Oleh Norbakti Alias
SEORANG rakan dari Kuala Lumpur yang singgah di Alor Star baru-baru merungut kepada penulis betapa sukarnya mencari nasi lemak pada malam hari. Malah, beliau mendakwa sering tertipu dengan papan tanda yang dipasang pada gerai-gerai yang kononnya menjual ‘nasi lemak’ pada sebelah malam.
Apakan tidak, ‘nasi lemak’ yang kebanyakannya dijual oleh kaum India Muslim atau mamak ini bukan nasi lemak yang dimasak dengan santan, tetapi sebenarnya nasi kandar.
Malah, lauknya juga tiada sambal ikan bilis atau sotong tetapi lauk yang sememangnya sinonim dengan kedai mamak seperti dhal, kari ikan dan ayam madu.
Penulis hanya mampu menumpang simpati dengan rakan itu kerana pernah berasa demikian ketika mula-mula ditukarkan bertugas di negeri ini.
Lupakan saja hasrat untuk makan nasi lemak pada sebelah malam seperti di Bangsar dan Kampung Baru di Kuala Lumpur, kerana penulis belum lagi menemui jualan seperti itu di Alor Star.
Bagi tidak mengecewakan rakan itu, penulis membawanya makan di sebuah gerai di depan Pekan Rabu yang menjual nasi bungkus dengan harga 30 sen setiap satu.
Biarpun ia hanya nasi biasa dengan lauk seperti ikan atau daging, bukannya nasi lemak seperti yang diharapkan rakan itu, setidak-tidaknya ia dapat memberi sedikit pilihan kepadanya.
“Di mana peniaga Melayu yang benar-benar menjual masakan Melayu kerana rata-rata yang ada adalah kedai mamak manakala bangsa sendiri lebih ghairah berniaga makanan Thai.
“Apakah makanan Melayu seperti nasi lemak ini hanya layak dijual di kaki lima dengan harga antara 30 hingga 50 sen saja,” tanya rakan itu kepada penulis.
Penulis tertarik dengan soalan kedua rakan itu yang jelas kecewa dengan sikap peniaga Melayu sendiri yang sering ‘berhati kecil’ ketika berniaga, tanpa merujuk nasi kandar yang dulunya dijual peniaganya mengandar makanan itu di jalanan tetapi kini ada restoran yang merancang menyenaraikannya di Bursa Malaysia.
Sebenarnya, sejak kebelakangan ini Alor Star menyaksikan percambahan restoran dan gerai yang menjual nasi kandar atau ‘nasi lemak mamak’ ini termasuk yang dibuka 24 jam.
Jika dulu, ada yang terpaksa berkunjung ke Pulau Pinang untuk menikmati nasi kandar ini, kini ia mudah diperoleh di bandar raya ini berikutan pembukaan restoran dan gerai yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ini.
Ini termasuk juga pembukaan rangkaian restoran yang sebelum ini sudah dikenali di Pulau Pinang, sekali gus membuktikan betapa makin popularnya makanan itu.
“Beberapa tahun dulu, kedai yang menjual nasi kandar boleh dibilang dengan jari di Alor Star ini.
“Dulu, kalau ada yang berhajat makan nasi kandar yang sedap, ada yang sanggup ke Pulau Pinang tetapi sekarang ia mudah didapati di Alor Star,” kata seorang rakan lain yang berasal dari bandar raya ini.
Namun, jika ada yang beranggapan harganya akan sama taraf dengan kos hidup yang rendah di bandar raya ini, mereka mungkin akan terperanjat kerana harganya tetap setanding dengan yang dijual di Kuala Lumpur mahupun Pulau Pinang.
Percambahan restoran dan gerai ini terus menenggelamkan makanan Melayu, sekali gus peniaga Melayu sendiri yang kian ketandusan idea untuk mempromosikan jualan mereka seperti yang dilakukan oleh restoran mamak ini.
Jadi tidak hairanlah jika peniaga Melayu ini mengambil jalan mudah dengan meniru perniagaan yang dikira berjaya umpamanya berniaga makanan Thai berikutan agak mudah mencari tukang masak dari selatan Negara Gajah Putih itu.
Namun, berbanding restoran atau gerai mamak ini yang agak jauh antara satu sama lain, peniaga Melayu lebih suka berjual di tempat yang sememangnya sudah banyak jualan seperti itu, sekali gus terpaksa bersaing sesama mereka.
Berita Harian ::13 Julai 2004
Tuesday, July 13, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment