Monday, August 29, 2005

Pengguna Islam tidak bersatu tangani isu makanan halal

Mukadimah

Soal halal haram makanan untuk orang Islam menjadi isu yang semakin diperkatakan. Atas kesedaran itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membangunkan konsep Muslim Friendly Organization Award (MFO) bagi menjamin tahap halal dan peningkatan ekonomi masyarakat Islam. Penolong Pengarang Berita, Berita Minggu, AZRAN JAFFAR menemui Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan untuk menerangkan lebih lanjut perkara ini.

Mudah diperguna MFO dibangunkan bagi menjadikan organisasi perniagaan mempunyai formula baik kepada orang Islam tidak kira sama ada mereka pengguna/pelanggan atau pembekal. Juga organisasi yang terbuka serta peka kepada masyarakat Islam. Fokus kita adalah organisasi bukan Islam seperti pengusaha restoran, yang mendapat sijil halal, tetapi kebanyakan pelanggannya terdiri daripada orang Islam. Selain itu, kita juga hendak memberikan keuntungan ekonomi kepada masyarakat Islam.

Contohnya kalau kita makan di hotel. Kebanyakan hotel diiktiraf sebagai halal, walaupun sebenarnya tidak sepenuhnya halal kerana ia turut menyediakan arak dan apa yang dikira, selain arak semua yang ada di situ halal. Orang Islam turut mengadakan majlis di hotel seperti perkahwinan dan majlis makan malam persatuan atau syarikat.

Bagaimanapun, daripada berbelas ribu ringgit yang dibelanjakan oleh orang Islam untuk majlis di hotel berkenaan, apakah keuntungan yang diberikan kepada orang Islam lain. Dari segi makanan memang tak ada masalah kerana ia halal. Tetapi, adakah bekalan bahan makanan untuk majlis itu diambil oleh pemilik hotel berkenaan dari orang Islam? Keadaan sebegini menyebabkan orang Islam terus berada dalam perangkap ekonomi. Kerana mereka tidak ambil (bekalan) dari orang Islam jadi tidak ada manfaat kepada orang Islam selain makan.

Dalam soal formula baik kepada orang Islam apa yang ditekankan MFO adalah organisasi yang terbuka serta sensitif kepada orang Islam. Sebagai contoh, situasi dalam sebuah pasar raya besar. Pada masa dulu ia ada bahagian yang menjual makanan berasaskan babi di premisnya. Disebabkan ada nasihat serta perbincangan dengan pihak kita, dia buat satu kawasan khas di luar pasarayanya, macam satu kedai asing.

Ada hotel tiada surau

Organisasi ini ada nilai MFO yang mana ada simpati, dia sensitif dan membuat mengikut apa yang kita perlu – tidak lagi menempatkan pekerja Islam di sana, juga di bahagian yang menjual arak. Dalam hal ini, apa yang kita boleh katakan, orang Islam akan memberikan mereka perniagaan, tetapi dengan syarat mereka juga menghormati keperluan kita, seperti menyediakan surau. Kalau kita lihat, sesetengah hotel, surau pun tak ada tetapi ia menyediakan bufet buka puasa pada Ramadan dan yang penuh adalah orang Islam. Tidak munasabah tempat yang dikunjungi orang Islam tidak disediakan kemudahan seperti itu.

Macam sesetengah restoran, pembekal Islam nak masuk dalam perniagaan mereka pun susah. Itu sebabnya peniaga Islam tidak maju. Kita mahukan organisasi yang prihatin. Bagi pelanggan Islam, jika tidak ada satu konsep seperti MFO ini, yang membolehkan mereka datang makan, mungkin nasib pembekal Islam tidak terbela malahan nasib mereka juga. Sebagai contoh, ada sejenis mi yang dibuat oleh orang Islam yang kualitinya bagus tetapi tidak tahan lama kerana tidak dicampur dengan bahan pengawet.

Bagaimanapun ada mi yang dihasilkan pengusaha lain yang tahan lama kerana dicampur pengawet. Disebabkan itu dia boleh buat banyak dan kosnya kurang. Mi yang tidak ada bahan pengawet kosnya mahal. Bagi pengusaha restoran, dia nak cari mi yang tahan, tetapi sebagai pengguna kita tak mahukan yang begini. Kita mahukan yang sedap tetapi tidak ada bahan pengawet, dan halal.

Panel Syariah

Kita harapkan dengan adanya MFO orang Islam akan dapat membabitkan diri dalam sesebuah organisasi. Sebagai contoh, ada sebuah buku panduan mengenai tempat makanan halal tetapi 95 peratus dimiliki oleh bukan Islam. Satu contoh lain, Pak Arab yang datang ke sini, bila tiba waktu makan dan tengok ada banyak restoran, contohnya yang jual nasi ayam, tetapi disediakan oleh bukan Islam. Masalahnya, bukan sebab Islam tak Islam, tetapi sebagai pengguna kita tak mahu tertipu. Apabila pergi, tengok halal dan kita makan. Kalau halal, halallah, tetapi berapa banyak restoran yang dahulunya halal, lepas tu dah tak halal.

Jadi dengan MFO ini kita harapkan organisai ini wujudkan panel syariah atau Lembaga Pengarahnya ada seorang dua orang Islam yang boleh memerhatikan perkara halal haram, seperti polisi pembelian. Syarikat besar mungkin dia lebih prihatin kerana tidak mahu perniagaan mereka terjejas. Dalam satu kajian yang dibuat oleh Jakim terhadap 58 buah kedai, hanya tiga kedai yang mendapat bekalan di tempat yang disahkan halal. Tidakkah pengguna berasa ditipu? Ada restoran yang mempunyai banyak produk makanan tetapi tidak satu pun bekalannya datang dari orang Islam, tetapi pelanggannya adalah orang Islam.

Di PPIM kita hendak perkara ini ditekankan dan dijadikan realiti supaya ada pembabitan orang Islam dalam pelbagai aspek. Bukan setakat makanan itu saja halal, juga harus memberi keuntungan kewangan dan ekonomi kepada orang Islam. Dengan adanya MFO ini, orang Islam yang datang ke sesebuah restoran itu misalnya akan puas hati kerana faham premis itu sensitif terhadap keperluan orang Islam, yang faham, tidak menipu dan ambil senang kerana kita ada pasukan audit yang akan memantau. Apa yang kita hendakkan ialah pembabitan orang Islam di mana yang mungkin dalam sesebuah organisasi itu. Sebagai contoh, di sesebuah restoran pemantaunya mungkin bilal atau siak yang ada di kawasan itu. Dia akan datang memantau mengikut kesesuaiannya dan berdasarkan garis panduan yang kita beri. Sebagai contoh, ada sejenis sos, dengan tulisan jawi pada botolnya, dengan warna hijaunya, ada logo halal lagi, orang mungkin sangka ia memang halal, tetapi ia bukan buatan di sini, cuma dipek di sini. Jadi penipuan itu ada di mana-mana. Sedangkan orang yang berjaga kena tipu apa lagi orang yang tak tahu, yang tak faham. Perkara ini yang kita harus peka.

Juga, dalam perniagaan apa yang orang Islam boleh berjaya? Kita ambil contoh gerai tomyam. Ada 14,000 peniaga di Kuala Lumpur, tetapi yang kaya siapa? Pembekal sos, pembekal mee, dan perniagaan yang kita lakukan adalah untuk menghidupkan mereka. Kita akan berbalik kepada konsep Kapitalis dan inilah sistem yang berlaku.

Dasar tidak menekan

Dalam menganugerahkan MFO kepada organisasi, apa yang kita perhatikan adalah dasar atau asas syarikat berkenaan. Maknanya ia mesti betul, bukan untuk menekan dan pemiliknya juga kena faham. Dulu, ada satu kedai yang beli ayam mati. Jadi dari segi dasar kita mesti bekerjasama dengan pemilik gerai/restoran. Dari segi perkongsian bermakna dia mesti terbuka untuk hidup bersama dan hormat menghormati. Ini kadang-kadang pekerja nak pergi sembahyang pun tak boleh. Mereka juga tidak boleh menekan pembekal orang Islam, kena mencari. Ini yang kita hendak, dengan itu kita pun seronok hendak menyokong mereka. Perkara ini kena sama-sama, kerana pengguna Islam walaupun mereka tidak bijak, walaupun dia lemah, tetapi kuasa mereka kalau kita buat keputusan tak nak beli, kedai boleh tutup. Macam ada satu kedai, kerana tidak sensitif terhadap masyarakat Islam akhirnya kedai itu tutup, kilangnya pun tutup. Dia tidak akan dapat bangkit lagi kerana jika pengguna sudah marah, mereka akan ambil tindakan. Amaran kita amat terang, jika mereka sensitif kita akan sokong, kalau menekan, menipu kita akan mengambil tindakan sewajarnya. Pengguna tidak mahu terus diperguna.

Bekalan kurang


Memang benar dari segi mendapatkan bekalan, orang Islam kurang terbabit dalam bidang ini, tetapi mereka (pemilik restoran) kena cari yang mana boleh. Kita pun tak harapkan semua. Kalau dari 3,000 barang yang mereka perlu dalam operasi mereka, orang Islam pun tidak mampu nak sediakan semua, tetapi mereka kena ambil mana yang boleh dulu. Jadi peratusan perbelanjaan bulanan itu harus pergi kepada masyarakat Islam.

Dari segi harga pula, tidak boleh disuruh berlawan harga. Saya nak beritahu, ada satu sos yang dihasilkan syarikat bukan Islam (A) dijual lebih murah daripada yang dihasilkan oleh orang Islam (B), dua-dua ada tanda halal. Adakah tanda halal itu membantu perniagaan orang Islam? Tetapi sos A tidak dibuat di sini serta menggunakan pengawet, jika ini keadaannya (dengan harga yang ditawarkan lebih murah) lama kelamaan B akan tutup kedai. Bermakna apa yang dibuat oleh orang Islam kena diambil dulu. Kita juga akan adakan senarai pembekal Islam. Kita bukan hendak banyak pun, setakat 30 peratus saja.

Bagi pembekal Islam pula... ini juga satu kelemahan kita kerana tidak ada arah tuju... mereka pun, tak bolehlah... kita beli barang dari dia, tetapi dari segi organisasi perniagaan pula, mereka gunakan misalnya, khidmat peguam bukan Islam. Ini bermakna mereka juga ada tanggungjawab dan dapatkan keperluan mereka pula dari orang Islam.

Untuk keluarkan orang Islam dari kepompong kemiskinan, kita kena kerja bersama. Sama-sama kena faham, orang bukan Islam kena faham dan orang Islam sendiri kena lebih faham, kena ambil kefahaman untuk menolong. Konsep ini kita ambil dari negara asing juga. Contoh, masyarakat Korea di negara ini, bilangan mereka tak ramai, tetapi mereka sudah ada pasar raya sendiri, tetapi mana pasar raya orang Islam? Tak ada, kerana orang Islam tak kisah. Orang Jepun misalnya, kalau nak beli benda kecil pun mereka akan ke Sogo walaupun tinggal di Ampang.

Apa yang dibuat oleh PPIM bukan untuk mendahului agensi kerajaan seperti Jakim tetapi melengkapi agenda masyarakat untuk kebaikan umum. Sebagai contoh di restoran yang diusahakan bukan Islam, adakah orang Islam boleh masuk (untuk jadi pembekal)? Sebab itu pengguna Islam kena bijak. Dalam proses penganugerahan MFO kita mengumpul syarikat yang berminat. Mungkin tidak banyak buat permulaan, tetapi lama kelamaan ia akan jadi budaya.

Dari segi pemantauan, kita tak ada masalah kerana orang kita ramai. Ustaz kita ramai, pelajar-pelajar lulusan universiti Islam luar negara pun ramai. Kita ambil contoh ada syarikat yang mendapat keuntungan berlipat ganda kesan daripada memperoleh sijil halal dikeluarkan Jakim tetapi apa yang orang Islam dapat? Dalam soal pengangkutan, dia tak beri kepada syarikat orang Islam. Ini yang kita katakan sebagai kurang mesra.

Bermakna dia kena bagi sebahagian. Sebagai contoh mereka hanya ada panel syariah dalaman, tetapi tidak ada luaran. Walaupun ada panel syariah, tetapi kadang-kadang yang bergaji (dalaman), dia nak bercakap pun tak boleh.

kalau luaran ini kalau dia tak buat kerja, kalau apa-apa dialah tanggung. Kita bukan hendak beri tekanan kepada syarikat, tetapi pentingkan kepada kerjasama.

Mingguan Malaysia, Ahad 28 Ogos 2005

No comments: