Semua sektor ekonomi catat pertumbuhan
KUALA LUMPUR 26 Mei - Semua sektor ekonomi yang meliputi pembuatan, perlombongan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan telah mencatat pertumbuhan menggalakkan pada suku pertama 2004.
Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan (JP) Malaysia, sektor pembuatan terus memacu pengembangan ekonomi dengan mencatat pertumbuhan 12.5 peratus selepas mencatat pertumbuhan 5.8 peratus, 6.5 peratus, 8.3 peratus dan 12.2 peratus dalam keempat-empat suku tahun 2003.
Katanya, selain daripada kumpulan utama produk tekstil, pakaian dan kulit, lima kumpulan utama yang lain telah mencatat pertumbuhan yang positif.
Secara khusus katanya, kumpulan utama produk logam yang reka, elektronik, mesin dan peralatan bersama kumpulan utama bahan kimia perindustrian, plastik, getah dan produk galian bukan logam masing-masing mencatatkan kenaikan 18.0 dan 10.9 peratus.
Menurut JP, peningkatan dalam pengeluaran petroleum mentah dan gas asli membawa kepada pertumbuhan 5.6 peratus.
``Pengeluaran petroleum mentah tumbuh sebanyak 7.5 peratus manakala gas asli meningkat sebanyak 2.3 peratus,'' katanya.
Malaysia mengeluarkan 772,800 tong minyak mentah sehari.
Bagi sektor pertanian kata JP, ia terus mencatat pertumbuhan positif iaitu meningkat sebanyak 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini.
Ini katanya, sebahagian besar disumbangkan oleh peningkatan dalam pengeluaran getah yang naik sebanyak 21.9 peratus dan pertumbuhan bagi gabungan aktiviti perikanan, perhutanan dan penternakan yang merekodkan pertumbuhan 6.4 peratus.
``Kelapa sawit mencatat pertumbuhan 1.8 peratus,'' katanya.
Menurut JP, harga komoditi yang lebih tinggi membolehkan sektor pertanian terus dengan arah aliran yang meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan 15.8 peratus.
Pada peringkat kumpulan kecil pula, katanya, getah meningkat tinggi sebanyak 58.9 peratus manakala kelapa sawit mencatat peningkatan sebanyak 27.2 peratus.
Sektor pembinaan pula kata JP, merekodkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.6 peratus pada suku pertama tahun ini selepas mencatat pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.
``Ketiadaan projek infrastruktur yang baru telah sebahagian besarnya menyumbang kepada pertumbuhan yang sederhana dalam sektor ini,'' katanya.
Satu lagi sektor iaitu perkhidmatan kata JP, telah menunjukkan prestasi yang sangat baik pada suku tahun dalam kajian ini dengan mencatat pertumbuhan 6.2 peratus berbanding peningkatan 4.7 peratus dalam suku terakhir 2003.
Menurut JP, kebanyakan sektor kecil perkhidmatan mengalami pertumbuhan yang lebih tinggi dengan didahului oleh sektor kecil utiliti yang mencatat kenaikan 8.1 peratus.
``Sektor kecil kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan serta sektor kecil pengangkutan dan komunikasi juga kukuh dengan masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 7.4 peratus,'' katanya.
Pertumbuhan dalam sektor kecil lain juga adalah ketara melibatkan perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran (5.6 peratus), perkhidmatan kerajaan (3.2 peratus).
Utusan Malaysia :: 27/5/04
Thursday, May 27, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment