Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Diners Club Maktab Turus Angkatan Tentera di Kuala Lumpur pada 10 Mei 2004.
Saya berterima kasih kepada Diners Club Maktab Turus Angkatan Tentera kerana menjemput saya untuk berucap mengenai satu tajuk penting iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Order Baru Dunia.
PBB ditubuhkan untuk berkhidmat kepada negara-negara anggota, negara-negara di dunia. Itu adalah mandat sebenar PBB iaitu untuk berkhidmat kepada negara anggota. Piagamnya ditulis di atas nama ``kami penduduk dunia''. Tetapi amat menyedihkan apabila pertubuhan dunia itu telah mengecewakan penduduk dunia dan gagal untuk menyempurnakan harapan anggota-anggotanya.
PBB telah ditawan oleh beberapa negara untuk menjayakan matlamat mereka, atau jika negara-negara ini tidak berjaya menawannya, ia akan dilangkau dan tidak hiraukan. Sejarah sememangnya berulang.
Apa yang telah terjadi kepada PBB turut menimpa Liga Bangsa-bangsa. Anggota yang paling berkuasa membunuh Liga dengan menarik sokongan mereka. Itulah yang terjadi kepada PBB.
Demokrasi dicipta untuk semua, jika pun tidak semua - sekurang-kurangnya majoriti dan untuk membendung penyalahgunaan hak asasi kumpulan minoriti.
Untuk berjaya, PBB mesti demokratik. Kita amat terasa kerana ia merupakan keagungan demokrasi yang diasas serta disokong oleh PBB. Tetapi apabila proses demokrasi dalam PBB gagal untuk sealiran dengan negara kuasa besar, komitmen untuk demokrasi oleh kuasa demokrasi agung ini terhapus dan kemuncak autokrasi mengambil tempatnya.
Memang mudah untuk bercakap mengenai keadilan dan kesaksamaan ketika PBB ditubuhkan. Negara-negara kuasa besar yang berhimpun untuk mencipta PBB percaya dunia selepas Perang Dunia Kedua akan menyaksikan pemulihan kedudukan dominasi mereka berbanding sebelum perang, dengan kelebihan tambahan penyerahan mutlak oleh negara-negara yang telah mencabar mereka.
Yang menang akan mendapat semula jajahan-jajahan mereka dan mengawasi wilayah-wilayah bersama dengan yang dimiliki oleh kuasa-kuasa paksi.
Dalam senario penuh kemegahan itu adalah selamat untuk menganjurkan kebebasan dan hak yang sepatutnya dinikmati oleh semua. Ia hanya janji-janji manis.
Setiap kali prinsip, ideologi malah agama dinyatakan dengan jelas, tanpa pengecualian, kesemua ini akan diperinci dan ditafsir semula sehingga melenyapkan idea asal dan menjadikannya sesuatu yang berbeza sama sekali. Maka, kesaksamaan, persaudaraan dan kebebasan yang dicipta oleh Revolusi Perancis bertukar menjadi pemerintahan diktator komunis, di mana sesiapa yang menentang akan dihancurkan. Sejak itu tiada kesaksamaan atau persaudaraan antara komrad yang memerintah dengan komrad yang diperintah.
Apabila kebebasan disokong oleh PBB, keputusan di luar jangkaan adalah perpecahan empayar-empayar etnik Eropah yang merupakan pengasas PBB. Ia telah mengakibatkan pembentukan begitu banyak negara merdeka yang miskin. Sebagai negara-negara bekas penjajah, mereka terpaksa mengaku menjadi anggota PBB.
Negara-negara baru ini cenderung untuk menjadi kritis terhadap negara-negara kuasa besar dan menentang mereka. Amat jelas idea agung demokrasi mengenai kebebasan bersuara dan tindakan kepada setiap negara anggota hanya berkesan jika ia seiring dengan kepentingan kuasa besar. Mereka telah memastikan kedudukan unggul mereka dalam Majlis Keselamatan dengan memberi diri mereka sendiri taraf anggota tetap yang mempunyai kuasa veto.
Tetapi ia adalah sesuatu yang memalukan sehingga negara-negara yang dicengkam kemiskinan sepatutnya menolak menyokong mereka.
Oleh kerana keanggotaan PBB semakin meningkat, demokrasi dalam sistem PBB menjadi lebih memualkan bagi penganjuran demokrasi. Sebaliknya mereka mengubah haluan ke arah oligarki dan seterusnya menjadi pemerintahan diktator di kalangan negara-negara paling kuat di dunia. Kini kita kembali kepada era peluasan kuasa bangsa di mana kuasa besar adalah benar.
Ketidakacuhan paling nyata terhadap prinsip penyatuan dunia untuk mencapai kebaikan bersama adalah keputusan dua pengasas utama, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom, untuk tidak menghiraukan langsung PBB dan menyerang Iraq dengan dalih bahawa Iraq mengancam akan menggunakan senjata pemusnah besar-besaran ke atas Britain dalam masa 45 minit arahan dikeluarkan oleh Saddam Hussein.
Sememangnya kita tidak patut menyokong keganasan yang dilakukan oleh orang Iraq di bawah pemerintahan Saddam dan apa yang dilakukan sekarang di mana mereka membunuh orang mereka sendiri ketika menentang AS dan tentera bersekutu.
Tetapi apa bezanya antara dibunuh oleh Saddam dan dibunuh oleh tentera AS-Britain dan rakyat Iraq yang lain ketika perang dan penaklukan Iraq. Ataupun apa perbezaannya antara dibunuh oleh tentera AS kerana mereka bertindak balas terhadap penentangan rakyat Iraq dengan jika dibunuh oleh Saddam?
Dan laporan terkini menunjukkan tentera AS dan Britain tidak kurang ganas daripada yang mereka dakwa dilakukan oleh pengikut-pengikut Saddam.
Adalah diragui penaklukan, kemusnahan dan pembunuhan, layanan buruk dan lain-lain akan dapat menyaksikan perubahan rejim dan membentuk negara Iraq yang demokrasi dan aman.
Demokrasi bukannya satu sistem kerajaan yang paling mudah. Dalam sebuah negara yang dibahagikan oleh agama, etnik, demokrasi adalah sistem yang paling sukar untuk berfungsi. Adalah tidak masuk akal untuk berfikir bahawa dengan menukar kepada demokrasi, semua masalah di sesebuah negara akan dapat diselesaikan. Malah tidak masuk akal untuk membunuh dan memusnahkan sesebuah kerajaan bagi melaksanakan demokrasi dari luar.
Tetapi jika AS dan negara-negara sekutu berjaya membawa perubahan rejim di Iraq dengan menggunakan kekuatan tentera, apa akan terjadi ikut urutan yang logik. PBB akan mengisytiharkan negara-negara yang dibenci - terdapat beberapa di antaranya yang boleh dicap bersama negara-negara yang gagal, negara-negara penipu dan anggota paksi kejahatan - sebagai amat memerlukan perubahan rejim.
AS dan negara-negara sekutu terutama penjajah lama seperti Britain sibuk menawan satu demi satu negara untuk melakukan perubahan rejim. PBB menjadi tidak relevan.
Perlunya perubahan rejim dikatakan kerana rejim-rejim ini tidak demokratik. Tetapi adakah sesebuah kerajaan yang dilaksanakan dan diluluskan oleh negara-negara kuasa besar dianggap sebagai demokratik. Jika pilihan raya yang demokratik diadakan dan hanya calon-calon yang pro-AS menang, tidak mungkin kumpulan yang anti-AS akan membenarkan mereka memerintah. Mereka akan dicap sebagai boneka dan diserang. Jadi apa yang telah dicapai hasil perubahan rejim selain kekacauan.
Sebaliknya jika orang yang benar-benar popular dipilih, kemungkinan besar mereka adalah anti-AS. AS akan merasakan perlunya satu lagi perubahan rejim, mungkin melalui penaklukan kedua dan pembunuhan lebih ramai orang, kemusnahan lebih banyak bandar dan kota.
Di Iraq pilihan raya akan menyaksikan kemungkinan puak Syiah berkuasa. Puak Syiah benci kepada AS dan akan menjadi semakin giat menyerang orang AS, sama ada sebelah pihak atau sebaliknya, termasuk serangan keganasan.
Perubahan rejim telah berkesan dalam bentuk demokratik tetapi kerajaan yang dipilih mungkin dilanda kebencian terhadap AS lalu mendorong membangunkan senjata pemusnah besar-besaran untuk menentang rakyat Amerika yang dibenci dan sekutu-sekutunya. Mungkin mereka akan menyokong pengganas dan menyediakan tempat perlindungan untuk mereka.
Adakah mereka akan dibenar berbuat demikian kerana dipilih secara demokrasi oleh rakyat?
Mereka yang percaya boleh menjayakan perubahan rejim dengan kuasa tentera dan membentuk kerajaan berdemokrasi adalah naif dan bodoh. Mereka tidak pernah belajar daripada sejarah peluasan kuasa oleh bangsa Eropah, daripada kemusnahan dahsyat yang ditempa oleh Perang Dunia Kedua, bom atom dan daripada pahit getir perjuangan mereka yang dijajah menuntut kemerdekaan. Mereka masih percaya mereka boleh menggunakan kekejaman untuk menumpaskan serta memerintah negara lain seperti yang pernah dilakukan ketika zaman kegemilangan peluasan kuasa bangsa Eropah.
Pertamanya, mereka mesti tahu bahawa pihak yang menang dalam peperangan tidak lagi boleh memiliki sesuatu wilayah yang boleh diperintah sesuka hati. Kerajaan barangkali akan menyerah, menandatangani perjanjian damai dan menerima tentera pihak yang menang untuk berpangkalan di wilayah mereka. Tetapi penduduk di situ mungkin mempunyai idea lain. Mereka mungkin ingin terus-terusan menentang, menyerang pasukan yang menduduki negara mereka dan terpaksa menerima hakikat mereka terpaksa membayar harga yang tinggi untuk berbuat demikian.
Selain kos yang tinggi untuk meletakkan tentera di negara-negara bekas musuh, pemenang juga terpaksa menanggung kos untuk menentang penentangan tahun demi tahun. Pemenang tidak akan dapat membuktikan apa-apa daripada kemenangan yang dicapai - kecuali keranda yang dibaluti bendera.
Adalah satu kesilapan untuk berfikir bahawa penentangan akan dapat ditamatkan dengan menggunakan kuasa tentera. Ini bukannya tentera biasa yang menerima arahan pegawai-pegawai atasan atau dari kerajaan. Mereka tidak akan terikat dengan perjanjian damai dan sebagainya. Mereka adalah orang berkemungkinan besar disalah anggap berdasarkan matlamat mereka, yang dirangsang oleh kebencian amat sangat terhadap penindas asing.
Penawanan Saddam tidak membantu menghentikan penentangan malah tidak sama sekali mengurangkannya. Penentang semakin berkobar-kobar. Kebencian ekoran pembunuhan Ahmed Yassin dan Abdel Aziz Rantisi turut melimpah di kalangan rakyat. Dan mereka akan bergabung dengan rakyat Palestin dan banyak lagi dari lain-lain negara yang percaya jika AS dan Britain dibenarkan untuk meneruskan agenda perubahan rejim, negara mereka akan menjadi mangsa seterusnya. Mereka mungkin tidak suka kerajaan mereka sendiri, tetapi seperti dalam kes Iraq mereka juga benci AS dan Britain.
Serangan keganasan oleh kumpulan yang luar biasa ini tidak sama perang konvensional. Tidak ada kod kehormatan, juga Konvensyen Geneva. Tidak ada medan perang di mana tentera-tentera berperang untuk menentukan pihak yang menang. Begitu juga tiada kelebihan kuasa senjata api, teknologi ketenteraan yang canggih dan kemahiran komander yang menentukan kejayaan perang.
Keganasan boleh dicetuskan oleh sesiapa, di mana juga menggunakan sebarang senjata yang dapat dicapai oleh tangan. Seseorang boleh ditembak di mana sahaja, di dunia yang jaraknya beribu batu dari negaranya atau dari medan perang. Atau dalam kes Sepanyol sebuah kereta api mungkin dibom.
Berbilion terpaksa diperuntukkan untuk mengawasi stesen kereta api dan bangunan-bangunan pencakar langit, kelab-kelab malam dan sebagainya. Namun tidak ada cara yang membolehkan kesemua dan berjuta yang mungkin menjadi sasaran di dunia ini dilindungi. Dan sasaran, semua sasaran tidak boleh selama-lamanya dilindungi. Ketika keadaan keselamatan reda, serangan mungkin berlaku lagi. Kebencian cenderung untuk meningkat bersama masa.
Adalah penting untuk mengingati bahawa dendam kesumat bertahan sepanjang generasi, lama selepas kejadian sebenar dilupakan. Dan permusuhan yang dicetuskan oleh penindasan secara berterusan, atau penghinaan, atau ketidakadilan akan memburukkan lagi kebencian, keinginan untuk membalas dendam dan tindakan keganasan.
Serangan ganas perlu dibendung daripada menggunung. Cukup sekadar hanya mencipta satu khabar angin mengenai bahaya sesuatu serangan dan akan timbul suasana ketakutan di mana sahaja. Berbilion terpaksa diperuntukkan untuk keselamatan yang lebih.
Pengganas tidak perlu membayar apa-apa untuk khabar-khabar angin tetapi ia boleh mengganggu perniagaan, meningkatkan kos, mengakibatkan kerugian dan melemahkan ekonomi. Namun khabar-khabar angin tidak boleh diketepikan. Serangan ke atas salah satu daripada jutaan sasaran mungkin akan berlaku.
Mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan akan dipersalahkan dan usaha membabitkan kos lebih tinggi terpaksa diambil untuk menyelamatkan jutaan sasaran daripada serangan pada masa akan datang.
Terdapat kemungkinan tidak berlaku sebarang serangan untuk berbulan-bulan atau bertahun-tahun dan wang serta langkah-langkah keselamatan akan dibazirkan begitu sahaja. Tetapi usaha untuk melindungi mesti diteruskan. Marsyal pesawat, pegawai keselamatan di setiap pelabuhan, kapal-kapal yang sedang belayar, penerbangan yang dibatalkan, stesen kereta api yang dikawal, kesemua ini dan banyak lagi akan terus berlaku selagi kekecewaan dan pihak yang ditindas merasa kebencian serta keperitan yang mencukupi untuk mereka membalas dendam terhadap sesiapa yang telah merampas milik kesayangan, tanah, maruah dan kehormatan mereka.
Selain ketakutan yang berkekalan, tiada kebahagiaan bagi penyerang-penyerang antipengganas. Apa gunanya adalah menjadi Presiden bagi sebuah negara paling berkuasa di dunia, jika memerlukan 10,000 anggota polis untuk melindungi anda apabila keluar dari rumah. Adalah amat memalukan sebagai seorang pemimpin popular yang dipilih memerlukan perlindungan sepanjang masa.
Tetapi jika anda menghalalkan pembunuhan kejam anda terpaksa menerima risiko pembunuhan kejam itu. Mereka yang hidup dengan pedang patut mati oleh pedang.
Peperangan di Palestin berterusan sejak tahun 1948. Jika kita prihatin untuk memeriksa konflik ini kita akan mendapati ia semakin meningkat tahun-tahun kebelakangan ini.
Pertama, rakyat Palestin cuba mendapatkan semula tanah air mereka dengan menarik pandangan dunia kepada PBB.
Rayuan mereka tidak diendahkan. Kemudian mereka cuba mencari rakan untuk berperang secara konvensional. Mesir, Syria dan Jordan berusaha untuk menawan semula tanah Palestin dari Israel.
Bangsa Eropah, yang mencipta Israel dalam cubaan mereka untuk menyelesaikan masalah orang Yahudi, mempertahankan Israel dan penduduk Palestin bersama rakan-rakan Arab tewas. Berkali-kali cubaan untuk mendapatkan semula tanah air rakyat Palestin menerusi perang konvensional gagal.
Israel semakin bersemangat oleh kejayaan mereka dan pembelaan yang ditunjukkan oleh bangsa Eropah dan memutuskan untuk menyatukan bumi rakyat Palestin yang telah mereka kuasai.
Negara-negara Arab tidak mahu berjuang dalam peperangan yang tidak mungkin mereka menang. Ini meningkatkan lagi kegetiran yang dialami penduduk Palestin. Sekiranya mereka terpaksa berjuang bersendirian, begitulah jadinya.
Mereka yang memulakan sendiri Intifada. Untuk menarik perhatian dunia, kanak-kanak Palestin membaling batu ke arah kereta kebal Israel.
Ini bukan tindakan keganasan. Kereta kebal tidak sedikit pun cacat dan tentera Israel tidak cedera langsung. Palestin ingat dunia dan PBB akan memberi perhatian serius dan mengambil tindakan.
Tetapi tentera Israel membalas balik dengan melepaskan tembakan menggunakan peluru getah yang mencederakan kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak itu terus membaling batu. Kemudian tentera Israel membalas dengan melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup, mencederakan serta membunuh kanak-kanak terbabit. Kanak-kanak itu masih lagi membaling batu dan tentera Israel memakai pakaian kalis peluru serta membunuh lebih banyak kanak-kanak.
Apa yang dilakukan oleh dunia? Tiada apa-apa. PBB hanya membuat bising yang tidak memberi kesan apa-apa tetapi tidak pernah mengambil tindakan. Penyokong Israel mengutuk Intifada dan kanak-kanak yang membaling batu tetapi tidak melahirkan rasa tidak bersetuju terhadap pembunuhan kanak-kanak Palestin oleh Israel. Pada masa itu belum ada lagi serangan bom berani mati, belum ada lagi Osama bin Laden, belum ada serangan ke atas AS.
Dunia Arab dan dunia Islam bersimpati terhadap Palestin, mengutuk Israel dan merayu AS melakukan sesuatu. Tiada apa-apa yang dilakukan. Sebaliknya Israel semakin berani dan sebenarnya menakluk serta menduduki Lebanon dan sebahagian dari Syria. Dan dunia hanya melihat. Lebih banyak ucapan dibuat di PBB.
Penduduk Arab Palestin, kedua-duanya orang Islam dan Kristian bukan sahaja kehilangan tanah tetapi mereka telah dihalau keluar dari rumah dan ladang serta dipaksa meninggalkan hak mereka untuk menjadi pelarian serta tinggal di khemah tanpa air, elektrik dan kemudahan asas untuk kebersihan.
Orang Yahudi tahu kepedihan yang dialami tinggal di negara orang. Mereka telah bertahun-tahun berusaha untuk kembali ke tanah di mana mereka telah dihalau keluar. Tetapi ketika mereka percaya hak mereka untuk kembali, mereka tidak percaya Palestin mempunyai hak yang sama. Malahan mereka tidak membenarkan langsung Palestin menamakan sebahagian hak milik sah penduduk Palestin sebagai Palestin. Penduduk Palestin seharusnya tidak boleh mempunyai negara sendiri.
Dibuang oleh saudara Arab, saudara seagama dan seluruh dunia, Palestin mungkin harus menerima nasib mereka. Tetapi seperti Yahudi mereka mahu pulang. Sekiranya tidak ada sesiapa yang membantu mereka, jadi mereka akan berjuang sendiri.
Tiada sesiapa patut membenarkan pembunuhan penduduk yang tidak bersalah, begitu juga tindakan keganasan yang terpaksa dilakukan oleh penduduk Palestin yang terdesak. Tetapi tembakan dan pembunuhan kanak-kanak Palestin, pembunuhan pemimpin mereka juga merupakan tindakan pengganas?
Membaling batu oleh kanak-kanak ke atas kereta kebal yang bersenjata tidak akan mengalahkan Israel. Tetapi tindak balas Israel adalah sangat kejam. Oleh itu tindakan keganasan semakin meningkat.
Israel percaya mereka boleh mengalahkan Palestin dengan melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin. Hari ini Israel telah bertindak lebih kejam dengan menembak kanak-kanak kecil. Dengan kebenaran secara senyap dari kerajaan Presiden AS, George Bush, Israel kini melibatkan pembunuhan sebagai polisi.
Lelaki tua yang sakit dan lemah adalah tidak berbaloi dihapuskan oleh roket Israel yang dilepaskan dari helikopter yang diberikan oleh kawannya. Bagi setiap penduduk Israel yang dibunuh, berpuluh-puluh penduduk Palestin dihapuskan, rumah dan kampung mereka dimusnahkan sepenuhnya.
Melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin tidak berjaya dan tidak mungkin akan berjaya. Semangat mereka terlalu kuat. Saya percaya walaupun tinggal seorang penduduk Palestin, beliau akan terus berjuang untuk rumah dan negara dalam bentuk apa sekalipun yang mampu beliau laksanakan. Sekiranya kerajaan Islam takut untuk berjuang bagi penduduk Palestin, jadi rakyat negara mereka akan terus berjuang.
Seseorang tidak akan meletupkan diri tanpa apa-apa sebab, atau kerana rasa kecewa dan hampa pada benda-benda yang kecil. Ia memerlukan rasa marah yang amat sangat bagi seseorang untuk menghempaskan pesawat ke bangunan atau meletupkan diri sendiri dengan bahan letupan yang diikat di badan. Mereka bukan khayal kerana dadah atau minum arak. Mereka semestinya amat marah kerana dimalukan dan penghinaan terhadap agama, bangsa dan pendudukan ke atas tanah mereka. Musuh mereka menyatakan kemiskinan mereka yang menyebabkan mereka meletupkan diri. Ini merupakan cara AS menafikan sebab-sebab perkara itu dilakukan. Orang yang meletupkan pesawat ke Pusat Dagangan Dunia tidak miskin. Mereka sangat kaya dan merupakan penduduk Arab Saudi yang berpendidikan yang mempunyai keluarga dan kawan di dalam masyarakat mereka yang kaya. Dan Osama bin Laden bukan seorang radikal sosialis yang miskin. Beliau boleh hidup dalam kemewahan sekiranya dia memilih cara tersebut. Tetapi beliau telah memilih jalan yang menjadikannya sasaran untuk dibunuh oleh musuh yang diwujudkannya sendiri. Beliau mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Saddam atau Yassin atau Rantisi, tetapi itu tidak akan menghentikan mereka yang tidak mempunyai apa-apa untuk hidup dari meletupkan diri sendiri dan melakukan keganasan di dunia.
Mengapa perkara ini berlaku? Ia berlaku kerana satu-satunya pertubuhan yang dapat membetulkan kesalahan yang dilakukan terhadap mereka yang tidak berdosa, PBB telah gagal. Ia gagal kerana ia telah diculik oleh negara yang amat berkuasa. Ia gagal kerana negara yang berkuasa tidak peduli sesuka hati. Ia akan gagal lagi sekiranya negara yang berkuasa dibenarkan untuk memanipulasi pertubuhan itu dan menggunakan pertubuhan itu dan namanya untuk meneruskan polisi dan objektif mereka.
Keganasan yang dihadapi oleh dunia sekarang akan berterusan. Ia akan berterusan sehingga negara yang berkuasa dikalahkan. Atau apabila negara yang berkuasa kembali sedar. Kita perlu mengakui bahawa letupan bom di dalam kereta api di Madrid telah menyedarkan penduduk Sepanyol. Adalah sesuatu yang malang dalam keadaan ini, tindakan keganasan yang dilakukan telah berjaya. Tetapi jika kita bertekad untuk membuktikan bahawa tindakan keganasan tidak akan berjaya, kita tidak akan melakukan perkara yang betul seperti enggan menghapuskan sebab serangan keganasan, jadi kita akan terus berhadapan dengan tindakan keganasan selama-lamanya.
Di sini saya diingatkan mengenai Teori Domino yang meyakinkan kita bahawa Vietnam Utara mesti dikalahkan tanpa mengira apa cara sekalipun. Tetapi Vietnam Utara tidak dikalahkan. Adakah kita sekarang ini secara domino dikuasai oleh Komunis?
Kita tidak mahu pengganas fikir tindakan keganasan berjaya dengan menyerah kalah atau memilih cara lain untuk menamatkan keganasan. Sekarang lihat dari sudut pandangan mereka, mereka tidak mahu keganasan gagal dan sekiranya ini berlaku mereka akan terus ditekan dan dimalukan.
Saya mengulangi, keganasan tidak sama seperti peperangan konvensional. Senjata canggih malahan senjata nuklear tidak mampu mengalahkan keganasan. Serangan pengganas merupakan bentuk baru peperangan. Ia adalah peperangan mereka yang lemah menentang yang kuat. Selagi terdapat perbezaan ketara di antara negara yang berkuasa dan lemah, akan berlaku serangan pengganas sebagai tindak balas ke atas penindasan dalam semua bentuk oleh negara yang kuat.
Pada peringkat ini adalah perlu untuk menyatakan bahawa peperangan konvensional bukan lagi tindakan yang sah. Penduduk yang terbunuh adalah antara mereka yang bukan anggota tentera dan tidak mampu mempertahankan diri. Mereka takut terhadap bom dan roket seperti mereka yang maut dan cedera dalam serangan pengganas.
Dan kerana peperangan konvensional moden menggerunkan orang ramai ia perlu diklasifikasikan sebagai tindakan pengganas bersama-sama dengan serangan pengganas oleh pengganas yang tidak mempunyai peraturan. Tiada siapa mempunyai hak untuk mengakui mereka adalah betul.
Sebenarnya kita hidup dalam dunia yang primitif. Kita masih bersetuju untuk membunuh orang sebagai alat polisi. Tahap kita terlalu rendah sehingga pembunuhan yang amat memalukan diterima. Kuasa besar membelanjakan wang yang banyak bagi menyempurnakan alat untuk membunuh, sambil menyatakan bahawa inovasi tersebut tidak sempurna dalam serangan terhadap golongan yang takut kepada mereka.
Sehingga dunia mengiktiraf bahawa tidak ada perbezaan di antara keganasan konvensional dan bukan konvensional, dunia tidak akan aman. Semua bentuk keganasan perlu dihentikan. Dan ia hanya boleh dihentikan sekiranya kita kembali ke meja rundingan untuk mengenal pasti sebab semua tindakan keganasan dan menghapuskannya.
Dalam proses ini hanya PBB yang demokratik dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan adil dan menamatkan semua bentuk keganasan.
Oleh kerana kuasa besar yang menjadikan PBB tidak berkuasa melalui tindakan tidak demokratik, maka mereka yang perlu dipersalahkan, dan mereka perlu melakukan perubahan pada diri sendiri dan menyumbang kepada persidangan penyelesaian konflik secara demokratik yang dianjurkan oleh PBB.
Saya telah diminta untuk menyampaikan ceramah mengenai `Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Orde Baru Dunia'. Pada masa ini tidak ada Orde Baru Dunia hanya Orde Lama Dunia di mana kekuatan dianggap benar dan mereka hanya mementingkan diri sendiri.
Utusan Malaysia::12/5/2004
Wednesday, May 12, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment