Wednesday, August 03, 2005

Persepsi ke atas pembinaan Melayu Unggul

Oleh Sapora Sipon
Sesuatu yang menarik mengenai ucapan penggulungan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung UMNO ialah gambaran Frank Swettenham mengenai orang Melayu. Gambaran penulis-penulis asing di zaman penjajah mengenai orang Melayu lebih banyak bersifat negatif.
Ciri negatif orang Melayu juga dikongsi oleh Sir Thomas Stamford Raffles apabila beliau mengatakan orang Melayu tidak mempunyai tahap perkembangan intelektual yang tinggi.
Penulis-penulis lain seperti Tom Pires, Francois Valentyn juga tidak banyak membantu dalam memberikan gambaran positif mengenai Melayu.
Benarkah Melayu berperibadi lemah dan jika benar kaum ini digambarkan sebagai lemah, bagaimanakah gambaran negatif ini dapat membantu dalam membentuk personaliti Melayu Unggul (towering personality) seperti yang diidam-idamkan?
Bagaimana pula kaitannya dengan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dijelmakan sebagai Agenda Nasional Baru (ANB) dan dilontarkan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan bidang profesional masih lagi belum mencapai tahap yang diinginkan oleh DEB.
Sama ada senario ini disebabkan oleh kesan peninggalan penjajah ataupun ia berpunca daripada sikap orang Melayu yang digambarkan sebagai negatif amat menarik untuk diperbincangkan.
Apa pun sebabnya, orang Melayu tidak lagi mampu untuk dilihat sebagai bangsa yang lemah.
Keperluan untuk bangkit dan mempunyai keperibadian sebagai satu bangsa yang unggul dan mempunyai jati diri yang kuat adalah penting demi membuktikan bahawa gambaran negatif yang diberikan kepada orang Melayu adalah hanya satu tanggapan dan prasangka buruk pihak-pihak yang mempunyai agenda tersendiri.
Keperluan mempunyai Melayu Unggul adalah juga untuk menentukan kelangsungan bangsa yang merdeka dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia.
Kejayaan membina Melayu Unggul adalah juga hadiah istimewa kepada generasi-generasi yang akan datang yang akan juga diharapkan dapat terus mempertahankan dan mengunggulinya.
Perbezaan ketara dalam bidang ekonomi dan pendidikan di antara Melayu dengan bangsa lain memerlukan kepada mekanisme yang dapat merapatkan jurang tersebut.
Mencari kesamarataan sosioekonomi dalam masyarakat yang berbilang adalah penting dalam usaha mencari keharmonian.
Kegagalan untuk merapatkan jurang ini boleh membawa kepada perkara yang lebih buruk seperti pertelingkahan antara kaum.
Segala apa yang dilakukan pada masa kini akan memberi kesan kepada generasi akan datang.
Oleh itu, pembinaan bangsa perlu sentiasa berterusan dilakukan. Melayu perlu sentiasa berusaha gigih membina bangsa yang unggul untuk dinikmati dan terus diungguli oleh generasi akan datang.
Pembinaan Melayu Unggul bukanlah mudah. Tetapi ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka membuktikan bahawa orang Melayu boleh maju dan menjadi tersohor.
Tersohor
Ramai juga orang Melayu yang tersohor dalam bidang masing-masing. Ini boleh dijadikan sebagai batu pengukur bahawa jika orang Melayu mempunyai keinginan kuat untuk berjaya, menjadi personaliti yang unggul bukanlah sesuatu yang mustahil.
Walaupun tokoh-tokoh di waktu zaman kolonial banyak memberi gambaran negatif mengenai orang Melayu, terdapat juga tret positif mengenai Melayu diberikan oleh mereka.
Meminjam kata-kata positif daripada Swettenham, walaupun orang Melayu menolak untuk bekerja keras, jika orang Melayu menaruh minat dalam melakukan sesuatu pekerjaan, orang Melayu akan melakukan dengan baik sekali dan akan berjaya.
Orang Melayu akan melakukan tugas tersebut dengan sifat tabah dan berani. Kerja ini akan dilakukan dengan penuh kegembiraan.
Orang Melayu akan sanggup menghadapi sebarang kesukaran jika orang Melayu mempunyai kemahuan untuk melakukan sesuatu perkara.
Sifat-sifat positif ini boleh dijadikan sebagai potensi yang boleh dikembangkan dan digunakan sebaik mungkin untuk mewujudkan Melayu yang gemilang.
Ciri positif ini memungkinkan mewujudkan Melayu yang akan terkenal di peringkat antarabangsa.
Lantaran itu, orang Melayu perlu memberi fokus kepada usaha menjayakan semangat DEB dengan penuh yakin bahawa ia bertujuan untuk kebaikan semua bangsa di negara ini.
Proses pembinaan sesuatu bangsa yang berperibadi unggul akan mengambil masa. Selain daripada itu, sokongan juga diperlukan dalam membina bangsa yang unggul.
Namun, proses pembinaan bangsa ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Usaha yang bersungguh-sungguh melalui semangat, usaha, penguasaan ilmu, kemahiran, berjati diri perlu.
Peranan pemimpin untuk sentiasa mengingati orang Melayu untuk mengamalkan ciri-ciri yang menyumbang kepada pembinaan bangsa yang unggul amat perlu dilakukan.
Selain daripada itu, pemimpin-pemimpin perlu ikhlas dalam membantu menjadikan bangsa Melayu berjaya dalam bidang-bidang yang ketinggalan.
Salah satu ciri yang diberikan digambarkan oleh Swettenham mengenai orang Melayu ialah mereka memandang tinggi kepada pemerintah.
Melayu seperti mana yang digambarkan oleh Frank Swettenham merasa bangga dan sayangkan tanah airnya.
Selain daripada itu, orang Melayu juga amat menghormati raja dan pemerintahnya.
Oleh itu, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin amatlah tidak wajar dipersia-siakan.
Kejayaan orang Melayu untuk berperibadi unggul memang sukar tetapi ia tidak mustahil.
Proses pembinaan Melayu unggul akan mengambil masa tetapi ia boleh dicapai untuk orang Melayu berdiri megah sebagai bangsa yang gah dan dihormati dunia.
Apa pun anggapan dan persepsi luar terhadap orang Melayu, ia jangan sekali-kali dijadikan alasan untuk tidak boleh menjadi bangsa yang maju. Anggapan dan kata-kata negatif terhadap Melayu perlu dijadikan semangat untuk menjadi bangsa yang kuat.
Kegagalan mencapai sasaran DEB juga bukanlah penamat kepada kegagalan orang Melayu.
Kaum Melayu perlu lebih gigih bekerja dan semoga semangat DEB akan terus membara dalam jiwa orang Melayu.
- Sapora Sipon ialah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

1 comment:

gardeenejacin said...

CaesarsCasino.com New Orleans Hotel & Casino - Mapyro
Address: 151 N. Louisiana Blvd. East 제천 출장마사지 Baton Rouge, LA 70130 Caesars Palace Casino 거제 출장샵 & Hotel 익산 출장마사지 & Resort is the 동두천 출장샵 premier destination on the 강원도 출장안마 Louisiana river.