Monday, May 31, 2004

Peranan China boleh ubah dunia

Lidah Pengarang

Permintaan Malaysia supaya China selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan peranan lebih besar dalam isu berkaitan Asia Barat menunjukkan keyakinan betapa Beijing mampu memberi kesan bagi mewujudkan perubahan politik dunia.

China sememangnya mempunyai kedudukan penting di dunia dan kita percaya, baik pada zaman dahulu, mahupun sekarang, negara itu dapat memainkan peranan bagi menyumbangkan kepada keamanan, kestabilan dan keadilan sejagat.

Kita percaya harapan Kuala Lumpur ini tidak akan diketepikan oleh Beijing memandangkan bahawa Malaysia membuat permintaan itu sebagai negara yang menjadi Pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Masalah yang ditanggung oleh Palestin dan Iraq amat memerlukan tindakan daripada kuasa-kuasa lain dalam Majlis Keselamatan PBB itu supaya arah tuju penyelesaian kepada dua isu Asia Barat itu tidak ditentukan semata-mata daripada perspektif AS dan Israel.

Republik Rakyat China sejak ditubuhkan pada tahun 1949 mempunyai tradisi sebagai sebuah negara yang mengutamakan pembelaan kepada negara-negara tertindas dan sedang berjuang untuk membebaskan diri daripada kongkongan kuasa-kuasa yang mempunyai kekuatan lebih besar.

Lebih-lebih lagi China mempunyai hubungan bersejarah dengan NAM yang pernah ditubuhkan sebagai pergerakan dunia untuk mendapatkan pengaruh ketiga dalam Perang Dingin antara kuasa Barat dan Kesatuan Soviet.

Walaupun kini suasana politik dan ekonomi global sudah berubah dengan kini China mengamalkan sistem pasaran bebas tetapi pengaruhnya sebagai pihak yang boleh menjadi pengimbang kepada kuasa lebih besar masih boleh diharapkan.

Bagi Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik dengan China, persahabatan dan kerjasama antara kedua negara selama ini telah meningkatkan manfaat politik dan ekonomi baik dari segi domestik mahupun global.

Apabila Kuala Lumpur mula mengadakan hubungan diplomatik yang dirintis oleh Allahyarham Tun Razak dahulu, usaha ini telah menyumbangkan kepada kestabilan negara dan rantau apabila gerakan pengganas komunis sudah tidak relevan lagi.

Sementara di pihak Malaysia pula, perakuan terhadap Dasar Satu China telah berjaya menyumbangkan kepada kestabilan politik dan ekonomi di rantau Asia Timur.

Malah sejak beberapa tahun lalu apabila Malaysia mencadangkan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG), China diharapkan dapat memainkan peranan penting. Walaupun EAEG tidak dapat ditubuhkan tetapi konsep itu berjaya dihidupkan dalam bentuk ASEAN+3 merangkumi China, Jepun dan Korea Selatan.

Dalam lawatan rasminya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga telah mencadangkan Sidang Kemuncak Asia Timur. Kita percaya cadangan beliau ini dapat diterima dan ia akan menjadi satu faktor penting bagi masa depan benua Asia untuk mewujudkan keamanan, kemajuan dan kemakmuran.

Utusan Malaysia::31/5/04



No comments: