nakhaieyadim@hotmail.com
PEMIKIRAN Islam Hadhari bukanlah sesuatu yang baru dicetuskan atau rekaan yang diada-adakan. Ia adalah usaha mengungkap kembali kefahaman Islam dari sumber asalnya, al-Quran dan Sunnah, dengan melihat realiti dan perkembangan sejarah umat Islam.
Tamadun Islam mengalami saat-saat keruntuhan yang teruk apabila negara Islam dijajah dan pemahaman Islam terbelenggu dalam pemikiran jumud dan beku, akibat kepincangan ilmu dan penutupan pintu ijtihad.
Masyarakat Islam yang lena dan tidak bergerak sepanjang zaman penjajahan, akhirnya dikejutkan oleh kebangkitan Islam yang dipelopori Sayyid Jamaludin al-Afghani dan Muhammad Abduh yang mengajak umat kembali semula kepada al-Quran dan Sunnah, membuka kembali pintu ijtihad dan membebaskan bumi Islam daripada kemunduran.
Golongan reformis Islam inilah yang mencetuskan idea Islam Hadhari, setelah lama dunia Islam lena di bawah penguasaan penjajah Barat. Penutupan pintu ijtihad yang berlaku sebelum kedatangan penjajahan, menyempitkan kefahaman Islam hanya di dalam lingkungan ritual semata-mata dan tumpuan penulisan di lapangan ilmu dilakukan di sekitar persoalan ibadat khusus, kahwin, zakat dan hukum.
Golongan reformis Islam berusaha membebaskan umat daripada lingkungan sempit ini dan bergerak menyuntik semula semangat jihad menentang kemunduran dan penjajahan. Mereka mengembangkan ajaran Islam yang dilihat dari perspektif luas sebagai sistem hidup dan sebagai ajaran yang menggerakkan pembentukan tamadun dan bukan daripada aspek ritual yang dibentuk oleh sikap bertaqlid buta.
Kefahaman Islam sebagai cara hidup yang dilihat daripada perspektif ketamadunan, turut memancar sinarnya ke negara ini, menerusi tokoh reformis tanah air seperti Sayid Shaikh al-Hadi, Syaikh Tahir Jalaludin, Zaaba dan lain-lain. Pemikiran mereka disalurkan menerusi penubuhan sekolah agama, majalah dan surat khabar.
Bicara Islam yang dibuat menerusi saluran itu tidak lagi terbatas kepada permasalahan hukum atau ibadat khusus, tetapi menyentuh kemunduran dan kemiskinan orang Melayu, pembebasan wanita dan persoalan kemerdekaan negara serta pembebasan daripada penjajahan.
Pergerakan mereka telah berjaya mencetuskan kebangkitan nasionalisme Melayu, yang sebelumnya hidup berpuak mengikut etnik dan negeri. Dengan kesedaran yang dicetuskan itu, timbul semangat kebangsaan Melayu yang berjuang menuntut kemerdekaan.
Bagaimanpun, persoalan ketamadunan yang lebih luas daripada kemerdekaan tidak begitu difahami oleh orang Melayu. Ini kerana persoalan yang besar itu membabitkan bukan saja kesatuan sentimen dan fikiran, tetapi juga penyuburan budaya ilmu yang lebih luas.
Oleh kerana masyarakat Melayu pada waktu itu adalah masyarakat tani yang miskin dan dibelenggu kejahilan, maka persoalan ketamadunan yang dilontarkan ke tengah masyarakat tidak dapat disambut dan dibincangkan dengan meluas.
Akhirnya, ia menjurus semula ke arah perbincangan di sekitar persoalan ritual. Maka, muncul kaum tua dan kaum muda yang berbalah mengenai masalah khilafiah.
Apabila negara ini mencapai kemerdekaan dan keadaan negara serta masyarakat Islam telah berubah, dengan prasarana pendidikan yang lengkap dan negara melangkah ke depan memasuki ruang negara maju, bicara Islam Hadhari lebih sesuai untuk diketengahkan.
Dengan adanya masyarakat di negara ini yang lebih maju dalam bidang pendidikan, bicara Islam Hadhari sangat sesuai diketengahkan, bukan hanya sebagai latihan intelektual, tetapi sebagai agenda pembangunan negara yang membentuk acuan kemajuannya yang tersendiri seperti diungkapkan dalam wawasan 2020. Misi Islam Hadhari ialah memberi bentuk kepada acuan sendiri itu.
Sejak tahun 2000, saya telah menulis dalam ruangan ini dan beberapa daripada tulisan saya itu mengungkapkan mengenai Islam Hadhari dan menggunakan istilah itu dalam menjelaskan kefahaman Islam yang dipelopori oleh golongan reformis, sejak dulu lagi.
Ada dua keadaan yang menjadi latar belakang penggunaan istilah itu. Pertama ialah kemunculan istilah Islam siasi (Islam politik) yang menamakan pendekatan politik sebagai cara bagi menjelaskan Islam dan menghayatinya secara syumul.
Mengikut pendekatan ini, Islam tidak mungkin dilaksanakan secara syumul melainkan apabila ia menguasai negara. Justeru, perjuangan Islam mestilah terlebih dulu menguasai negara untuk membolehkan Islam ditegakkan.
Demi untuk meneruskan pendekatan ini, ia memerlukan ideologi politik yang mendukungnya. Justeru, ajaran Islam telah diungkapkan sebagai ideologi politik dan bicara yang berkaitan dengan Islam, pegangan Islam dan pendirian Islam dibicara mengikut rentak bicara ideologi.
Ternyata, Islam politik bukan saja gagal menguasai kerajaan dan negara, tetapi lebih daripada itu telah memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat Islam sendiri. Islam politik telah memecah belahkan masyarakat Islam menerusi bicara ideologi yang menyentuh persoalan akidah, syurga dan neraka dan sebagainya.
Keadaan kedua ialah kesan daripada kemunduran yang masih membelenggu masyarakat dengan bicara ritual, telah menghalang kemajuan umat Islam. Islam hanya tinggal sebagai iman di hati dan ibadat khusus saja. Tetapi tidak muncul sebagai sistem yang membolehkan ajaran Islam menjadi wahana dalam kehidupan seharian umat.
Masyarakat Islam tidak berasa bahawa mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan dan kemunduran sebagai amal soleh dan ibadat.
Membaca dan menuntut ilmu tidak dianggap suatu kemestian agama. Mengurus ekonomi dan harta benda dengan baik bagi menghasilkan keuntungan dan memanfaatkannya untuk kemajuan, tidak dirasai sebagai amalan agama.
Dalam usaha negara ini memacu kemajuan mengikut acuan sendiri, maka pendekatan Islam Hadhari itu adalah penting bagi memberi makna dan bentuk kemajuan yang tersendiri itu.
Bagaimanapun, cita-cita dan hasrat ini, tidak akan berhasil jika Islam Hadhari kekal sebagai retorik politik semata-mata atau ia hanya kekal dalam bentuk konsep yang dilaungkan keindahannya, tanpa dibentuk gagasan pemikiran yang jitu dan jelas bagi membolehkan ia diserap ke dalam agenda pembangunan negara.
Bharian ::2/7/04
Friday, July 02, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment