Wednesday, May 12, 2004

Usaha menjayakan Pelan Integriti Nasional

Oleh Kassim Ahmad

BARu-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan sebuah cita-cita nasional yang besar dalam bentuk Pelan Integriti Nasional (PIN) mungkin sama besar dan sama penting dengan Wawasan 2020 yang telah dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelan ini bertujuan untuk membangunkan sebuah masyarakat Malaysia yang bermoral iaitu mempunyai kesedaran moral yang tinggi tentang baik dan jahat serta suatu kompas moral untuk menunjuk jalan ke hadapan bagi rakyat.

Tidak syak lagi, ia suatu cita-cita nasional yang amat tinggi. Ramai rakyat kita bersetuju dengannya. Malah, kita boleh mengatakan bahawa mandat besar yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang lalu persis kerana mereka hendak memberi suatu peluang baru kepada UMNO dan BN untuk mencapai visi Abdullah yang mereka yakin mahu menghapuskan rasuah dan kerenah birokrasi dalam kerajaan, parti dan masyarakat.

Tiada siapa yang mempertikai cita-cita luhur ini, kecuali yang jahat. Namun demikian, sejarah telah mengajar kita bahawa sebuah masyarakat yang bermoral tinggi amat sukar dicapai. Pemimpin-pemimpin yang bermoral tinggi serta komited untuk mencapai masyarakat yang sedemikian, kebanyakannya tidak berjaya. Yang berjaya memang ada, tetapi bilangannya kecil. Antara yang berjaya ialah Nabi Muhammad. Oleh sebab itu, Tuhan mengajar kita mengikut contoh beliau.

Apakah sebabnya sukar hendak kita capai sebuah masyarakat yang bermoral tinggi, walaupun diperintahkan oleh Tuhan supaya kita mewujudkannya? Adakah kerana sifat manusia yang memang begitu, seperti yang didakwa oleh ahli-ahli falsafah materialis-hedonis? Jika benar, mengapakah Tuhan memerintah kita berbuat demikian?

Sebenarnya, apa yang dipanggil fitrah manusia tidak wujud. Yang wujud ialah dua kecenderungan dalam diri manusia: Kecenderungan untuk merosot ke bawah, dan kecenderungan untuk meningkat ke atas. Jika manusia ikut kecenderungan yang pertama, dan ini kerap kali berlaku, kerana lebih mudah dan seronok, ia akan merosot menjadi binatang. (umpamanya, gelagat Pentadbiran George W. Bush di persada dunia sekarang).

Tetapi, jika moralnya kuat serta mereka berusaha dan berjuang untuk meningkatkan dirinya, individu dan kolektif, untuk mencapai masyarakat yang baik, maka ia akan mencapai sebuah masyarakat yang aman, adil dan bahagia di tempat dan dalam zamannya.

Jika masyarakat global sekarang boleh bertindak demikian, dan ini bukan mustahil, maka dunia akan menjadi aman, adil dan bahagia untuk semua manusia. Bukankah slogan sebuah dunia yang adil sudah wujud di kalangan masyarakat antarabangsa sejak tiga dekad yang lalu? Saya yakin ia akan dicapai.

Impian murni Abdullah dan rakyat boleh dicapai dengan syarat kita ikut kaedah-kaedah yang betul. Kita ada beberapa contoh yang boleh diikut dalam sejarah dunia, seperti Revolusi Amerika pada tahun 1787, tetapi oleh kerana tradisi kita ialah Islam, maka contoh baik kita ikut ialah Revolusi Islam, bukan yang dibuat oleh Ayatollah Khomeini di Iran pada 1979, tetapi yang dipimpin oleh Nabi Muhammad pada awal abad ketujuh di Semenanjung Arab.

Apakah yang dibuat oleh Nabi Muhammad, yang menyelesaikan revolusinya dalam masa 23 tahun? Pada tahap pertama, beliau menyeru masyarakat Arab secara aman supaya kembali kepada ajaran tauhid menyembah Tuhan Yang Esa, ajaran moyangnya Nabi Ibrahim. Dalam konteks masyarakat kita, ini bermakna kita hendaklah berpegang kepada fahaman-fahaman kesatuan manusia, kesatuan undang-undang, persamaan manusia, di samping mengiktiraf asas kebangsaan Malaysia sebagai tapak yang menghubungkan kita dan bekerjasama dengan bangsa-bangsa lain di dunia, hak-hak asasi manusia, termasuk kebebasan beragama, akhlak yang tinggi, penekanan kepada prinsip-prinsip kebenaran, keadilan dan kerahiman.

Pada tahap kedua, baginda berpindah ke Madinah yang menjemput dan menerima beliau sebagai pemimpin dan ketua negara kota Madinah dengan sebuah perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah dunia, yang terkenal dengan nama Piagam Madinah. Di sini baginda menubuhkan sebuah negara-bangsa yang pertama di dunia, dengan rakyatnya terdiri dari orang Islam (puak Muhajirin dan puak Ansar), orang Yahudi dan orang musyrikin, sebuah negara-bangsa majmuk seperti Malaysia, dengan sebuah pemerintahan berstruktur persekutuan dengan autonomi kepada daerah.

Nabi Muhammad sendiri menjadi ketua pemerintah. Pemerintahan yang dijalankan melalui musyawarah. Pada tahap ini, Muhammad dan pengikut-pengikutnya diberi kebenaran untuk mempertahankan diri dengan senjata, apabila diserang oleh musuh dari kaum Quraisy dengan sekutu mereka kaum Yahudi.

Dengan perkataan lain, baginda menubuhkan sebuah gerakan sosial-politik untuk melaksanakan risalah baginda. Risalah ini, pada dasarnya, bersifat nasionalis atau patriotik, dan pada masa yang sama, juga bersifat humanis dan universal. Gerakan sosial-politik ini, setelah sepuluh tahun, berjuang secara aman, menubuhkan sebuah pemerintahan yang berhak mempertahankan dirinya dengan senjata, yang bercorak republikan dan demokratik, mula-mula di Madinah dan kemudian di seluruh Semenanjung Arab, yang memerintah rakyatnya dari pelbagai kaum dan agama, dengan memberi autonomi kepada kaum masing-masing untuk mentadbirkan upacara agama dan perkara-perkara lain yang khusus kepada mereka dan memusatkan perkara-perkara seperti pertahanan dan keselamatan di bawah kuasa pusat.

Perhatikan Perlembagaan Madinah mengharamkan kezaliman, sesuatu yang tidak terdapat dalam mana-mana perlembagaan moden. (Lihat artikel penulis, A Short Note on the Medina Charter HYPERLINK ``http://www.stormloader. com/qsmjam'' http://www.stormloader. com/qsmjam)

Dengan perkataan lain, kaedah Muhammad revolusioner, bukan dalam erti kata melalui kekerasan, tetapi dalam erti kata suatu gerakan massa untuk membuat perubahan yang mendalam dan berterusan, tetapi dengan kaedah-kaedah yang berperingkat-peringkat dan yang berakar-umbi dalam moral dan jiwa manusia. Walaupun revolusi Muhammad kemudiannya merosot, setelah merangsangkan kelahiran sebuah tamadun yang agung dalam sejarah, ia tetap berdiri sebagai suatu contoh yang cemerlang dan suatu inspirasi yang tidak pernah padam kepada generasi-generasi mendatang.

Kita mesti kembali kepada contoh ini dan mencorakkan masa depan kita mengikut contoh ini. Hanya dengan demikian kita boleh berjaya.

Kita harap Institut Integriti Nasional yang telah ditubuhkan itu tidak akan menjadi sebuah lagi jabatan kerajaan yang sudah pun terlalu banyak. Kita mesti sedar bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) semata-semata tidak boleh menghapuskan rasuah, kerana wujud tenaga-tenaga politik yang lebih berpengaruh daripada BPR. Tidak juga Parlimen, kerana Parlimen tidak ada kuasa eksekutif. Pimpinan politik, pimpinan masyarakat dan rakyat mesti komited dan memainkan peranan aktif untuk mewujudkan masyarakat baik ini.

Kaedah-kaedah dalaman dan luaran mesti digunakan untuk itu. Kaedah dalaman bermakna mendidik mewujudkan individu-individu tanpa paksa atau galakan ganjaran akan melakukan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Kaedah luaran merujuk kepada ganjaran, galakan, kritikan dan hukuman oleh parti, kerajaan dan masyarakat terhadap kerja seseorang atau sesuatu badan.

Proses ini harus berjalan berterusan dan tidak boleh berhenti, kerana kehidupan kita berjalan melalui pergantian dari generasi ke generasi, maju terus-menerus atau merosot dan hancur di tengah jalan, dan kemudian diganti dengan yang baru. Generasi baru mewarisi generasi yang lama, dari zaman ke zaman, tanpa henti, dalam suatu evolusi kehidupan yang besar untuk mencapai matlamat kehidupan itu.

Utusan Malaysia::12/5/2004

No comments: