Sunday, July 17, 2005

Letupan di London: Banyak persoalan belum berjawab

Oleh: LOKMAN OTHMAN
SEMALAM perhatian seluruh dunia sekali lagi tertumpu di United Kingdom selepas London yang sebelum itu dikejutkan dengan siri-siri letupan bom yang mengorbankan puluhan nyawa.
Edinburgh, Scotland telah dipilih sebagai lokasi pelancaran novel siri keenam Harry Potter bertajuk Harry Potter and Half Blood Prince.
Siri karya ibu kepada tiga anak, JK Rowling ini memang dinanti-nantikan oleh peminat di seluruh dunia.
Tidak hairanlah novel tersebut dijangka mencipta satu lagi fenomena istimewa apabila dikatakan mampu dijual sehingga 10 juta naskhah dalam tempoh 24 jam selepas ia dilancarkan.
Seperti juga kejadian di London, Harry Potter juga memaparkan unsur-unsur ganas dan paling istimewa ia turut disulami dengan dunia sihir.
Sesungguhnya, keganasan merupakan unsur persamaan di antara novel tersebut dengan apa yang berlaku di London.
Cuma novel tersebut memaparkan kisah-kisah imaginasi manakala di London, letupan dan kematian akibat daripadanya adalah realiti.
Dalam Harry Potter, penyelesaian yang dilaksanakan adalah melalui kuasa sihir manakala usaha menyelesaikan kes di London memerlukan penyiasatan mendalam.
Hari ini telah 10 hari kota London atau ``dunia kecil'' digegarkan beberapa siri letupan bom.
Sasarannya ialah tiga stesen kereta api bawah tanah dan sebuah bas dua tingkat.
Di London - dengan rangkaian Al-Qaeda terus menghantui Barat - tempat-tempat seperti stesen kereta api bawah tanah dianggap bom jangka.
Memang benar, anggapan tersebut ada benarnya. Akibat siri-siri letupan tersebut sehingga 55 disahkan terbunuh manakala ratusan lagi cedera.
Mengesahkan mayat bukan persoalan besar. Persoalan penting setelah kejadian itu ialah mencari punca dan mereka yang bertanggungjawab melakukannya.
Persoalan tersebut begitu mencabar buat Britain, lebih-lebih lagi pasukan polisnya yang selama ini terkenal di peringkat antarabangsa dalam menyelesaikan kes-kes jenayah.
Tetapi setelah masuk 10 hari kejadian itu, pencarian mereka dalam merungkai persoalan-persoalan itu masih jauh daripada jawapan.
Apa yang mampu pihak berkuasa Britain membuat kesimpulan setakat ini ialah, kesemua letupan tersebut berpunca daripada serangan-serangan berani mati.
Penyerang-penyerang tersebut lantas dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda yang dipimpin Osama bin Laden.
Malangnya sehingga hari ini pun, dakwaan-dakwaan tersebut tidak berjaya dibuktikan.
Pihak berkuasa hanya dapat menyenaraikan mereka yang dipercayai terbabit. Mereka ialah Hasib Hussain, Mohammed Sadique Khan, Shahzad Tanweer dan Lindsey Jamal. Tiga yang pertama ialah rakyat Britain keturunan Pakistan manakala yang keempat berketurunan Jamaica.
Satu lagi nama yang diedarkan oleh pihak polis ialah orang yang disyaki pembuat bom iaitu Magdi El-Nashar, berketurunan Mesir.
Orang yang dikatakan dalang kepada siri-siri letupan itu masih belum diketahui.
Pokoknya kesemuanya muda belaka.
Kegagalan polis setakat ini ialah membuktikan bahawa keempat-empat nama tersebut memang mempunyai hubungan dan mengatur kejadian-kejadian itu secara bersama.
Satu lagi persoalan ialah adakah mereka bergerak secara bersendirian atau memang diarah oleh rangkaian Al-Qaeda.
Berdasarkan kepada laporan-laporan sukar untuk menyimpulkan kesemua nama tersebut bertanggungjawab.
Magdi sendiri menafikan keterlibatannya. Pendiriannya disokong oleh pihak berkuasa Mesir.
Mereka mendapati bahawa saintis Mesir itu tiada kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda.
Menteri Dalam Negeri Mesir, Habib Al-Adly menegaskan laporan media mengenai Magdi, 33, tidak berasas dan hanya merupakan kesimpulan yang dibuat secara tergesa-gesa.
Jika benarlah kesemua penama tersebut terbabit dan menjadi penyerang berani mati, ia tetap sukar untuk diterima. Selain muda, tiada rekod yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan-kegiatan pengganas.
Magdi sendiri ialah seorang saintis yang masih ghairah mencapai kejayaan dalam bidang biologi dan enzim di Britain.
Hasib pula dianggap seorang pemuda yang budiman serta penyayang manakala Sadique pula memiliki rekod yang baik sebagai seorang guru.
Justeru apakah sebenarnya faktor yang berjaya mencabut ciri-ciri murni tersebut sehingga mereka menjadi seorang yang memiliki ``ideologi jahat'' seperti yang dilabelkan oleh Perdana Menteri, Tony Blair?
Atau adakah di sebalik teori-teori siasatan, keempat-empat yang dikatakan penyerang berani mati itu sebenarnya adalah antara puluhan yang menjadi mangsa?
Adakah mereka menjadi ``kambing hitam'' semata-mata?
Adakah mungkin ada nama-nama lain yang bertanggungjawab tetapi gagal dikesan pihak berkuasa London?
Begitupun satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah betapa siri-siri letupan tersebut bagaikan dirancang baik.
Ia berlaku pada hari yang sama, jarak masa yang hampir sama, berlaku di tempat tumpuan awam, menggunakan bahan letupan berkeupayaan tinggi dan canggih dan kesemua penama berkenaan beragama Islam.
Pokoknya, benarkah mereka penyerang berani mati? Akhbar Mirror melontarkan beberapa persoalan:
l Mengapa keempat-empat suspek sanggup mengebom diri sendiri sedangkan mereka membeli tiket pergi dan balik untuk menaiki kereta api bawah tanah ke Luton?
l Jika mereka mahu menamatkan nyawa sendiri di stesen kereta api atau dalam bas, mengapa mereka membeli dan memaparkan tiket untuk meletakkan kereta?
l Mengapa tiada laungan ``Allahu- akbar'' yang sering dilakukan ketika suspek ingin melancarkan serangan berani mati?
l Mengapa bom diletakkan dalam beg yang mudah ditinggalkan di mana-mana sahaja tetapi tidak dilekatkan di badan-badan mereka sahaja?
l Mengapa bom tersebut dipasangkan alat jangka masa jika ia adalah serangan berani mati?
l Mengapa suspek-suspek berkenaan membawa bersama mereka lesen memandu, kad-kad bank dan beberapa barangan peribadi lain ketika melakukan serangan berani mati?
Bukankah pengebom berani mati tidak akan membawa apa-apa barangan yang mampu menyebabkan identiti mereka dikenal pasti?
l Mengapa Hasib Hussain meletupkan bom yang dibawanya di belakang aras atas bas nombor 30 dan bukan di tengah-tengah aras bawah bas berkenaan di mana letupan itu tentunya akan mengakibatkan kemusnahan lebih besar?
l Mengapa Lindsey Jamal perlu terlibat dalam serangan berani mati sedangkan isterinya, Samantha Lewthwaite dijangka akan melahirkan anak mereka yang kedua beberapa hari sebelum serangan di London tersebut?
l Mengapa Mohammed Sadique Khan mahu menjadi penyerang berani mati sedangkan isterinya, Hasina juga sedang hamil?
Sesungguhnya, kejadian yang menimpa penduduk London pada 7 Julai lalu dan masyarakat Harry Potter yang juga dipercayai mendiami satu lokasi tersembunyi di sekitar England mempunyai persamaan - menderita akibat kekejaman pengganas dan ahli sihir.
Kebetulan pula kereta api King Cross yang digunakan oleh masyarakat Harry Potter sama dengan nama King Cross yang merupakan salah satu daripada tiga stesen kereta api bawah tanah di London yang terbabit letupan bom.
Apa yang pasti Harry Potter, seorang budak ahli sihir baik merupakan penyelamat kepada dunianya tetapi di London, pasukan polislah yang menjadi penyelesai masalah.
Bagaimanapun, pasukan polis London memerlukan lebih daripada pencapaian Harry Potter. Mereka tiada kuasa sihir tetapi memerlukan semangat yang tinggi dan ketajaman pemikiran yang tinggi dalam menyiasat seterusnya menyelesaikan kes letupan London.

Utusan malaysia: 17/7/2005

No comments: