Oleh ZAINI HASSAN
(Yang sedang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Republik Rakyat China sempena ulang tahun ke-30 hubungan kedua-dua negara, dari 27-31 Mei 2004)
PADA 30 tahun lalu bertarikh 29 Mei 1974, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan ketika itu, Mazlan Nordin melaporkan dari Peking (kini Beijing) satu berita besar.
Berita utama muka satu itu bertajuk `Razak Temui Mao'. Laporan itu: ``Perdana Menteri Tun Razak bertemu dengan Pengerusi Mao Tze-tung (Mao Zedong) dan mengadakan rundingan selama satu setengah jam dengan pemimpin besar China itu di Dewan Besar Rakyat petang ini.''
Dua hari selanjutnya pada 31 Mei, Mazlan melaporkan peristiwa bersejarah `Hubungan KL-Peking Dirasmi' yang merupakan satu langkah bermakna dalam perhubungan dua hala Malaysia-China sehingga ke hari ini.
Mazlan menulis: ``Kenyataan bersama yang dikeluarkan menyebut Kerajaan Malaysia mengiktiraf Kerajaan Republik Rakyat China sebagai kerajaan yang tunggal dan sah bagi negara China. Manakala Kerajaan Republik China pula mengiktiraf Kerajaan Malaysia serta menghormati kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.''
Sehari sebelum itu, Mazlan menulis, juga disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia, bertajuk: `Razak Disambut Hangat Di Peking'. Berita itu berbunyi: ``PEKING 28 Mei - Perdana Menteri, Tun Razak telah tiba di sini petang ini dan diberikan sambutan yang paling meriah lazimnya diberikan kepada tetamu sahabat lama.
``Sambutan hangat ini menandakan betapa pentingnya kunjungan muhibah pemimpin Malaysia itu dianggap oleh pemerintah dan rakyat China.''
Penulis yang ketika berusia 10 tahun, masih ingat peristiwa itu. Gambaran yang masih ada ialah apabila Tun Razak Hussain turun dari tangga pesawat MAS setibanya di Peking. Ingatan juga menjurus kepada gambar bersejarah Tun Razak dan Perdana Menteri China, Chou En-lai mengangkat gelas sebagai tanda ucap selamat dalam hubungan kedua-dua negara.
Pada masa itu penulis tidak tahu apakah signifikan kunjungan dan hubungan tersebut - selain Parti Komunis Malaya (PKM) - yang menerima sokongan moral dari Peking masih memberontak melalui gerakan ganasnya di dalam hutan.
Bagi para wartawan seperti Mazlan, membuat liputan peristiwa tersebut bukan sahaja mencatat sejarah bagi negara, tetapi juga bagi diri mereka sendiri. Apa tidaknya negara menjalin semula hubungan diplomatik - pascamoden - dengan kuasa besar China yang terputus - sejak 600 tahun Maharaja Ming menghantar utusannya, Laksamana Yin Ching dan Laksamana Cheng Ho untuk mengintai hubungan dengan kerajaan Melayu Melaka.
Kunjungan Tun Razak itu memberi banyak reaksi di tanah air. Ada yang berbelah bahagi - yang marah dan yang menyambut baik. Ini menyebabkan satu eksesais perhubungan awam dibuat di Kuala Lumpur. Sehari selepas Tun Razak menemui Mao, satu berita disiarkan bertajuk: ``Rapat raksasa di KL terang hasil lawatan Razak ke Peking.''
Namun, hakikatnya tiada siapa pun boleh mempertikaikan jalinan hubungan itu. Tiada yang tidak elok mengenainya. Hasil daripada langkah itulah unsur subversif PKM mulai reda dan berjaya dihapuskan.
Malaysia berjaya `mengikat' China dari segi diplomatik untuk melemah dan melenyapkan pengaruh komunis di Malaysia. China mulai faham mengenai peranan dan masa depan `rakyat China seberang laut' serta taat setia kepada negara yang didudukinya.
``Sejak itu hubungan muhibah kedua-dua negara berkembang pada paras yang tidak disangka-sangka dalam semua segi,'' kata Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan kepada wartawan yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri - sempena ulang tahun ke-30 hubungan dua hala - di Beijing semalam.
Kunjungan Abdullah selama lima hari bermula hari ini sehingga 31 Mei sungguh signifikan. Signifikannya adalah kerana ia juga adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke luar negara sejak mendapat mandat besar rakyat dalam pilihan raya umum lalu. Dengan diiringi oleh isteri, Datin Seri Endon Mahmood, beliau membawa bersama-samanya sembilan menteri Kabinetnya dan tiga Menteri Besar termasuk seorang Ketua Menteri dan sejumlah 500 ahli perniagaan.
China, terutamanya Beijing kini bukan seperti 30 tahun dulu. Rakyatnya tidak lagi `serupa' dengan baju Mao dan topi bintang tiga yang terpaksa dipakai. Mereka kini sudah moden.
Di dalam bilik hotel, Shangri-la Beijing (milik rakyat Malaysia) sudah ada perkhidmatan jalur lebar dan akses Internet Tanpa Wayar untuk memudahkan rencana ini dihantar balik - sekelip mata. Suasana itu sudah tentu umpama `langit dengan bumi' dengan mesin taip zaman Mazlan.
``Oleh itu saya nasihatkan semua persiapan untuk liputan ini harus diatur dengan betul kerana Beijing terlalu sibuk,'' nasihat Abdul Majid kepada para wartawan. Sibuk yang dimaksudkan bukan kerana basikal bersimpang siur - yang mudah dilihat sedekad dua lalu, tapi dipenuhi dengan kereta-kereta mewah dan pengangkutan awam. Beijing dan bandar-bandar besarnya, terutama Shanghai sudah ultramoden - lebih moden atau sama hebat dengan bandar-bandar Eropah yang lain.
Lawatan rasmi Perdana Menteri atas jemputan Kerajaan Republik Rakyat China itu juga merupakan satu detik penting dari segi politik serantau ekoran keseimbangan dunia yang semakin tidak stabil.
Kuasa China, yang menurut pemerhati hubungan antarabangsa berupaya mengubah corak wajah dunia yang unipolar, tidak boleh ditolak begitu sahaja.
China adalah satu-satunya negara besar yang tidak goyah pendiriannya mengenai konsep keseimbangan dunia selepas kejatuhan, Soviet.
Abdullah dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik China, Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiaboa. Dalam kunjungan hormat itu kedua-dua pihak akan berpeluang membincangkan mengenai kepentingan Malaysia-China serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Selaku Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Abdullah dijangka membangkitkan soal keselamatan, keganasan serantau, termasuk mungkin menyentuh mengenai kedudukan Iraq dan Palestin.
Kunjungan ini juga dijangka dikuasai oleh agenda dagang antara kedua-dua negara. Sebanyak 30 perjanjian persefahaman (MoU) akan ditandatangani antara ahli perniagaan kedua-dua negara, merangkumi bidang bio-teknologi, pendidikan, perdagangan dan penyiaran, manakala, perjanjian antara kerajaan akan meliputi soal latihan (pertukaran kakitangan).
Sebagai penggemar sukan golf, Abdullah akan bermain golf sembilan lubang pada pagi Sabtu ini, sebelum berlepas untuk merasmikan bangunan baru Kedutaan Malaysia di No. 2 Liang Ma Qiao Bei Jie.
Bangunan yang berkonsepkan Melaka itu membawa makna hubungan 300 tahun China dengan bekas pusat perdagangan serantau Kesultanan Melayu itu.
Abdul Majid dalam taklimatnya juga berharap lebih ramai rakyat China akan melawat Malaysia berbanding 500,000 orang tahun lalu.
Perbandingan purata penduduk menunjukkan seorang rakyat Malaysia yang melawat China, sekurang-kurang 50 rakyat negara itu perlu melawat Malaysia.
Bagi tujuan itu, urusan memudahkan kemasukan rakyat China menerusi pengenalan I-visa, permohonan visa melalui Internet yang sudah diperkenalkan di Shanghai, akan diperluaskan.
Beberapa pejabat konsul juga akan dibuka di beberapa wilayah di negara ini untuk memudahkan urusan kemasukan rakyat China ke Malaysia.
Syarikat penerbangan China juga akan menambah penerbangan terus ke beberapa destinasi ke Malaysia termasuk di Sabah. Perdagangan dua hala meningkat 24 peratus dari nilai jumlah perdagangan AS$1.18 bilion pada 1990 kepada AS$13.2 bilion pada 2003.
Walaupun jadual Abdullah diatur terlalu ketat, lawatan ini dianggap sungguh bermakna. Hubungan kedua-dua negara amat penting untuk masa depan bersama.
Kejayaan Malaysia membangun sebagai salah satu harimau Asia terus dihormati. Naga China pula tidak boleh dipandang sepi, kerana negara besar itu kini adalah penjana ekonomi Asia, malah dunia. Sebarang perubahan pada petunjuk ekonominya adalah umpama gelombang Tsunami - yang boleh memberi kesan buruk kepada semua.
Oleh itu, kunjungan rasmi Perdana Menteri itu tepat pada masanya dalam mengukuhkan lagi kerjasama Malaysia-China. Jika Mazlan dulu mencatat sejarah sulung hubungan ini, penulis kini turut mencatatkan sejarah 30 tahun kerjasama itu dijalin.
Kita berharap 30 tahun akan datang, pengganti penulis pula akan mencatat sejarah yang sama. Masa itu, mereka tidak lagi menggunakan Internet jalur lebar untuk menghantar berita, tetapi sesuatu yang melangkaui jangkaan pemikiran kita sekarang.
Ketika itu mungkin keutamaan hubungan dua hala juga sudah berubah. Apa yang kita harapkan China akan terus dengan dasarnya sekarang dan kedua-dua negara akan terus bekerjasama atas nama bersama dan kemanusiaan sejagat. China yang akan menentukan rentak itu, satu hakikat yang kita tidak boleh dinafikan.
Utusan Malaysia ::27/5/04
Thursday, May 27, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment