Sunday, July 17, 2005

Kredibiliti barisan Majlis Tertinggi

Selepas heboh-heboh tentang politik wang dalam pemilihan yang lepas, bagaimanakah Datuk Seri menilai prestasi ahli-ahli Majlis Tertinggi serta Exco dalam sayap parti?
ABDULLAH: Mereka bekerja, dan saya harap mereka bekerja lebih kuat lagi. Masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki.
Adakah dakwaan tentang rasuah politik menjejaskan kedudukan MT?
ABDULLAH: Mungkin apa yang berlaku itu sudah tidak lagi diambil kira. Tengoklah dalam pemilihan sekali lagi (2007) nanti.
Tetapi orang melihat sedikit sebanyak para pemimpin ini ada masalah kredibiliti. Isu rasuah politik ini menjadi bahan perbualan umum. Kita tahu kerana tidak ada bukti mereka tidak dikenakan tindakan.
Bagaimanakah Datuk Seri rasa barisan MT ini dapat berfungsi dengan berkesan dan dihormati sekiranya ia dibayangi dengan masalah rasuah politik?
ABDULLAH: Kalau pemimpin itu masih dibayangi dengan persepsi seperti ini mereka sebenarnya payah hendak bekerja, payah hendak mendapatkan kerjasama kerana orang ada suatu perasaan yang lain terhadap mereka. Ini akan menjadi satu masalah.
Datuk Seri sendiri bagaimana? Kita jangan lupa tiga menteri Kabinet kalah dan orang yang tidak dijangka menang, menang dan duduk di atas. Sekarang ini bayangannya sudah jelas tetapi Datuk Seri terpaksa bekerja dengan barisan itu.
ABDULLAH: Kalau kita sudah diberikan amanah untuk memimpin dan orang lain juga diberikan amanah untuk bekerja, kita terpaksa terima.
Saya tidak boleh kata saya tidak boleh bekerja dengan golongan itu (yang rasuah politik). Nanti orang akan tanya apa bukti saya? Kalau kita ada persepsi bahawa mereka itu rasuah dan kita tidak boleh kerja dengan mereka, tidak kena juga kerana mereka telah dipilih.
Saya perlu juga menghormati pemilihan dalam parti walaupun kita dengar berbagai-bagai rungutan dan dakwaan tentang politik wang yang berlaku.
Kalau kita tidak boleh bekerjasama tidak selesai masalah juga. Kita perlu bekerjasama kerana sekurang-kurangnya pada zahirnya kita ada matlamat yang perlu dilaksanakan, tanggungjawab yang telah diperjelaskan. Itu yang perlu ada pada kita.
Secara terbuka dan disedari, kita kena sama-sama buat kerja. Walau apa keadaan pun kita kadang-kadang kena percaya kepada sesetengah orang.
Sistem yang mencetuskan keadaan seperti ini yang perlu kita perbetulkan. Saya tidak boleh kata ``kalau saudara semua pilih orang seperti ini saya tidak boleh bekerja.''
Habis saya hendak kerja dengan siapa?

Utusan malaysia: 17/7/2005

No comments: