul Shukor yang sedang diragut. Seluruh rakyat Malaysia berasa terkilan atas apa yang berlaku. Mungkinkah akan ada orang awam kedua, ketiga dan seterusnya yang bakal menjadi mangsa bunuh tanpa niat, Seksyen 304, Kanun Keseksaan?

Apakah cara lain yang boleh dilakukan orang awam untuk membantu mangsa ragut selain mengejar peragut untuk melihat dengan jelas nombor pendaftaran motosikal mereka dan kalaupun boleh, untuk mengecam wajah mereka? Kalau berhempas-pulas mendapatkan nombor pendaftaran motosikal, tetapi rupanya nombor tersebut adalah palsu, berbaloikah orang awam pertaruhkan nyawa untuk itu? Sekiranya orang awam bertindak mengejar peragut untuk menyalin nombor pendaftaran dan peragut nekad membunuh orang awam tersebut kerana mempertahankan diri, adakah saranan ini berbaloi?

Tahun lalu, jumlah kes ragut yang dilaporkan sehingga 31 Mei adalah 7,377 yang mana 3,605 berjaya diselesaikan dan 810 tangkapan dibuat. Manakala pada tahun ini sehingga tempoh yang sama, 5,515 kes ragut dilaporkan berlaku, 2,710 berjaya diselesaikan dan 665 tangkapan dibuat.

Perlu juga dinyatakan bahawa daripada keseluruhan jumlah tangkapan yang dibuat, hanya 40 orang peragut orang Indonesia, 21 Filipina, enam orang Bangladesh, seorang Myanmar dan empat dari negara lain. Selebihnya adalah peragut warganegara Malaysia yang tinggal di negara yang begitu makmur dan kaya dengan pelbagai punca mata pencarian.

Memang ketara adanya penurunan lantaran kesedaran orang ramai membantu membanteras jenayah ini, tindakan polis memasang kamera litar tertutup di tempat awam dan banyak rondaan dilakukan.

Jarang benar kes ragut yang berlaku tidak menyebabkan kecederaan. Sekiranya jenayah ragut menyebabkan kecederaan, ia diklasifikasikan sebagai merompak. Saya amat tertarik dengan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar berhubung hal tersebut. Memang jelas, jenayah mencuri berlaku tanpa pengetahuan pemilik barang dan pemiliknya hanya mengetahui bahawa barang miliknya dicuri setelah menyedari bahawa barang tersebut hilang dan tiada dalam miliknya lagi.

Kejadian mencuri juga tidak berlaku di hadapan pemilik barang yang mana pemilik tidak nampak pencuri dan barangnya dicuri. Manakala jenayah merompak berlaku apabila pemilik dapat melihat pencuri dan tahu bahawa barangnya `sedang dicuri'. Apabila mempunyai sentuhan fizikal terhadap barang yang sedang diragut, tentulah pemilik akan mempertahankan haknya dan berlakulah pergelutan, inilah yang menyebabkan kecederaan seperti dalam kes rompak.

Sama ada hukuman terhadap perompak lebih berat daripada pencuri, itu tidaklah menggerunkan peragut kerana yang penting kehidupan mesti diteruskan. Untuk orang awam yang belum pernah diragut, berhati-hatilah dengan penunggang motosikal, lebih-lebih lagi yang membawa pembonceng kerana kebarangkalian untuk mereka meragut adalah tinggi melihat kepada modus operandi yang lepas.

Semua rompakan yang berlaku seperti dinyatakan di atas, terutama yang menyebabkan kematian menggunakan motosikal sebagai pemangkin. Sesuatu harus dilakukan hari ini untuk kemakmuran rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, motosikal tidak bersalah, tetapi kita harus rasa bersalah sekiranya membiarkan ruang dan peluang terus terbuka untuk peragut terus merompak! - NIK SALIDA SUHAILA, Gombak, Selangor.

-- Kirim pendapat anda melalui emel pendapat@utusan.com.my

Utusan Malaysia::2/7/04

No comments: