Oleh Johardy Ibrahim dan Wan Najib Wan Daud
KUALA LUMPUR 26 Mei - Rakyat disaran supaya terus mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah meskipun kedudukan ekonomi negara semakin mencatatkan pemulihan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.6 peratus bagi suku pertama tahun ini.
Penganalisis saham, Abdul Aziz Abdul Hamid berkata, pertumbuhan besar KDNK itu amat memberangsangkan tetapi tidak semestinya melambangkan kecairan perbelanjaan kepada rakyat.
Tiga isu utama semasa yang masih membelenggu negara, ujarnya, ialah kenaikan harga minyak, kadar faedah Amerika Syarikat dan kemeluapan ekonomi China.
``Kerana itu, rakyat disaran supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah kerana bahan asas pengguna akan turut meningkat akibat kenaikan harga minyak,'' katanya di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pencapaian KDNK terbaik Malaysia sebanyak 7.6 peratus sejak krisis kewangan serantau 1997/1998.
Sementara itu, Datuk Dr. Norraesah Mohamed berkata, pertumbuhan KDNK pada kadar 7.6 peratus adalah munasabah bagi suku pertama tahun ini memandangkan momentum di dalam aktiviti pelaburan swasta meningkat berbanding sebelumnya.
Menurut beliau, ramalan penganalisis ekonomi luar negara terutamanya dari Singapura bahawa perolehan KDNK antara tujuh hingga 7.5 peratus bagi tempoh tersebut berada dalam jangkaan.
Sektor perkilangan dan pembuatan telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang baik berbanding suku keempat pada tahun lalu.
``Kita berharap masalah-masalah ekonomi global seperti masalah ekonomi di China dan kenaikan harga minyak dunia dapat diatasi secara bijaksana bagi terus mengukuhkan kedudukan dan pertumbuhan ekonomi negara,'' ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr. Hamzaid Yahya berkata kemampuan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus adalah sesuatu yang realistik memandangkan sektor perkilangan telah menyumbangkan sesuatu yang bermakna untuk tempoh tersebut.
Katanya, Malaysia mungkin masih belum menerima tempias kesan daripada kenaikan harga minyak dunia dan penurunan ekonomi dari China serta kenaikan harga barangan pembinaan seperti mana yang baru berlaku.
Namun begitu, kerajaan harus bersedia untuk menghadapi pelbagai rintangan jika faktor-faktor tersebut berpanjangan dan memberi kesan kepada keadaan ekonomi global.
Utusan Malaysia ::27/5/04
Thursday, May 27, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment