Monday, August 01, 2005

Kerajaan sudah beri banyak petanda, amaran

Minda Pengarang:

HARGA runcit diesel dinaikkan 20 sen lagi seliter, petrol naik 10 sen seliter dan harga runcit gas petroleum cecair (LPG) bertambah lima sen satu kilogram, berkuat kuasa awal semalam. Begitu pun, dengan kenaikan itu, harga petrol di Malaysia masih lagi murah berbanding semua negara Asean kecuali Brunei. Bagi diesel, harga di Malaysia paling rendah kecuali dibandingkan dengan Indonesia dan Brunei. Kenaikan harga itu tidak mengejutkan kerana sebelum ini kerajaan sudah memberi banyak petanda dan amaran terpaksa berbuat demikian berikutan perkembangan semasa dalam industri berkenaan. Tindakan itu terpaksa dilakukan, terutama dalam usaha kerajaan menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia dan untuk membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggungnya. Ia juga lanjutan daripada keputusan kerajaan 5 Mei lalu untuk mengurangkan secara berperingkat subsidi petroleum, yang pada tahun ini mencecah sekurang-kurangnya RM7.6 bilion jika harga tidak dinaikkan. Melalui kenaikan ini, kerajaan dapat menjimatkan subsidi sebanyak RM1 bilion menjadikan jumlah subsidi tahun ini kepada RM6.6 bilion. Kewajaran langkah itu menjadi ketara kerana subsidi petroleum dan cukai yang dikorbankan pada tahun ini akan berjumlah RM14.5 bilion walaupun selepas kenaikan harga yang terbaru ini. Sejak 2004, kerajaan menanggung subsidi produk petroleum yang semakin meningkat dan beban tanggungan subsidi yang direkodkan pada tahun itu saja berjumlah RM4.8 bilion. Sebenarnya, bukan hasrat kerajaan sengaja mahu membebankan rakyat dengan kenaikan itu. Justeru, rakyat perlu memahami bahawa kerajaan tidak boleh memberi subsidi secara berterusan dan semua pihak secara kolektif harus memikul bersama beban kenaikan harga barangan berikutan kenaikan harga minyak dunia. Kita yakin selaku warga prihatin, menjadi tanggungjawab semua pihak turut menanggung kesan kenaikan harga petroleum tanpa terus bergantung kepada kerajaan. Kerajaan sebelum ini pun, beberapa kali memberi jaminan tidak akan memberhentikan pemberian subsidi keseluruhannya, tetapi pada masa sama, tidak bersedia untuk terus membiayai subsidi yang kian meningkat. Justeru, kenaikan harga pasaran secara berterusan akan bermakna bahawa subsidi yang diberikan kerajaan tidak dapat dilindungi selama-lamanya.Melalui pengalaman apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan pembakar itu, akan disusuli dengan kenaikan harga dalam perkhidmatan dan barangan secara rasmi atau tidak rasmi. Pengguna yang bakal menerima kesan akibat sikap pihak tidak bertanggungjawab dan mahu mengaut keuntungan dengan mendakwa kos operasi mereka meningkat berikutan kenaikan bahan itu. Justeru, pihak berkuasa perlu memastikan tiada peniaga yang cuba mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya. Dalam menghadapi kesan kenaikan harga minyak, masyarakat juga perlu lebih bijak dalam mengurus dan bertanggungjawab dalam perbelanjaan harian, termasuk bijak dalam membuat pertimbangan berasaskan maklumat. Semua pihak juga perlu memikirkan cara untuk menjimatkan kos operasi masing-masing dan mengelakkan pembaziran dalam mengimbangi kesan kenaikan bahan itu.

Berita Harian, 1/8/2005

No comments: